Tag: pakar ekonomi

  • Pakar ekonomi kritik, persoal simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

    Pakar ekonomi kritik, persoal simpanan KWSP sebagai cagaran pinjaman bank

    PAKAR ekonomi meluahkan keraguan terhadap cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan mereka sebagai cagaran pinjaman bank.

    Memetik laporan MalaysiaNow, mereka turut mempersoalkan keberkesanan cadangan tersebut untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian dalam menangani kos sara hidup semasa.

    Bagi Adilah Zafirah dari badan pemikir Iris Institute berkata, kajian menunjukkan hubungan antara peningkatan hutang isi rumah dan pertumbuhan keluaran lebih rendah, kadar pengangguran tinggi, dan kemungkinan besar krisis perbankan masa depan.

    “Kerajaan harus mencari penyelesaian yang lebih baik dan bukan hanya memberi ‘ubat tahan sakit’ bagi melegakan kesakitan buat sementara waktu,” katanya.

    Anwar mencadangkan skim itu dalam menghadapi tekanan yang semakin memuncak bagi pengeluaran bersasar daripada dana persaraan tersebut.

    Beliau berkata kemudahan itu hanya untuk mereka yang sangat memerlukan wang, sambil menambah ini adalah cara terbaik untuk membantu pencarum dalam keadaan sekarang.

    “Maka saya akan pastikan supaya KWSP memberikan ruang kepada pencarum yang mempunyai wang dan dalam keadaan terdesak pinjam dari bank, dengan kolateral jaminan cagaran bank, ini yang terbaik,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 9 Mac lalu.

    Menurut pakar ekonomi, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata menggalakkan orang ramai untuk membuat pinjaman akan membawa kepada peningkatan hutang isi rumah, yang katanya mengetepikan 90% daripada KDNK dan merupakan antara kadar tertinggi di rantau ini.

    Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata ia juga memerlukan pindaan kepada Akta KWSP yang pada masa ini tidak membenarkan penggunaan caruman sebagai cagaran.

    Razman, dari Putra Business School, turut menggesa kerajaan menyediakan skim pembiayaan alternatif tanpa faedah.

    Kerajaan membenarkan beberapa pusingan pengeluaran KWSP untuk membantu mengurangkan kesan ekonomi Covid-19 pada kemuncak pandemik itu.

    Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan baru-baru ini berkata pengeluaran bersasar ini boleh mengakibatkan tahap simpanan berkurangan sehingga 70% bagi pencarum Bumiputera.

    Bekas jurubank Muhammad Zahid Abdul Aziz berpendapat simpanan KWSP untuk persaraan hanya terpakai bagi mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan tinggi, T20.

    Zahid yang sebelum ini bersama Bank Islam, juga berkata beberapa pencarum melihat dana persaraan mereka habis dalam beberapa tahun.

    “Walaupun dana itu tidak dikeluarkan, simpanan itu akan ditelan oleh inflasi yang meningkat secara mendadak,” tambahnya.

    Beliau memberi contoh pencarum KWSP dengan simpanan RM15,500 ketika bersara hanya akan mendapat RM69 sebulan untuk dibelanjakan selepas persaraan pada kadar dividen semasa 5.35% setahun.

    Seorang individu dengan simpanan RM150,000 akan mempunyai RM668 sebulan, dan pencarum dengan simpanan RM300,000 hanya RM1,337 sebulan, katanya.

    “Apa yang kita dengar mengenai kadar inflasi 4% ialah perbezaan dalam setahun,” katanya.

    “Harga asas dari 2003 hingga 2023, sebagai contoh, boleh mencapai 300% hingga 400%.”

    Justeru, Zahid menggesa supaya kerajaan hanya memberi kebenaran pengeluaran simpanan KWSP kepada mereka yang benar-benar berdepan masalah kewangan dan tidak mempunyai cara lain untuk menampung perbelanjaan mereka.

    “Tetapi sudah pasti terdapat banyak cara lain selain mencadangkan pencarum membuat lebih banyak pinjaman dengan mencagarkan simpanan KWSP,” katanya.

