Tag: pandemik

  • COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    COVID-19: Tidak perlu terburu-buru terima pengembara China

    KERAJAAN tidak perlu terburu-buru untuk menerima kedatangan pengembara dari China terutamanya pelancong sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran.

    Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukkan varian yang belum pernah ditemukan dan seterusnya memudaratkan negara.

    “Kemungkinan untuk varian baharu masuk dalam negara adalah tinggi, tambahan lagi kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina) jadi susah untuk kita kawal pergerakan.

    “Jadi, kerisauannya adalah jika mereka bawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama dengan varian baharu yang kita tak kenal pasti lagi,” katanya kepada Bernama. 

    China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu baru-baru ini.

    Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan mengadakan sekatan kepada pelancong dari negara tembok besar itu, namun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama syarikat penerbangan perlu mengadakan pengawasan yang ketat. 

    “Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka, bagi yang ingin masuk (ke Malaysia) perlu lengkap vaksinasi dan lakukan ujian COVID-19 seeloknya ujian PCR,” katanya.

    Dr Zainal turut menyarankan agar kerajaan meningkatkan kadar penerimaan dos penggalak bagi vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu. 

    Menurutnya kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara mampu mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun. 

    Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat 12 tengah hari tadi sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama, manakala cuma 629,215 atau 1.9 peratus dari populasi sama memilih mendapatkan dos penggalak kedua. 

    Dalam masa sama, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Micheil berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara terutamanya pelancong dari luar negara.

    Katanya kerajaan melalui agensi di bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan bersiap siaga dalam memastikan industri perhotelan dan pelancongan  selamat serta terjamin.

    Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara. 

    Sementara itu, pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya Prof Dr Moy Foong Ming berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka terutamanya di kawasan yang sesak dan pengudaraan kurang baik, memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini dan mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik.

    “Orang ramai juga boleh mengamalkan TRIIS (ujian, lapor, asing, maklum, cari) jika ada simptom seperti selesema,” katanya. – BERNAMA 

  • Sektor ekonomi tertentu ambil masa lebih lama untuk pulih

    Sektor ekonomi tertentu ambil masa lebih lama untuk pulih

    WALAUPUN Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan positif tahun ini, sektor ekonomi tertentu dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih akibat kesan pandemik COVID-19.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelembapan ekonomi itu berpunca daripada pelbagai kekangan seperti kekurangan tenaga kerja, isu pembiayaan dan peningkatan harga barang serta perkhidmatan.

    Menurut beliau, rintangan yang merencatkan kadar pemulihan ekonomi negara wajar ditangani secepat mungkin, menerusi pendekatan secara menyeluruh membabitkan kerjasama semua pihak.

    “Saya percaya, kita tidak boleh menganggap bahawa sektor perniagaan harus berjalan seperti biasa, memandangkan krisis ini tidak pernah melanda negara dan terdapat keperluan untuk hidup dalam norma baharu.

    “Seluruh jentera kerajaan harus menjalin kerjasama dengan pihak industri untuk merungkai pelbagai isu yang membelenggu sektor ekonomi dan merintis usaha ke arah pemulihan dalam tempoh singkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Malam Penghargaan Model Peranan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), malam tadi.

    Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Presiden PUMM, Tan Lay Seong.

    Muhyiddin menambah, bagi memastikan usaha tersebut berjaya, kerajaan perlu faham keperluan industri dan bertindak mengikut keperluan mereka bagi memacu proses pemulihan ekonomi negara.

    “Justeru, libat urus yang berterusan harus diadakan antara kerajaan dan industri bagi menjamin setiap keputusan dibuat secara terangkum dan menyeluruh,” jelasnya.

    Bekas Perdana Menteri itu memberitahu, kerajaan boleh merangka tindakan intervensi untuk menyelesaikan sebarang isu yang dikesan menjadi penghalang terhadap proses pemulihan ekonomi.

