Tag: Pagoh

  • Muhyiddin raikan penduduk, golongan asnaf Pagoh

    Muhyiddin raikan penduduk, golongan asnaf Pagoh

    AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin meraikan penduduk tempatan pada majlis berbuka puasa di Kundang Ulu dekat Pagoh, semalam.

    Pada majlis yang diadakan di kediaman Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Muhyiddin turut meraikan golongan asnaf.

    “Seperti tahun-tahun lalu, setiap kali Ramadan tiba, golongan asnaf di kawasan ini tidak pernah dilupakan menerusi penyampaian sumbangan Ramadan.

    “Semoga sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kehidupan mereka yang terkesan teruk dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.

    “Saya doakan semoga kita semua diberi kesihatan yang baik dan ibadah puasa serta amalan kita di sepanjang Ramadan ini diterima Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

    Sempena majlis tersebut, satu majlis tahlil turut diadakan dan dipimpin oleh bekas Yang Dipertua Pas Pagoh, Samad Surip.

  • Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    Polis tumpu Pagoh, Lenga berisiko banjir lebih buruk

    POLIS akan menumpukan pemantauan sekitar kawasan Pagoh dan Lenga, di sini, berikutan kawasan tersebut dilihat berisiko berhadapan dengan banjir yang lebih buruk sekiranya cuaca hujan berterusan dalam masa terdekat.

    Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata seramai 150 pegawai dan anggota di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan tersebut. 

    Beliau berkata ini termasuk membantu operasi pemindahan mangsa banjir, pemantauan rumah yang dikosongkan serta berkaitan dengan keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan terjejas banjir.

    “Banjir di sekitar kawasan Pagoh dan Lenga akan menjadi buruk sekiranya air sungai di sekitar Segamat dan Labis menuju ke sini, ditambah dengan keadaan geografi yang rendah selain parit-parit sekitar yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

    “Selain 150 anggota yang dikhususkan itu, kita juga mempunyai anggota tambahan yang lain, selain turut mensiap siagakan aset-aset yang ada termasuk pacuan empat roda,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini, hari ini.

    Raiz Mukhliz berkata setakat ini hanya dua jalan dinaiki banjir dengan Jalan Muar-Labis berhampiran Jambatan Sungai Tui ditutup untuk semua kenderaan manakala Jalan Kebun Kelapa Sawit -Jalan Tekam Pagoh berhampiran Lenga, masih boleh dilalui semua kenderaan.

    Setakat jam 4 petang ini, seramai 28,099 mangsa banjir direkodkan di Johor dengan Muar merekodkan seramai 2,259 mangsa yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.

    Sementara itu, beberapa sungai di Segamat dan Muar masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Muar di Segamat Kecil (Segamat) berada pada paras 37.35 meter (m); Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) 20.56m manakala Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar)pada paras 4.48m. – BERNAMA

  • ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    ‘Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih beliau kepada penduduk Pagoh kerana sekali lagi memberi kepercayaan kepada beliau sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Ini susulan kejayaan beliau mempertahakan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan majoriti besar.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau amat menghargai sokongan dan doa rakyat Malaysia selain berazam melakukan terbaik untuk Pagoh.

    “Alhamdulillah, syukur atas keputusan yang memihak kepada saya. Terima kasih warga Pagoh yang sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Ahli Parlimen anda.

    “Saya amat menghargai sokongan dan doa setiap daripada anda. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik untuk Pagoh. Terima kasih Pagoh! Terima kasih Malaysia,” katanya.

    Sebelum itu, Muhyiddin diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 10,007 undi.

    Calon Perdana Menteri bagi PN itu menewaskan dua saingan lain iaitu calon Pakatan Harapn (PH), Iskandar Shah Abd. Rahman dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Razali Ibrahim.

    Muhyiddin memperoleh 24,986 undi, manakala Iskandar mendapat 14,979 undi dan Razali memperoleh 14,426 undi.

    Peratus keluar mengundi di kerusi tersebut adalah sebanyak 77.77 peratus dengan 54,391 undi dikira berbanding 69,939 pengundi berdaftar.

  • ‘Sebahagian besar orang Pagoh doakan kemenangan saya’ kata Muhyiddin

    ‘Sebahagian besar orang Pagoh doakan kemenangan saya’ kata Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh akan membantu menyokongnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu ini sekali gus beliau boleh meneruskan peranannya sebagai ahli Parlimen kawasan itu.

    Keyakinan itu disuarakan Muhyiddin yang juga penyandang kerusi itu selepas cakap-cakap beliau akan dikalahkan di Pagoh pada PRU-15.

    Bagaimanapun bagi Muhyiddin, beliau berada di kawasannya hampir setiap hari dan beliau mempunyai jentera yang mmebantunya.

    “Saya sudah lama di Pagoh lebih 40 tahun, orang Pagoh sendiri tahu apa yang akan saya lakukan. Itu akan menjawab semua isu yang mereka hadapi.

    “Dan saya yakin dan saya percaya sebahagian besar pengundi di Pagoh, Melayu Cina India Orang Asli akan membantu untuk menyokong saya dan meneruskan peranan saya sebagai ahli Parlimen di Pagoh,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

    Beliau menjawab soalan media yang mendakwa terdapat ramalan calon Perikatan Nasional itu akan kalah pada PRU-15.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak kisah dengan ramalan di buat pihak-pihak tertentu kerana berpendapat itu hanya pandangan.

    “Jadi apa-apa ramalan tak apalah, orang boleh kata saya akan menang cemerlang waima saya akan kalah teruk dan saya ambil kira pendapat mereka.

    “Tapi saya tahu denyutan nadi orang Pagoh yang saya fikir sebahagian besarnya mendoakan dan mengharapkan saya beroleh kemenangan,” tambahnya.

  • PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    EKONOMI, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara. 

    “Saya nak menyatakan bahawa kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

    “Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” kata beliau kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.

    Mengakui pernah dinasihati untuk berpindah ke kawasan Parlimen lain, penyandang kerusi Pagoh itu enggan berbuat demikian dan menyatakan ini merupakan kali ke-11 beliau bertanding di kerusi itu semenjak 1978 dan gelanggang terakhirnya dalam PRU.

    “Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

    “Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya pada setiap kali pilihan raya. Terima kasih,” kata beliau lagi.

    Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu berkata PN, yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat. 

    Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional iaitu bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan dari PKR Iskandar Shah Abdul Rahman.

    Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama yang menghantar borang pencalonan pada 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada 9.12 pagi.

    Kira-kira 1,000 penyokong parti yang bertanding telah berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak 9 pagi.

    Muhyiddin, 75, memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU lepas dengan majoriti 6,927 undi, sekaligus menewaskan calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN Ismail Mohamed. – BERNAMA