    Menurut KWSP, pada Disember 2021 perlindungan sosial negara sudah mencapai hadnya selepas beberapa siri pengeluaran akibat krisis kesihatan susulan penularan Covid-19.

    Ia berkata skim seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra mengakibatkan pengaliran keluar sebanyak RM101 bilion melibatkan 6.1 juta ahli.

    Ini sekali gus menyebabkan ada dalam kalangan pencarum mempunyai simpanan kurang RM10,000.

    Daripada jumlah ini, 3.6 juta mempunyai simpanan kurang RM1,000.

    Ia juga mengatakan majoriti mereka yang membuat pengeluaran kecemasan adalah pencarum Bumiputera.

    “Hasilnya, 4.4 juta atau 54% pencarum Bumiputera kini mempunyai kurang RM10,000, dan dua juta atau 25% mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

    “Ini amat membimbangkan kerana ia mencerminkan peningkatan peratusan pencarum yang tidak boleh mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan ketika mencapai umur 55 tahun,” katanya.

  • Jangan ulang silap lama lantik ahli politik dalam GLC – Pakar ekonomi

    Jangan ulang silap lama lantik ahli politik dalam GLC – Pakar ekonomi

    KEPUTUSAN kerajaan melantik ahli politik mengetuai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan dipersoalkan pakar ekonomi, Ramon Navaratnam.

    Beliau menegaskan, pelantikan ahli politik itu seperti mengulangi kesilapan lama.

    “Tidak adakah pemimpin profesional yang bukan ahli politik?” tanya Ramon Navaratnam, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan dan bekas presiden Transparency International Malaysia, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas mengenai pelantikan bekas ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengerusi Mara, dan Timbalan Ketua PKR Pulau Pinang Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures baru-baru ini.

    Navaratnam berkata, pelantikan itu tidak konsisten dengan amalan tadbir urus yang baik.

    “Berbanding menuju ke arah meningkatkan profesionalisme, kerajaan mengulangi kesilapan lama,” katanya kepada FMT.

    “Ini memberikan gambaran bahawa (kerajaan) menawarkan ganjaran dan pekerjaan kepada ahli parti.”

    Kumpulan reformasi pilihan raya Bersih turut mengkritik pelantikan ahli politik kerajaan ke dalam GLC.

    Pengerusinya, Thomas Fann baru-baru ini berkata, amat dikesali Perdana Menteri Anwar Ibrahim membenarkan pelantikan sedemikian selepas berkempen atas platform reformis.

    Selama bertahun-tahun, aktivis dan NGO menggesa agar pelantikan dalam GLC dibuat berdasarkan merit.

    Seorang lagi pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez berkata, beliau percaya pelantikan itu bertujuan menarik minat pengundi Bumiputera menjelang enam PRN yang mesti diadakan tahun ini.

    “Dengan PRN belum selesai di enam negeri, pelantikan-pelantikan ini terutamanya menimbulkan kebimbangan,” katanya kepada FMT.

    Menurutnya, Mara mempunyai kepentingan yang meluas dalam perniagaan dan pendidikan, dan pengerusinya boleh mempunyai pengaruh yang besar ke atas institusi dalam konglomerat itu. Ini boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, katanya.

    Beliau bertanya bagaimana kerajaan akan memastikan Mara tidak dieksploitasi untuk kepentingan Umno, memandangkan Asyraf adalah pengerusi Mara dan badan itu berada bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

    Gomez menggesa kerajaan memberikan justifikasi bagi pelantikan dua ahli politik itu.

    Katanya, wujud keperluan bagi keseluruhan ekosistem GLC dikaji semula dengan tujuan membaharui syarikat-syarikat tersebut demi kepentingan Malaysia dan selaras dengan matlamat penubuhannya.

    “Kita juga memerlukan suruhanjaya bebas untuk memantau perjalanan ekosistem GLC yang luas di Malaysia,” katanya.