    Sehubungan itu, beliau berkata, persatuan seperti PUMM boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin kerjasama antara kerajaan dan pihak industri, sekali gus memacu pertumbuhan pada kadar lebih cepat.

    “Kita memerlukan sokongan komuniti perniagaan untuk tidak mengaut keuntungan melampau menyebabkan peningkatan harga barang di pasaran dan menambah beban masyarakat.

    “Pada masa yang sama, teguhkan pendirian dengan menjalankan perniagaan mengikut prinsip murni dan jauhi amalan rasuah,” katanya.

    Muhyiddin turut menyeru komuniti perniagaan di negara ini agar tampil membantu mangsa-mangsa bencana banjir baru-baru ini.

    “Sebarang bentuk bantuan termasuk derma, bank makanan atau tenaga adalah sangat dihargai,” ujarnya.

  • Buka sempadan suntikan baharu ekonomi – Khairuddin

    Buka sempadan suntikan baharu ekonomi – Khairuddin

    SUDAH tiba masanya untuk kerajaan membuka pintu sempadan negara bagi menerima pelancong asing sebagai suntikan baharu ekonomi negara pasca pandemik COVID-19, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Beliau menegaskan, negara memerlukan wadah baharu bagi merancakkan ekonomi negara kerana pada masa sama kerajaan sudah berjaya melaksankan program vaksinasi ke atas lebih 95 peratus rakyat dewasa negara ini.

    “Kebanyakan negara telah bergerak ke arah itu, kita lihat Turki sebagai contoh, juga Arab Saudi membuka sempadan untuk jemaah datang mengerjakan umrah, UK (United Kingdom) dan negara Eropah membuka sempadan negara mereka untuk menyasarkan pelancongan pada musim sejuk, bererti mereka melihat peluang kedatangan pelancong dengan suatu program serta pemantauan yang ketat dan mereka berjaya,” katanya dalam kenyataan kepada Warta Rakyat, hari ini.

    Khairuddin berkata, negara pada ketika ini tidak sepatutnya hanya bergantung dengan putaran ekonomi yang ada semata-mata iaitu kepada penjawat awam sebagai suntikan perbelanjaan.

    Katanya, kebergantungan itu nyata tidak memadai dan negara memerlukan asas baharu bagi menyokong kebangkitan ekonomi negara ketika ini.

    Katanya lagi, negara kini kembali kepada landasan pemulihan ekonomi terutamanya selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) baru-baru ini.

    “Walaupun pertumbuhan ekonomi pada tahun lepas menguncup sehingga 5.6 peratus, namun kita berjaya bangkit sehingga mencapai pertumbuhan positif 7.1 peratus pada pertengahan tahun ini,” katanya.

    Justeru, beliau berharap kerajaan sedang menuju ke arah hasrat membuka pintu sempadan bagi menerima pelancong asing untuk merancakkan lagi ekonomi negara dengan pengawalan yang ketat.

  • Kanak-kanak antara paling berisiko dalam penularan ‘pandemik golongan tidak divaksinasi’

    Kanak-kanak antara paling berisiko dalam penularan ‘pandemik golongan tidak divaksinasi’

    SEJAK kebelakangan ini, jumlah kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 menunjukkan peningkatan ketara, dan ini dipercayai oleh pakar perubatan ada kaitan dengan penularan varian Delta yang semakin dominan di negara ini.  

    Perunding pakar kardiologi pediatrik Prof Madya Dr Norazah Zahari berkata perkembangan itu, khususnya dalam tempoh dua bulan lepas, menyebabkan satu tingkat di Kompleks Kesihatan Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Malaya diperuntukkan bagi merawat kanak-kanak bergejala COVID-19, berbanding hanya satu wad sebelum ini. 

    “Ada beberapa kes yang dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi). (Mereka) mengalami komplikasi jantung akibat jangkitan COVID-19,” katanya kepada Bernama, dan menambah satu daripada kes tersebut disahkan sebagai sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).

