Tag: Orang Asli

  • 2,149 Orang Asli positif Covid-19, 106 maut di seluruh negara

    2,149 Orang Asli positif Covid-19, 106 maut di seluruh negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KIRA-KIRA 1.0 peratus atau seramai 2,149 Orang Asli di seluruh negara dikesan positif Covid-19 sehingga kelmarin.

    Ahli Dewan Negara (Senator Orang Asli Semenangjung), Datuk Isa Ab. Hamid berkata, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 0.05 peratus atau 106 kematian dicatatkan.

    “Setakat jam 6 petang kelmarin sebanyak 49 kampung Orang Asli di seluruh negara sudah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),

    “Ketika ini Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan pihak berkaitan akan memberi tumpuan untuk proses vaksinasi kepada Orang Asli namun usaha ini kita lihat masih perlahan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Beliau memberitahu, sehingga kelmarin sebanyak 85,051 dos vaksin sudah diberikan kepada masyarkat Orang Asli di sembilan buah negeri.

    Jelasnya, daripada jumlah itu, 56,425 adalah dos pertama atau 39.1 peratus manakala 28.626 lagi adalah dos kedua atau 19.9 peratus.

    Katanya, Pahang merupakan negeri mencatatkan Orang Asli paling ramai sudah menerima suntikan vaksin dos pertama melibatkan 23,772 dos pertama dan 11,042 dos kedua diikuti Perak 12,430 dos pertama dan 3,313 dos kedua.

    Ini diikuti Selangor katanya, menerima 10,644 dos pertama dan 7,873 dos kedua; Johor 4,020 dos pertama dan 1,759 dos kedua; Negeri Sembilan 3,991 dos pertama dan 3,415 dos kedua serta Melaka 928 dos pertama dan 787 dos kedua.

    Selain itu katanya, Kelantan 626 dos pertama dan 434 dos kedua: Terengganu 13 dos pertama dan tiga dos kedua dan paling sedikit di Kedah satu dos suntikan pertama manakala dos kedua masih belum diberikan.

    Isa berkata, seramai 93,095 masyarakat Orang Asli di Pahang, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka sudah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

    “Namun daripada jumlah ini hanya 73,641 yang bersetuju untuk menerima vaksin. Data Jakoa dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar merekodkan seramai 144,180 Orang Asli yang berusia 18 tahun ke atas layak untuk divaksin,” ujarnya.

    Tambah beliau, bilangan berkenaan melibatkan 53,780 Orang Asli yang berusia 18 hingga 29 tahun, 77,001 berusia 30 hingga 60 tahun manakala 13,339 berusia 60 tahun ke atas.

  • 1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang positif Covid-19

    1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang positif Covid-19

    SEHINGGA kini, seramai 1,159 penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang didapati positif COVID-19 dengan 12  kematian dilaporkan akibat jangkitan wabak itu.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Datuk Dr Ding Lay Ming dalam kenyataan berkata punca jangkitan bermula daripada Orang Asli yang bekerja di luar kawasan itu.

    “Tindakan kawalan jangkitan dibuat melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit COVID-19 dalam kalangan Orang Asli dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di 24 kampung terlibat di daerah itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Ding berkata sehingga hari ini, seramai 10,221 penduduk Orang Asli atau 45.5 peratus telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

     “Sasaran 80 peratus orang dewasa Orang Asli di negeri ini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dijangka akan dicapai akhir bulan ini,” katanya.- BERNAMA