Tag: palsukan dokumen

  • Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

    SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan permohonan dana sebanyak RM150,000 pada sembilan tahun lalu.

    Bagaimanapun tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai perhubungan perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen.

    Dokumen yang dimaksudkan ialah Surat Tawaran Kerja-kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi yang dituduh digunakan bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 hingga 1 April 2015.

    Pada 21 Mac 2014, tertuduh yang juga pemilik syarikat kekal bersama SZ Enterprise itu mengemukakan dokumen tersebut atas nama syarikatnya kepada Pejabat MARA Negeri Sabah bagi tujuan memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000.

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

    Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

    Tertuduh yang diwakili peguam Sylvester Kuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM15,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

    Menurut laporan Astro AWANI, tertuduh juga dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

    Mahkamah memutuskan 12 April ini bagi pengurusan kes.

  • Palsukan dokumen: Setiausaha GLC di Johor direman

    Palsukan dokumen: Setiausaha GLC di Johor direman

    SETIAUSAHA sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Johor direman dua hari selepas disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan kelulusan bayaran daripada pihak pengurusan, akhir tahun lalu.

    Perintah tahanan reman terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret R Salini hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

    Lapor Harian Metro, permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga serta tangan bergari.

    Difahamkan, lelaki berkenaan menyediakan minit ahli lembaga pengarah palsu dengan tujuan mendapatkan kelulusan bayaran dividen dengan kadar yang tinggi, bayaran elaun pengarah dan bayaran insentif kepada setiausaha syarikat dan pegawai akaun bagi pihak syarikat terbabit.

    Pada masa sama, suspek juga disyaki mendapatkan tandatangan daripada bekas pengarahnya dengan tujuan mengelirukan pihak pengurusan GLC terbabit supaya permohonan semua bayaran itu diluluskan.