Tag: padang besar

  • PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    PRU-15: Zahidi dakwa BN bakal kalah di Perlis

    BEKAS pemimpin UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin meramalkan Barisan Nasional (BN) akan kalah di Perlis buat julung kali pada 19 Nov ini.

    Tidak cukup dengan itu, beliau turut menjangkakan BN akan hilang sekurang-kurangnya dua kerusi Parlimen, iaitu Arau dan Padang Besar, serta sembilan kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    Katanya, ramalan itu berdasarkan hasil kajian dan situasi semasa, selepas BN menggugurkan calon boleh menang.

    “Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah, iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong.

    “(Di) Padang Besar, BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi, manakala Parlimen Arau, Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah menang, selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

    Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu digugurkan BN dan kemudian bertanding atas tiket bebas di Parlimen itu dan DUN Titi Tinggi.

    Selain Zahidi, bekas Ahli Parlimen Arau, Shahidan juga digugurkan BN dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional.

  • Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki mencuri tabung masjid ketika para jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata dalam kejadian Sabtu lepas suspek berusia 28 tahun itu terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan yang dari ‘Food Bank’ masjid berkenan.

    Beliau berkata suspek kemudiannya datang sekali lagi untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, dan polis berjaya mengesan perbuatan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Suspek ditangkap di rumahnya di Arau pada kira-kira pada 9.15 malam Ahad,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri dan suspek membuat pengakuan bahawa dia mengunakan wang itu untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit. 

    Saifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.– BERNAMA