Tag: OKU

  • Malu minta sedekah, Tharim gigih jual barang kitar semula

    Malu minta sedekah, Tharim gigih jual barang kitar semula

    oleh ADAM RAZAK

    BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh digambarkan apabila melihat seorang lelaki yang menggunakan kerusi roda sambil mengayuh dengan tangan menggunakan tongkat di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

    Dia gigih mencari kotak, botol serta barangan terpakai untuk dijual di kedai barangan lusuh demi mencari sesuap nasi.

    Kisah malang, Mohd Tharim Mohd Said, 53, bermula Ogos tahun lalu apabila dia terjatuh dari tingkat tiga ketika melakukan kerja-kerja mengecat.

    “Tahun lalu ketika mengecat di Kampung Baru, paip yang saya pijak patah dan saya terjatuh.

    “Akibat kemalangan itu, saya mengalami cedera parah. Patah tulang pinggul, pinggang, peha dan kaki,” katanya ketika ditemui di lorong belakang bangunan Jalan Sultan Ismail berhampiran Maju Junction Mall.

    GIGIH..Mohd Tharim Mohd Said,53, menaiki kerusi roda sambil mengayuh dengan tangan menggunakan tongkat agar boleh bergerak untuk mencari kotak, botol serta barangan terpakai demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dia terlantar selama hampir dua bulan di hospital selepas mengalami kemalangan itu.

    Selepas dibenarkan keluar hospital, Mohd Tharim kembali ke bilik sewa dan mendapati pintunya dikunci oleh pemiliknya dan dia tiada tempat tinggal lagi.

    Kehidupannya mula berubah selepas dia tidak lagi mampu berkerja kerana keadaannya yang sudah tidak seperti dahulu.

    Mohd Tharim kemudian terpaksa meminta sedekah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman

    “Beberapa bulan juga saya terpaksa meminta sedekah, dengan wang hasil dari meminta sedekah, selain makanan dan lampin, saya kumpul dan dapat membeli sebuah kerusi roda dengan hasil derma orang ramai.

    Walaupun hidup dalam keadaan daif namun Mohd Tharim Mohd Said,53, tetap bersyukur kerana masih ada lagi orang ramai serta badan bukan kerajaan (NGO) yang sudi membantu menghulurkan makanan bagi meneruskan kehidupan ketika ditemui di Jalan Sultan Ismail, disini semalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya rasa kekok dan malu untuk meminta sedekah. Kini saya berdikari dengan mencari barang-barang yang boleh dikitar semula seperti kotak, surat khabar, tin, botol dan lain-lain lagi,” jelasnya.

    Ditanya mengenai keluarganya, Mohd Tharim berkata, dia kini hidup sebatang kara selepas berpisah dengan isterinya.

    Kini dia terpaksa menggunakan kerusi roda sambil menarik dua lagi kerusi roda lain yang dijadikan sebagai tempat menyimpan barang-barang lusuh untuk dijual.

    Dia hanya mampu memperolehi pendapatan sekitar RM15 hingga RM20 sehari hasil menjual barangan terpakai yang dikutip di sekitar Kuala Lumpur.

    Dengan menggunakan wang itulah Mohd Tharim membeli makanan serta lampin untuk kegunaan seharian.

    Mohd Tharim Mohd Said,53, mengharapkan agar ada yang sudi membantu bagi menggantikan kerusi rodanya yang telah usang bagi memudahkan bergerak mencari kotak, botol serta barangan terpakai demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di lorong belakang bangunan sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam. GAMBAR: Warta Rakyat

    Dia juga kini tiada tempat tinggal dan menjadikan kawasan bangunan dan kaki lima di belakang lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai tempat tidur.

    “Walaupun keadaan saya seperti ini, saya tetap bersyukur masih ada lagi orang ramai serta NGO yang membantu menghulurkan bantuan makanan.

    “Saya cuma mengharapkan sekiranya ada yang sudi membantu bagi menggantikan kerusi roda yang telah usang untuk memudahkan bergerak untuk mencari barangan kitar semula,” katanya.

    Mohd Tharim pernah memohon bantuan kebajikan daripada sebuah agensi kerajaan namun masih belum menerima maklum balas sehingga kini.

    Mohd Tharim Mohd Said,53, terpaksa menarik kerusi rodanya yang tersangkut di jalan yang berlopak dengan menggunakan tongkat ketika mencari kotak, botol serta barangan terpakai untuk dijual di kedai barangan lusuh demi mencari sesuap nasi ketika ditemui di lorong belakang bangunan sekitar Jalan Sultan Ismail, disini semalam. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    Pengasas Rumah Bonda didakwa abai kanak-kanak

    PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang tular sebelum ini.

    Siti Bainun, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak itu telah mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun ini mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Noor Shakira Aliana Alias mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan kediaman.

    “Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mendapat perhatian media. Pihak kerajaan juga memandang serius terhadap kes pengabaian kanak-kanak. Mangsa dalam kes ini adalah orang kurang upaya (OKU), sindrom down,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Rosidah Abu Bakar.

    Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis selain berjanji akan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    “Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak, jika syarat ini gagal dipatuhi jaminan akan dibatalkan,” katanya yang kemudian menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.- BERNAMA