  • Mengapa tiada kenaikan kadar cukai golongan ‘maha kaya’?, soal pakar ekonomi

    Mengapa tiada kenaikan kadar cukai golongan ‘maha kaya’?, soal pakar ekonomi

    KETIKA kerajaan mencukaikan golongan kaya-raya di Malaysia menerusi kadar cukai pendapatan individu yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 minggu lalu, pakar ekonomi mempersoalkan mengapa tiada kenaikan cukai terhadap mereka yang berpendapatan lebih RM1 juta setahun.

    Menurut Penganalisis Kanan DM Analytics, Zouhair Rosli, usaha kerajaan mengurangkan kadar cukai bagi golongan berpendapatan sederhana (M40) sememangnya disambut baik kerana ia mampu memberi duit tambahan untuk golongan ini berbelanja.

    Beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa kenaikan kadar cukai itu hanya terhad kepada golongan T20 yang meraih pendapatan sehingga RM1 juta dan tidak menyentuh golongan “maha kaya”.

    “Kadar cukai mereka tidak sama (dengan T20) dan ia tidak berubah.

    “T20 sebenarnya tidaklah kaya (seperti yang disangkakan ramai). Pendapatan mereka dalam lingkungan RM8,300 sebulan bagi setiap isi rumah manakala golongan T1 pula sekitar RM50,000 sebulan.

    “Mereka (golongan maha kaya) mungkin dalam kelompok T0.1, tetapi tiada kenaikan cukai untuk golongan ini,” katanya dalam webinar Isu Semasa Ekonomi semalam, lapor MalaysiaNow.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mengumumkan penurunan 2% kadar cukai pendapatan individu melibatkan banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000 manakala mereka yang tergolong dalam kategori pendapatan RM100,000 hingga RM1 juta pula akan menyaksikan kenaikan 0.5% sehingga 2%.

    Ini bermakna, kadar cukai bagi mereka yang meraih lebih RM1 juta setahun kekal pada kadar 28% (RM1 juta hingga RM2 juta) dan 30% bagi melebihi RM2 juta.

    Mengulas lanjut mengenai Belanjawan 2023, Zouhair turut menyifatkan cadangan kerajaan yang bakal mengenakan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat yang tidak tersenarai awam sebagai usaha “sekerat jalan”.

    Beliau berkata, ini kerana langkah yang sama wajar dilaksanakan terhadap syarikat yang disenarai awam di Bursa Malaysia memandangkan mereka adalah syarikat yang besar.

    Katanya, walaupun terdapat komentar daripada segelintir ahli ekonomi yang mengatakan langkah itu akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur, ini bagaimanapun dilihat sebagai satu mitos.

    “Keuntungan yang diperoleh syarikat kebiasaannya akan digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), menaikkan gaji pekerja atau membeli saham mereka sendiri.

    “Kenapa? sebab harga saham yang tengah dipegang oleh individu termasuk CEO boleh meningkat. Apabila meningkat ini akan menjana keuntungan atau dividen yang mana tiada cukai akan dikenakan.

    “Memang bagus apabila nak perkenalkan cukai keuntungan modal, tetapi ia juga harus merangkumi syarikat besar yang disenarai di pasaran awam,” tambahnya.

  • Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    KEPUTUSAN Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

    Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

    Selain itu katanya, daripada jumlah terbabit, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

    “Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain.

    “Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

    Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

    Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

    Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

    Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Menjawab kepada ulasan ini, Sanusi dalam kenyataan terbaharunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

    Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

    “Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab “Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun”.

  • Kontroversi ‘jangan beli ayam’: Pakar ekonomi ‘sekolahkan’ Rafizi

    Kontroversi ‘jangan beli ayam’: Pakar ekonomi ‘sekolahkan’ Rafizi

    SEORANG pakar ekonomi hari ini “membantu” untuk menyediakan satu draf kenyataan media kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selepas cadangannya supaya pengguna tidak membeli ayam bagi menurunkan harga mendapat reaksi bertali arus daripada warga media sosial.

    Noor Azlan Ghazali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kenyataan Rafizi tidak begitu menyeluruh memandangkan masih terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan.

