Tag: OPR

  • OPR: Kenyataan Chee Keong ‘meragukan’

    OPR: Kenyataan Chee Keong ‘meragukan’

    ALASAN kenaikan Kadar Semalaman (OPR) yang dikatakan turut meningkatkan pulangan simpanan pendeposit Amanah Saham Bumiputera (ASB) tidak praktikal untuk keadaan semasa di Malaysia.

    Pakar ekonomi bebas, Datuk Dr. Mohd Ramalan Yunus berkata demikian semasa mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Sim Chee Keong berkenaan isu tersebut dalam sidang Dewan Negara baru-baru ini.

    Beliau turut mempersoalkan kenyataan tersebut sebagai ‘meragukan’ hujahnya, tidak ramai yang menyimpan wang masing-masing dengan mana-mana institusi pelaburan ketika berlakunya setiap krisis kewangan.

    “Timbalan Menteri Kewangan seolah-olah berfikir sekarang ramai orang sedang menyimpan wang di ASB, tetapi hakikatnya berapa ramai sahaja yang ingin menyimpan wang dalam keadaan seperti hari ini walaupun dalam kalangan orang-orang kaya?” katanya menurut laporan HarakahDaily.

    Mengulas lanjut, Mohd Ramalan berkata, keadaan ekonomi terkini merupakan antara krisis kewangan yang sememangnya tidak ramai rakyat yang akan mahu menambah lagi hutang seperti Pembiayaan ASB.

    “Sama ada suka ataupun tidak, hakikatnya Bank Negara Malaysia (BNM) akan tetap menaikkan kadar OPR kerana tidak ada pilihan lain,” jelas beliau.

    Menurutnya, kos hidup rakyat termasuklah hutang rumah dan Pembiayaan ASB akan tetap meningkat dan sekalipun BNM menurunkan kadarnya juga, ia tidak akan mengubah apa-apa kerana OPR itu sendiri jelas riba dalam kewangan.

    Beliau turut menambah bahawa mana-mana negara yang mengamalkan sistem sebegini juga akan menerima keburukan yang sama kerana ia hanya menguntungkan sebahagian masyarakat tetapi memiskinkan selebihnya.

    Sementara itu mengenai langkah yang boleh diambil dalam menghadapi isu berkenaan, beliau menasihatkan rakyat agar menambah segala pendapatan sedia ada seperti belajar berniaga secara kecil-kecilan dan juga secara talian.

    “Saya juga mempunyai jawapan yang sama dengan Prof. Nazari Ismail iaitu elakkan berhutang walau apa pun, termasuklah pinjaman ditawarkan 0 peratus kadar faedah,” katanya.

  • OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    OPR dijangka naik dua kali lagi 2023

    KADAR Dasar Semalaman (OPR) dijangka mengalami dua lagi kenaikan masing-masing 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang memandangkan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023, kata CGS-CIMB.

    Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November 2022 mencerminkan persekitaran permintaan domestik yang mantap pada bulan berkenaan.

    “Kami melihat ini sebagai sokongan kepada kitaran normalisasi kadar berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana pada kenyataannya bulan lalu, bank pusat memberikan amaran yang jelas bahawa tekanan inflasi akan kekal pada 2023,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

    Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kenaikan inflasi di Malaysia pada November meningkat 0.3 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 4.0 peratus daripada setahun lalu.

    Angka itu adalah lebih tinggi berbanding jangkaan CGS-CIMB.

    Sementara itu, IHP teras menokok 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya dan meningkat 4.2 peratus daripada setahun sebelumnya.

    “Dua komponen yang memacu IHP teras adalah makanan serta hotel dan restoran. Bagi indeks makanan, subkomponen makanan di luar rumah adalah penyumbang utama, meningkat 9.6 peratus dalam tempoh setahun, tertinggi sejak 8 Oktober lalu,” kata CGS-CIMB, lapor Berita Harian.

    CGS-CIMB menyatakan bahawa campur kerajaan terhadap beberapa barangan kawalan, seperti harga ayam, petrol dan tol, sebahagiannya dapat membendung inflasi dalam jangka terdekat.

    Namun, katanya kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan berkuat kuasa pada 23 Januari depan dijangka menyebabkan sedikit kenaikan dalam kadar inflasi utama.

    “Pengiraan kami mendapati kemungkinan IHP akan meningkat sebantak 10 mata asas tahun ke tahun pada 23 Januari depan memandangkan kira-kira 60 peratus pengguna elektrik di negara ini adalah pengguna bukan domestik, dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah bukan PKS,” katanya.

    Ia menambah bahawa pemberat elektrik dalam bakul IHP adalah pada 2.7 peratus, namun kesan pusingan kedua akan menjadi sedikit lebih besar.

    Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan unjuran inflasi tahunan 2023 pada 3.0 peratus, sedikit lebih rendah berbanding IHP tahun ini pada 3.3 peratus.