Tag: Palestin

  • Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    JET tempur pengganas Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi sebagai tindak balas terhadap pelepasan belon api dari semenanjung terkepung itu yang mengakibatkan kebakaran.

    Memetik AFP, Israel yang menyalahkan Hamas susulan pelancaran belon api itu mendakwa telah menyasarkan beberapa sasaran milik pergerakan terbabit yang menguasai Genting Gaza.

    “Semalaman jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu pejuang Hamas di Khan Yunis.

    “Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke kawasan Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

    Pada masa sama, saksi berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan meriam ke utara Gaza.

    Menurut sumber perubatan di semenanjung terkepung itu, tiada penduduk yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

    Terdahulu, bomba Israel berkata, belon api itu mengakibatkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Genting Gaza.

    Israel biasanya akan membalas pelepasan belon api itu dengan serangan udara.

    Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel mellaui terowong yang digali mereka dan mencetuskan pemburuan besar-besaran.

  • Tentera Israel tembak mati 4 penduduk Palestin

    Tentera Israel tembak mati 4 penduduk Palestin

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    TENTERA Israel menembak mati empat penduduk Palestin mati ditembak dalam satu pertempuran di sebuah kem pelarian Jenin yang dijajah rejim Zionis di Tebing Barat pada Isnin.

    Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti empat penduduk itu ialah Raed Abu Seif, 21, Saleh Ammar, 19, Amjad Husseiniyah dan Nureddin Jarrar yang mana umur kedua-dua mereka tidak diketahui.

    Jenazah Raed dan Saleh dilihat di sebuah hospital mayat Jenin manakala pasukan keselamatan Israel masih belum membenarkan dua lagi mayat dikeluarkan.

    Lewat pagi Isnin, sekumpulan penduduk Palestin berhimpun bagi menghadiri pengebumian Raed dan Saleh.

    Sementara itu, polis sempadan negara haram itu berkata, anggota-anggotanya bertempur dengan penduduk Palestin dalam satu operasi menangkap para suspek yang dianggap melakukan aktiviti-aktiviti menentang rejim tersebut.

    Menurut jurucakap polis Israel, tidak ada kecederaan atau kematian berlaku dalam kalangan anggota-anggota polis sempadan rejim Zionis.

    Wakil Keamanan Asia Barat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tor Wennesland menyatakan perasaan bimbangnya di laman Twitter berhubung kematian tersebut yang berlaku ketika satu operasi tangkapan dilakukan Israel. – Agensi