    Beliau merangkumkan hipotesis Rafizi bahawa dengan keanjalan permintaan yang lebih tinggi, kenaikan harga akan menjadi punca kepada pengurangan permintaan dan tindakan ini akan menyebabkan penurunan harga berlaku atau setidaknya meredakan kenaikan harga makanan.

    Bagaimanapun katanya, terdapat dua persoalan utama yang perlu dijelaskan oleh Rafizi melalui kenyataannya iaitu “permintaan apa” dan “permintaan siapa?

    Ini kerana, katanya, beliau yakin Rafizi hanya cenderung melihat kepada perkongsian data yang bersifat analitik tanpa meneliti data terkini dari Jabatan Perangkaan terkini mengenai Indeks harga pengguna yang jelas menunjukkan sebanyak 671 (80%) daripada 841 barangan yang dipantau sudahpun mencatat kenaikan harga.

    “Jumlah ini terdiri dari tiga komponen utama iaitu makanan di rumah (16.9%), makanan di luar rumah (11.5%) dan minuman (1.1%).

    “Kadar inflasi untuk makanan di rumah mencecah 7.3% dan kadar inflasi makan di luar rumah meningkat lebih tinggi pada kadar 9.6%, berbanding kadar inflasi keseluruhan yang merangkumi semua kategori perbelanjaan iaitu 4%,” tulisnya di Facebook, lapor MalaysiaNow.

    Noor Azlan yang juga bekas pengarah eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi menjelaskan dengan andaian Rafizi semuanya kekal sama, penurunan dalam permintaan yang berpunca dari kenaikan harga akan menyebabkan harga yang lebih rendah.

    Dan, jumlah permintaan yang dapat dipenuhi juga akan menjadi lebih rendah.

    “Ini membawa kepada persoalan kedua, permintaan siapa? Siapakah yang akan menanggung beban mengurangkan permintaan ini? Siapakah yang perlu mengorbankan permintaan sedia ada?

    “Si kaya atau si miskin? Saranan ini menjadi polemik. Ramai yang hilang punca, keluar dari ehwal ekonomi negara, terus berpolitik pula.”

    Pada 23 Disember, Rafizi dilaporkan berkata biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar harga yang ditawarkan pembekal.

    “Kalau harga ayam tu dah mahal sangat kita sepatutnya kurangkan makan ayam,” katanya pada satu sidang media hingga mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

    Atas sebab itu, Noor Azlan tampil dengan draf kenyataan media sebanyak 11 perenggan dengan tajuk “Membendung Kenaikan Harga Melalui Kebijaksanaan Kepenggunaan” sebagai panduan buat Rafizi yang menjelaskan isu berkenaan.

    Berikut adalah petikan draf kenyataan media yang ditulis oleh Noor Azlan di Facebook:

    “Kerajaan menyedari bahawa kita kini berhadapan dengan tekanan keatas harga, khususnya harga makanan dan juga kos makan di luar rumah. Walaupun kadar inflasi keseluruhan negara berada ditahap 4%, kadar inflasi untuk kedua-dua kategori perbelanjaan ini meningkat dengan lebih tinggi iaitu 7.3% dan 9.6%.

    “Selain dari menangani aspek pengeluaran dan penawaran, membenteras tindakan monopolistik serta kartel yang menekan pengguna dan meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan negara, pengguna juga mempunyai peranan untuk mempengaruhi dan memastikan harga dipasaran agar menjadi harga yang adil-untuk pengguna dan pengeluar.

    “‘Kebijaksanaan Pengguna’ adalah kuasa pengguna yang dapat meredakan kenaikan harga, khususnya peningkatan harga yang tidak berpatutan.

    “Pengguna berupaya mempengaruhi harga dipasaran dan mendispilinkan peniaga untuk menawarkan harga yang adil bersandarkan faktor penawaran dan permintaan yang asli.

    “Kerajaan akan meningkatkan perkongsian data dan maklumat kepada rakyat berkaitan harga barangan dan perkhidmatan dengan lebih kerap dan terperinci bagi membolehkan pengguna membuat keputusan yang terbaik dalam keputusan kepenggunaan masing-masing.”