Tag: Padang Serai

  • BN perlu akui ditolak rakyat – Naib Ketua Pemuda UMNO

    BN perlu akui ditolak rakyat – Naib Ketua Pemuda UMNO

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEPUTUSAN untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan tidak mengubah kepada realiti bahawa Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 kerusi dan UMNO khususnya di Semenanjung hanya memperoleh 20 kerusi.

    Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Sufian berkata, mereka perlu sedar ditolak pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disebabkan ketidakpercayaan rakyat sehingga memerlukan kepada pembersihan terhadap imej dan integriti parti.

    Menurut Naib Ketua Pemuda UMNO itu, kepimpinan termasuk dirinya perlu mengakui dan memohon maaf kepada penyokong bahawa mereka tidak berjaya membendung gelombang yang membawa kepada prestasi teruk dalam sejarah UMNO dan BN.

    “Salah satu perkara yang perlu dilihat adalah imej parti dilihat tidak berintegriti dan ini kita kena semak, lihat dan pastikan dalam masa lima tahun atau penggal ini ada satu kemampuan dan kemahuan untuk bukan hanya ubah kaedah kempen berpolitik tetapi membersihkan imej parti.

    “Membersihkan imej parti kita bukan semata-mata dalam media sosial, kita bercakap bukan semata-mata ayat kita atau hujah kita tetapi siapakah perwatakan yang kita bawa dalam parti ini untuk masa depan,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Pemuda UMNO Padang Serai di Kulim, hari ini.

    Shahril Hamdan berkata, mereka tidak boleh menunggu sehingga ‘dirempuh asteroid’ yang mungkin menyebabkan BN pupus setelah kini berhadapan dengan tsunami politik.

    Menurut beliau, politik khidmat tidak lagi menjamin kemenangan kepada calon atau pemimpin UMNO kerana mereka turut terpalit dengan imej parti di peringkat nasional.

    “Imej parti di peringkat nasional memainkan peranan di seluruh negara, tak banyak kawasan yang terasing dengan gelombang nasional. Anda bagus macam mana pun di kawasan, anda beri khidmat macam mana pun lima tahun ini tetapi kalau imej di peringkat nasional tidak baik akan terkesan juga pada calon dan kepimpinan di peringkat bahagian.

    “Ini realiti yang kita kena cakap, kita kena ambil tanggungjawab bersama sebab itu walaupun pendirian saya sebelum ini sudah jelas selepas kita tewas, saya sendiri ambil tanggungjawab (letak jawatan), saya nampak ini bukan salah mana-mana individu tapi kepimpinan secara keseluruhan,” katanya.

  • PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERIKATAN Nasional (PN) diyakini tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan di Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang tertangguh akibat kematian calon yang bertanding di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini.

    Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini yang dilihat menampakkan keyakinan rakyat kepada PN.

    “Dengan gelombang yang bertiup ke arah PN, penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta perkembangan semasa yang memberi kesedaran kepada pengundi, saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan Tioman,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dalam pada itu turut menyatakan persetujuan dengan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama lima negeri lain termasuk yang berada di bawah pentadbiran PH.

    Secara prinsipnya kata beliau, idea berkenaan dilihat akan memudahkan perjalanan pilihan raya termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang serta petugas-petugas parti.

    “Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama.

    “Kalau Pas pusat bersetuju tak ada masalah, bagi pihak negeri saya fikir pilihan raya bersama itu lebih baik untuk memberi peluang kepada semua orang balik untuk mengundi, kalau cuti pun akan serentak sahaja,” katanya.

  • Kematian calon, pilihan raya di Padang Serai ditangguh

    Kematian calon, pilihan raya di Padang Serai ditangguh

    PENGUNDIAN di Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas pegawai pengurus (RO) memulangkan writ kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seperti diwajibkan sekiranya pengundian di mana-mana kerusi tidak dapat diteruskan selepas penamaan calon.

    Free Malaysia Today yang memetik sumber sebagai berkata, writ pilihan raya dipulangkan hari ini, yang bermakna pengundian bagi kerusi itu perlu ditangguhkan ke tarikh lain yang akan ditetapkan SPR.

    SPR akan bermesyuarat esok untuk mengumumkan tarikh baharu bagi penamaan calon dan hari mengundi, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya semalam.

    Mengikut Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, SPR boleh mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) pada tarikh lain, sekiranya calon meninggal dunia.

    Ini hanya boleh dilakukan selepas RO mengendors alasan pilihan raya tidak dapat diadakan, seterusnya memulangkan writ itu kepada SPR.

    Sementara itu, semakan pengundi Padang Serai di portal MySemak SPR menunjukkan pilihan raya ditangguhkan susulan kematian calon.

    FMT menghubungi beberapa pengundi yang mengesahkan menerima makluman menyatakan: “Pilihan raya umum ke-15 bagi P.017 Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon.”

    Dua pengundi yang sudah membuang undi pada Selasa lalu turut menerima makluman sama, ketika membuat pemeriksaan di MySemak.

    Terdahulu, Azalina Othman Said yang juga bekas menteri undang-undang berkata, pengundian tetap boleh diteruskan di Padang Serai kerana undian awal sudah diadakan pada 7 dan 15 Nov lalu bagi anggota polis, tentera serta pasangan mereka.

    Kebanyakan petugas SPR serta kakitangan kerajaan yang bakal bertugas di pusat mengundi pada Sabtu ini juga telah menyertai proses pengundian awal.

    Mengulas kenyataan Azalina, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pandangan berkenaan “tidak munasabah dan salah dari segi prinsip undang-undang”.

    Beliau menganggap kenyataan Azalina tidak wajar kerana menafikan hak pengundi Padang Serai untuk memilih calon pilihan mereka, serta pilihan PH untuk meletakkan calon.

    Ketika dihubungi FMT, calon BN di Padang Serai, C Sivarraajh berkata, belum ada makluman rasmi dan beliau menunggu kenyataan rasmi daripada SPR.