Tag: Ong Kian Ming

  • Ong Kian Ming tak bertanding PRU-15, apa sebabnya?

    Ong Kian Ming tak bertanding PRU-15, apa sebabnya?

    AHLI Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi termasuk yang sedang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bangi sejak memenangi kerusi tersebut pada PRU-14 dan sebelum itu menyandang kerusi Parlimen Serdang mulai 2013 hingga 2018.

    Kian Ming juga pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa dahulu.

    Pemimpin DAP itu juga membuat keputusan untuk berehat daripada barisan hadapan politik untuk sementara waktu.

    Berikut adalah sedutan daripada kenyataan penuh beliau seperti yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya hari ini:

    Ramai di antara anda semua mungkin tertanya-tanya sebab di sebalik keputusan saya untuk tidak menawarkan diri sebagai calon dalam PRU15.

    Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini.

    Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

    Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan yang usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara. Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan.

    Dalam pada masa yang sama, saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dan saya menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk menunjukkan sokongan penuh mereka kepada Anthony dan peranan yang akan dipikul beliau dalam menerajui parti dan Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU-15.

    Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan parti akan terus memberikan peluang kepada ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU-15.

    Saya akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU-15. Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah Parlimen dibubarkan.

    Saya belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu.

    Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan.

    Untuk jangka masa terdekat, selepas PRU-15, saya merancang untuk berehat dan meluangkan masa dengan bersenam, membaca, dan merenung semula bagaimana dan di mana saya dapat manfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang saya telah kumpulkan dalam 9 tahun yang lepas dengan sebaiknya.

  • Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    AHLI Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming diuji positif COVID-19 hari ini.

    Melalui Twitter, Kian Ming berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri COVID-19 pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR COVID-19 yang dijalaninya sejam kemudian.

    “Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

    Menurut Kian Ming, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiada individu di Parlimen diuji positif COVID-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

    Semua yang hadir ke Parlimen termasuk Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat. – BERNAMA