Tag: Operasi bersepadu

  • Operasi Pantai Stulang laut elak jadi lokasi minum arak – MBJB

    Operasi Pantai Stulang laut elak jadi lokasi minum arak – MBJB

    MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melakukan operasi bersama-sama pihak polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut, di Johor Bahru yang merupakan lokasi tumpuan orang ramai untuk beriadah tidak menjadi lokasi aktiviti minum minuman arak.

    Datuk Bandar MBJB Datuk Mohd Noorazam Osman berkata isu itu telah lama berlaku, sehingga ia menyebabkan kekotoran, membuat pengunjung tidak selesa sekali gus mencemarkan keindahan di kawasan berkenaan.

    “Minum minuman keras di kawasan ini adalah satu kesalahan dan kita boleh membuat teguran atau menahan sekiranya enggan mendegar arahan pihak berkuasa.

    Walaupun papan tanda dilarang minum minuman keras di kawasan pantai Stulang Laut, arahan itu tidak dipatuhi pengunjung

    “Jadi kita harap selepas ini dapat buat operasi bersama pihak polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut bukan tempat orang minum arak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Gotong-Royong Jom Indahkan Pantai Stulang Laut hari ini.

    Beliau berkata selain melakukan aktiviti minum minuman keras sehingga mabuk, kawasan itu juga menjadi lokasi pemabuk membuang air kecil, pembuangan sampah, pergaduhan dan sebagainya.

    Mohd Noorazam berkata, selain pemantauan bersama polis, orang ramai juga diharapkan dapat memberi kerjasama dan mempunyai kesedaran bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan selamat.

    Hal ini kerana menurutnya, sekiranya kawasan berkenaan sentiasa bersih, ia akan mencerminkan kebersihan masyarakat di Johor memandangkan kedudukannya berdekatan dengan Tambak Johor yang menghubungkan antara Malaysia dengan Singapura.

    “Kerjasama semua adalah amat penting dan jadilah masyarakat yang mahu bandar raya ini sentiasa selamat, bersih, cantik, menjadi pusat tarikan pelaburan dan tempat tinggal di dalam Malaysia,” katanya. – Bernama

  • Lari tinggalkan isteri di sekatan jalan raya

    Lari tinggalkan isteri di sekatan jalan raya

    SEORANG lelaki warga Indonesia lari meninggalkan isterinya akibat panik dan bimbang ditahan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, 8.30 malam tadi.

    Lelaki berusia 30 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario bertindak melarikan diri selepas diminta mengemukakan lesen motosikal dan dokumen pengenalan diri oleh pihak penguat kuasa ketika Op Bersepadu.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, lelaki terbabit diminta memberhentikan motosikal ditunggang bersama-sama isterinya sebelum dia berpura-pura membuat panggilan telefon.

    Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri sejauh 200 meter menghala ke tengah lebuh raya sebelum berjaya ditahan beberapa anggota penguat kuasa.

    “Semakan lanjut mendapati pasangan suami isteri itu berasal dari Surabaya, Indonesia dan masing-masing tidak mempunyai dokumen sah. Mereka sedang dalam perjalanan dari Shah Alam ke Segambut,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

    Aedy Fadly berkata, 318 notis kesalahan dikeluarkan dalam operasi bermula pada pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

    “Daripada jumlah itu, 158 kes melibatkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor diikuti nombor pendaftaran kenderaan sebanyak 73 kes; cermin gelap (66); sembilan kesalahan teknikal; tujuh kesalahan lampu HID; dan cermin sisi sebanyak lima kes,” katanya.

    Pemeriksaan lain turut dijalankan agensi terlibat termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), mengenal pasti pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menetap lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan sosial dan tiada dokumen pengenalan diri.

    Ini termasuk penyalahgunaan dadah serta penguatkuasaan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Motosikal) 2003.

    Operasi Bersepadu berkenaan melibatkan 129 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.