    MIS-C merupakan komplikasi COVID-19 yang serius, iaitu suatu keadaan di mana keradangan berlaku pada pelbagai organ seperti jantung, paru-paru, pembuluh darah serta buah pinggang. Sekalipun kemungkinan untuk kanak-kanak mengalami gejala COVID-19 yang teruk adalah kecil, jelas mereka tidak kebal jangkitan itu. 

    Pakar kesihatan kini menggambarkan penularan COVID-19 sebagai “pandemik golongan tidak divaksinasi” yang diburukkan lagi oleh kehadiran dominan varian Delta. Buat masa ini Malaysia belum membenarkan kanak-kanak divaksinasi sekalipun vaksin keluaran Pfizer-BioNTech telah diluluskan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

    “Golongan yang tidak divaksinasi ini dilihat sebagai lompang dan mereka menjadi golongan yang paling terdedah – kanak-kanak dan remaja,” kata Prof Madya Dr Mas Ayu Said, pakar epidemiologi di Universiti Malaya (UM).

    “Jika anda langsung tidak mempunyai antibodi, amat mudah (untuk anda dijangkiti), seolah-olah anda membuka pintu yang membolehkan ia (virus) masuk,” tambah beliau. 

    Peningkatan kes melibatkan kanak-kanak berserta penularan varian Delta menyaksikan kembalinya gesaan agar kerajaan melaksanakan pemvaksinan ke atas remaja.

    Pada 15 Ogos lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemvaksinan ke atas golongan berusia 12 hingga 17 tahun bermula 15 Sept ini. Keutamaan diberikan kepada mereka yang komorbid dan pelajar sekolah sebelum diperluas kepada generasi lebih muda, bergantung pada bekalan vaksin.

    Langkah itu disambut baik oleh pakar, namun mereka bimbang kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh beberapa negeri untuk golongan yang telah lengkap dua dos vaksin akan menyebabkan kanak-kanak terus terdedah. Antara kelonggaran itu ialah membenarkan ibu bapa makan di premis bersama anak-anak serta melakukan perjalanan rentas negeri.

    Setakat 14 Ogos lepas, sebanyak 51.7 peratus penduduk Malaysia, menyamai 72.1 peratus orang dewasa, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Daripada jumlah itu, 31.9 peratus atau 44.5 peratus telah lengkap dua dos vaksin.

    BIAR LAMBAT ASALKAN DAPAT

    Peningkatan kes kanak-kanak yang tidak divaksinasi dijangkiti COVID-19 akibat penularan varian Delta turut berlaku di negara-negara lain termasuk negara yang telah melaksanakan pemvaksinan ke atas orang dewasa dan remaja mereka.

    Lebih mudah berjangkit berbanding campak, ada data tentatif yang menunjukkan strain itu berpotensi menyebabkan jangkitan lebih serius. Malah, orang yang telah divaksinasi juga boleh dijangkiti dan menyebarkan virus, cuma dalam tempoh singkat dan pada kadar lebih rendah berbanding mereka yang tidak divaksinasi.

    Di Malaysia, kerajaan mengambil masa dua bulan sebelum membenarkan golongan muda diberikan vaksin disebabkan kebimbangan tentang kemungkinan mereka mengalami miokarditis dan perikarditis – keradangan pada jantung. 

    Kebimbangan itu ada asasnya dengan Pfizer dan Moderna kini meletakkan label amaran tentang kemungkinan kesan sampingan dalam kalangan remaja selepas dos kedua, namun pakar perubatan yang berpandangan kemungkinan risiko tersebut berlaku amat rendah, menegaskan dalam soal ini manfaatnya jauh lebih besar berbanding risiko. 

    “Tak mengapa lambat, asalkan dapat,” kata perunding pakar pediatrik  Datuk Dr Musa Mohd Nordin ketika dihubungi Bernama melalui WhatsApp.

    “Memang bagus JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin) menimbang keputusan berdasarkan sains dan analisis risiko-faedah,” katanya. 

