Tag: Op Benteng

  • Beroperasi lebih 2 tahun, NTF dibubar secara rasmi

    Beroperasi lebih 2 tahun, NTF dibubar secara rasmi

    PASUKAN National Task Force (NTF) yang bertanggungjawab atas pengendalian Operasi Benteng (Op Benteng) sejak 2020, dibubarkan secara rasmi hari ini.

    Perkara itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

    Lapor Berita Harian, NTF beroperasi selama dua tahun, tujuh bulan dan 25 hari.

    NTF ditubuhkan pada 6 Mei 2020 membabitkan gabungan 18 agensi penguat kuasa dan keselamatan kerajaan yang bertanggungjawab mengekang penyebaran wabak COVID-19.

    Ia susulan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 29 April 2020 melalui Op Benteng.

    Op Benteng melalui kuasa Akta 342 iaitu Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, digerakkan oleh NTF bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke dalam negara serta mengekang penyebaran wabak COVID-19.

  • Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    CUBAAN 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memanjat pagar keselamatan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini tidak berjaya apabila mereka berjaya ditahan, semalam.

    Sepasukan anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim berjaya mengesan mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun pada pukul 6 pagi semalam selepas menerima maklumat.

    Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md. Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.

    Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua PATI berkenaan sedang bersembunyi di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

    “Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini.

    “Berikutan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan tangkapan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Md. Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(3)(C) Akta Imigresen 1963.

    Dalam pada itu, Md. Dali berkata, sejak 1 Disember sehingga kini, Batalion 2 PGA merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 4,131 kilogram dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran RM1,484.

    Beliau berkata, turut dirampas rokok pelbagai jenama yang dianggaran bernilai RM25,906, tiga buah motosikal anggaran RM164,602.

    “PGA Batalion 2 berjaya menahan 13 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand termasuk 32 warga Myanmar semalam atas pelbagai kesalahan.

    “Pihak batalion 2 Kulim akan meneruskan lagi usaha bagi membanteras dan mencegah kegiatan pencerobohan, penyeludupan Pati dan barangan terlarang yang aktif di kawasan sempadan,” katanya.

  • Perkasa Ops Benteng Covid-19 bantu kawal pandemik

    Perkasa Ops Benteng Covid-19 bantu kawal pandemik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS akan terus mengukuhkan kawalan pada Ops Benteng Covid-19 sebagai langkah strategik untuk terus mengekang penularan Covid-19.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, usaha itu juga sebagai jaminan tambahan termasuk mengurangkan jangkitan wabak daripada kes-kes membabitkan jenayah sempadan.

    “Ops Benteng ini kita telah jalankan lama, cuma ketika ini kita perkasakannya menerusi Ops Benteng Covid-19. Sekarang ini, kawalan ketat di sempadan membabitkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana kita tidak mahu penyakit itu datang sekali.

    “Operasi ini menjadi tanggungjawab polis terutama bagi Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan untuk menjaga perairan sempadan negara,” katanya pada sidang akhbar ketika lawatan kerja di Markas Taktikal PGA Sungai Koris, Batu Pahat, hari ini.

    Mazlan memberitahu, setakat September tahun ini, PGA di seluruh negara merekodkan sebanyak RM177,286,253 nilai rampasan yang melibatkan pelbagai jenayah sempadan seperti jenayah penyeludupan dadah, aktiviti kontraban dan penyeludupan PATI.

    Dalam operasi sama katanya, melibatkan Batalion 5 dan Batalion 6 (Selangor dan Johor) jumlah nilai rampasan adalah RM69,584,154.

    Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik sepanjang tempoh sama, seramai 273 suspek membabitkan pelbagai kes jenayah sempadan ditahan di Johor.

    “Jumlah ini melibatkan seramai 107 warga tempatan dan 166 warga asing yang majoritinya adalah dari Indonesia.

    “Buat masa ini, kita melihat kekuatan anggota mencukupi. Kita ada seramai 253 pegawai dan anggota PGA Batalion 5 dan 6 ditugaskan di 22 pos kawalan sempadan perairan negara melibatkan jajaran Selangor dan Johor,” katanya.