Tag: palsu

  • Hebahan tentang ikan tilapia tidak selamat dimakan palsu – DOF

    Hebahan tentang ikan tilapia tidak selamat dimakan palsu – DOF

    JABATAN Perikanan Malaysia (DOF) hari ini memaklumkan bahawa hebahan berbentuk poster di aplikasi WhatsApp mengenai ikan tilapia tidak selamat dimakan dan boleh menyebabkan penyakit seperti kanser adalah palsu.

    DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan ikan tilapia adalah ikan yang diternak dengan pemberian makanan rumusan menggunakan sumber protein daripada ikan dan tumbuhan.

    Menurut kenyataan itu “genetically modified” (GM) atau terubah suai genetik soya dan jagung turut digunakan bagi mengurangkan penggunaan tepung ikan dan telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Norway serta Kesatuan Eropah.

    “Tumbuhan ini telah digunakan secara meluas dalam makanan rumusan salmon, tilapia dan kap. Tiada laporan secara spesifik berkaitan kesan negatif kepada manusia yang memakan ikan tilapia yang telah diberi makan GM soya atau jagung oleh FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian), CODEX dan USFDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat).

    “CODEX, WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan FDA sebagai organisasi yang bertanggungjawab, pasti menyedari kesan dan akibat sekiranya ikan tilapia tidak selamat kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

    Mengenai dakwaan bahawa tilapia adalah ikan yang tidak bertulang dan tiada kulit, DOF menegaskan ia tidak berasas memandangkan terdapat negara seperti Brazil yang menggunakan kulit tilapia untuk membuat dompet, tali, beg duit dan kasut.

    Dakwaan bahawa tilapia mengandungi “dioxin”, iaitu sejenis bahan sampingan yang terbentuk melalui proses kimia, kenyataan itu memaklumkan ia boleh terhasil daripada kejadian semula jadi seperti letusan gunung berapi dan kebakaran hutan.

    “Ikan yang diternak di dalam air yang tercemar dengan bahan ini akan menyebabkannya berkumpul di dalam isi ikan tersebut, tidak mengira sama ada ikan tilapia atau jenis ikan yang lain. Oleh itu, pemilihan kawasan ternakan yang bebas daripada bahan kimia ini penting untuk mengelakkan ia daripada tercemar dengan unsur bahaya.

    “Jabatan Perikanan juga telah memantau 200 ladang akuakultur yang mempunyai sijil myGAP dan kawalan penyakit bagi menjamin kualiti pengeluaran sumber akuakultur negara,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan hebahan palsu, selain menegaskan ia boleh menjejaskan industri akuakultur negara.

    Jumlah pengeluaran ikan tilapia bagi 2021 adalah 37,609 tan metrik yang menyumbang kepada pendapatan negara sebanyak RM380 juta. – BERNAMA

  • Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    SEORANG penolong jurutera kanan di Majlis Perbandaran Bentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kereta Mitsubishi Lancer CT9A pada 2021.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Ahmad terhadap lelaki berumur 49 tahun itu.

    Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Lelaki berkenaan dipercayai telah menerima kenderaan itu daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaannya dengan membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor itu bagi pengisian borang tender.

    Terdahulu, seorang kontrator lelaki berumur 44 tahun turut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sama selepas ditahan di SPRM Cawangan Raub pada Isnin.

    Dalam kes berasingan, dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.

    Mereka ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 23 Feb 2022, lelaki terbabit selaku ketua jabatan bersama wanita yang berkhidmat sebagai penolong operasi dipercayai berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Feb 2022, sedangkan ia tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan. – BERNAMA

  • Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    Setapak lubuk doktor gigi palsu, aktif promosi khidmat guna media sosial

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti Setapak menjadi lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang dilihat semakin meningkat dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini.

    “Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan difahamkan Setapak ini adalah lubuk bagi doktor gigi palsu.

    “Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai doktor gigi tanpa tauliah ini, boleh kemukakan (maklumat) kepada KKM untuk kita lakukan serbuan. Saya beri jaminan sekiranya kita mendapat apa-apa laporan, pihak berkuasa akan terus membuat serbuan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik di sini hari ini.

    Beliau berkata pengamal perubatan pergigian haram yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pergigian 2018.

    Mengulas mengenai lawatan itu, Khairy berkata Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

    Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

    “Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini. 

    “Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

    Khairy berkata projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur. – BERNAMA

  • Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    POLIS membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan sijil digital vaksin palsu yang dikesan menerusi perkongsian seorang pemilik akaun Facebook, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu diterima apabila satu artikel dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, yang menyatakan bahawa sudah mula dijual dalam talian.

    “Sehubungan itu satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

    Abd Jalil berkata, orang ramai turut dinasihat untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu. – BERNAMA