    Memetik data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, beliau berkata risiko mengalami keradangan jantung akibat jangkitan COVID-19 bagi kelompok usia 12 hingga 17 tahun ialah 13 kali ganda untuk lelaki dan 24 kali ganda bagi perempuan, berbanding mendapatnya akibat vaksinasi.  

    Bagaimanapun, kadar insiden ialah 67 daripada sejuta dos kedua bagi lelaki dan sembilan daripada sejuta bagi perempuan. Setakat ini belum ada kes kematian dilaporkan.

    SUNTIKAN VAKSIN SEBELUM KEMBALI KE SEKOLAH

    Pemvaksinan ke atas golongan remaja yang dianggar Jabatan Perangkaan Malaysia berjumlah 2.7 juta orang, akan mengambil masa dan sebahagian daripada mereka tidak akan sempat divaksinasi sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula kembali, dijadualkan pada 3 Okt ini. 

     Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi COVID-19 Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata tidak ada keperluan untuk membuka semula sekolah kecuali untuk dijadikan sebagai pusat pemvaksinan pelajar.

    “Saya secara peribadi berpendapat tidak perlu lagi diadakan sesi bersemuka kerana penggal persekolahan tahun ini sudah hampir tamat, melainkan untuk pemvaksinan,” katanya menerusi WhatsApp.

     Beliau berkata setiap pejabat kesihatan daerah mempunyai pasukan kesihatan sekolah yang berpengalaman dalam melaksanakan pemvaksinan ke atas kanak-kanak, dan mereka boleh digerakkan untuk tujuan itu. 

    Pekeliling Kementerian Kesihatan bertarikh 12 Ogos menyenaraikan 12 tempat untuk pelajar sekolah mendapatkan vaksin termasuk hospital, klinik kesihatan serta program outreach.

    Dr Mas Ayu yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan UM menyarankan agar pusat pemberian vaksin (PPV) mega turut dimasukkan dalam senarai itu. 

    “Berdasarkan momentum semasa, saya rasa kita boleh capai 50 peratus pelajar sekolah dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

    Beliau juga menyarankan agar PPV menyediakan laluan khas untuk keluarga bagi memudahkan proses kerana mereka yang berusia 18 tahun ke bawah memerlukan persetujuan ibu bapa atau penjaga sebelum divaksinasi, dan pada masa sama boleh juga dimanfaatkan untuk pemvaksinan keseluruhan isi rumah.

    BELUM WAKTUNYA UNTUK BERI BEGITU BANYAK KELONGGARAN 

    Pakar kesihatan berpandangan belum waktunya untuk pihak berkuasa memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi, khususnya ibu bapa yang tinggal atau bekerja dengan anak-anak, memandangkan Malaysia belum mencapai tahap imuniti kelompok.

    Dr  Awang Bulgiba menyifatkan kelonggaran yang diberikan itu sebagai “kurang bijak” dan boleh menjejaskan kejayaan yang disaksikan oleh Malaysia sekarang hasil program imunisasi tersebut.

    “Kita perlu mengasaskan jangkaan kita tentang ‘kehidupan normal’ pada persediaan melawan COVID-19 untuk jangka masa yang lama. Perkara praktikal yang perlu dilakukan ialah menyelesaikan pemvaksinan secepat mungkin agar kita dapat mencapai imuniti kelompok,” katanya. 

    Beliau juga berkata Malaysia harus terus memantau kadar penularan dalam masyarakat selain mengekalkan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum melonggarkan sekatan secara beransur-ansur.

    Dr Norazah pula berkata beliau tidak menggalakkan ibu bapa keluar rumah, baik dengan anak-anak ataupun tidak, sehingga semua kanak-kanak telah divaksinasi atau pandemik dapat dikawal.

    “Kalau mereka perlu juga keluar, patuhilah SOP bagi memastikan orang kesayangan yang belum divaksinasi di rumah selamat,” katanya.- BERNAMA