Tag: Op Selamat

  • Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    Aidilfitri: PDRM akan laksana Op Lancar, Op Selamat

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 dan 19 April ini bagi memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata fokus Op Lancar tersebut adalah di semua kawasan yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas akibat pergerakan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata seluruh jentera PDRM di lapangan akan diatur gerak melibatkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), rondaan bit serta risikan, selain mendapatkan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi melancarkan aliran trafik .

    “Ia akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta jalan perbandaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Acryl Sani berkata selain Op Lancar, PDRM juga akan melaksanakan Op Selamat ke-20 bermula 20 hingga 27 April bertemakan ‘Rumah Selamat, Sampai Ke Destinasi’ bagi memastikan keselesaan rakyat menyambut Aidilfitri kali ini.

    Menurutnya fokus utama operasi itu adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

    “Dalam Op Selamat ini, PDRM akan memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui elemen MPV, URB serta rondaan bit yang akan diatur gerak secara holistik dan sistematik di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai, selain mengurangkan beban kesesakan.

    “Selain itu, pemantauan udara oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang telah dikenal pasti, seterusnya menyalurkan info tersebut kepada elemen di lapangan untuk tindakan,” katanya.

    Beliau meminta pengguna jalan raya agar peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia serta pihak konsesi lebuh raya, selain menggunakan aplikasi navigasi bagi merancang perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

    Menurutnya keprihatinan pengguna jalan raya untuk bersama-sama menyalurkan sebarang maklumat sama ada melalui rakaman video atau gambar mengenai tingkah laku pengguna kenderaan yang melanggar peraturan dan undang-undang, juga amat dipuji serta dihargai.

    “PDRM menasihatkan pengguna jalan raya agar bertimbang rasa dalam pergerakan lalu lintas, sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan sepanjang masa agar Hari Raya Aidilfitri dapat disambut dalam suasana kekeluargaan dan kesejahteraan,” katanya.

  • Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    Lebih 1,400 kemalangan hari kelima Op Selamat 19

    SEBANYAK 1,445 kemalangan direkodkan di seluruh negara pada hari kelima Op Selamat 19, semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata ia melibatkan 1,724 kenderaan dengan kereta mencatatkan kemalangan tertinggi iaitu 1,310 kes, diikuti pacuan empat roda dengan 230 kes, motosikal (144), lori (17), bas (11), van (sembilan), teksi (dua) dan ambulans (satu).

    Dalam pada itu, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan meningkatkan kawalan pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

    “Inisiatif yang dilaksanakan adalah langkah pencegahan kemalangan, memberi penekanan berkenaan keselamatan di jalan raya selain mendidik pengguna mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mat Kasim berkata tumpuan lokasi advokasi adalah di stesen-stesen minyak, kawasan rehat dan rawat, restoran dan pusat beli-belah.

    Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini di seluruh negara sempena sambutan Tahun Baharu Cina. – BERNAMA

  • Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Polis

    Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Polis

    PELAKSANAAN Op Selamat pada musim perayaan bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kes kemalangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim.

    Mat Kassim berkata bagi Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Jan ini, ia tertumpu di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

    “Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Kenyataan berkenaan merujuk kepada artikel Minda Pengarang bertajuk “JPJ, Polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya” oleh sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya.

    Menurut Mat Kassim seluruh jentera PDRM melibatkan anggota balai, kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.

    “Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.

    “Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

  • Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    Op Selamat: 92 mat rempit remaja dicekup sekitar Ipoh

    POLIS Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hasan berkata, mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di Ipoh.

    “Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

    “Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

    Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – BERNAMA

  • Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    Lelaki pandu lawan arus tiada lesen, positif dadah

    POLIS menahan seorang lelaki kerana memandu secara berbahaya, termasuk memandu melawan arus trafik, selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama semasa diminta memberhentikan kereta ketika pemeriksaan Op Selamat di Kilometer 15 Seremban-Port Dickson dekat sini, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 11 pagi semasa lelaki berumur 25 tahun itu cuba melarikan diri dengan memecut menghala susur keluar ke Lukut, dipercayai kerana takut, berikutan tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan telah tamat tempoh.

    Beliau berkata, lelaki bersama isteri dan tiga anaknya itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kedah ke Port Dickson semasa kejadian.

    “Lelaki yang turut memandu secara melawan arus itu berjaya ditahan di tepi jalan di Taman Sentosa, Lukut, dan polis mengeluarkan saman atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta tiada lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang memiliki lapan rekod jenayah lampau itu positif dadah jenis metamfetamina, dan dia dibawa ke Mahkamah Seremban pagi ini untuk permohonan reman.

    Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. – BERNAMA