Tag: paip

  • Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    Disyaki terima rasuah Mitsubishi Lancer CT9A, penolong jurutera PBT direman

    SEORANG penolong jurutera kanan di Majlis Perbandaran Bentong direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana dipercayai menerima rasuah iaitu sebuah kereta Mitsubishi Lancer CT9A pada 2021.

    Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Aisyah Ahmad terhadap lelaki berumur 49 tahun itu.

    Suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Raub semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

    Lelaki berkenaan dipercayai telah menerima kenderaan itu daripada seorang kontraktor yang telah mendapat projek di bawah seliaannya dengan membocorkan maklumat anggaran harga jabatan kepada kontraktor itu bagi pengisian borang tender.

    Terdahulu, seorang kontrator lelaki berumur 44 tahun turut direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes sama selepas ditahan di SPRM Cawangan Raub pada Isnin.

    Dalam kes berasingan, dua kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berjumlah RM5,940.

    Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah terhadap suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 41 dan 42 tahun.

    Mereka ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Pada 23 Feb 2022, lelaki terbabit selaku ketua jabatan bersama wanita yang berkhidmat sebagai penolong operasi dipercayai berpakat memperakukan kerja bagi menyediakan makan dan minum serta peralatan berkaitan untuk peserta kursus pada 24 dan 25 Feb 2022, sedangkan ia tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan. – BERNAMA

  • Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    Lebih 400 km paip uzur di Kelantan sedang dibaik pulih – Tuan Ibrahim

    KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membaik pulih paip uzur sepanjang lebih 400 kilometer (km) di seluruh Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM218 juta, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 106.2 km paip uzur jenis simen asbestos (AC) telah digantikan secara berperingkat.

    “Jumlah keseluruhan penggantian paip uzur AC di Kelantan dianggarkan sepanjang 4,491 km yang mana penggunaannya boleh menjangkau 35 hingga 40 tahun, jadi paip air di Kelantan telah mencecah lebih 40 tahun.

    Oleh itu, kita ketika ini sedang menggantikan paip uzur di beberapa kawasan bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada rakyat Kelantan,” katanya pada sidang media harian Perikatan Nasional, di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata terdapat empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dibina di Kelantan telah mula beroperasi dengan kapasiti sebanyak 44 juta liter sehari. 

    “Antara Pembinaan LRA  yang mula beroperasi adalah Kampung Teluk, Kota Bharu berkapasiti 30 juta liter sehari, LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti dua juta liter sehari. 

    Apabila semua LRA baharu beroperasi dengan kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus,” katanya.

    Beliau berkata KASA turut akan membina empat lagi LRA baharu di Kelantan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM664.8 juta.

    Empat LRA baharu tersebut adalah Chicha Fasa 2, Tanjung Mas, Bukit Chupak dan Tok Bali. – BERNAMA