Tag: Nuridah Mohd Salleh

  • PH-BN tak mampu lawan gelombang PN

    PH-BN tak mampu lawan gelombang PN

    Oleh NURIDAH MOHD SALLEH

    SOKONGAN yang diterima Perikatan Nasional (PN) terus melonjak sejak PRU15 lalu sehingga sekarang.

    Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) telah memohon untuk sertai PN.

    Bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan beliau akan menyokong PN pada PRN akan datang.

    Demikian juga dengan beberapa bekas pimpinan UMNO yang menunjukkan sokongan kepada PN dan insya-Allah akan menyertai PN.

    Rata-rata parti dan ahli politik ini sebenarnya sudah mulai muak dan kecewa dengan Kerajaan PH-BN yang asyik mengamalkan politik dendam tanpa memainkan peranan sebagai kerajaan sebaiknya.

    Kegagalan Anwar-Zahid mengurus polemik dalaman PH-BN sejak awal penubuhan Kerajaan Campuran sehingga hari ini telah memakan diri.

    Masalah kos sara hidup rakyat, budaya nepotisme, campur tangan Menteri dalam masalah UMNO dan RoS serta semua tindakan populis Kerajaan PH-BN menjadikan rakyat semakin jauh daripada mereka.

    Kelemahan mereka perlu ditutup. Strategi merosakkan imej PN perlu dilakukan.

    Tidak cukup dengan fitnah lisan sebelum ini, kini PH-BN telah bertindak dengan lebih agresif apabila menggunakan badan kerajaan untuk mendakwa pimpinan utama PN tanpa melalui proses yang sebetulnya.

    Namun malang buat mereka apabila tekanan politik yang sedang dihadapi PN ini menguatkan lagi semangat penyokong dan pendukung PN untuk melawan kezaliman mereka dan bekerja dengan lebih keras dalam PRN kelak.

    Gelombang PN ini pastinya akan terus menghantui dan menakutkan Kerajaan PH-BN.

    Tindakan kerajaan mengadakan ‘witch hunting’ terhadap pentadbiran kerajaan lama akan menghasilkan reaksi tindak balas daripada rakyat. PRN di 6 buah negeri akan menjadi bukti.

    Penulis ialah Ketua Dewan Muslimat Pas Malaysia

  • “Lawan kezaliman terhadap Muhyiddin”, kata Dewan Muslimat Pas

    “Lawan kezaliman terhadap Muhyiddin”, kata Dewan Muslimat Pas

    KETUA Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh mendakwa pendakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakibatkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kerajaan PH-BN.

    Katanya, tindakan sedemikian hanya bertujuan untuk menutup kelemahan kepimpinan pemerintahan PH-BN yang jelas menurutnya adalah kezaliman yang ‘terang lagi bersuluh’.

    “Kita sebagai rakyat mesti kena tetap teguh melawan segala kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah PH-BN dan kita berharap Perdana Menteri Ke-10 terkini (PMX) yang bercita-cita untuk mewujudkan pemerintahan secara Madani.

    “Maka, kita harap sangat beliau memikirkan kembali. Tidak salah kalau dah terasa perkara yang dibuat itu tak betul kita buat kepada kebenaran; dan kita semua rakyat sebenarnya mahukan kestabilan kepada negara kita serta tidak mahu huru-hara,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi, lapor Harakahdaily.

    Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas enam pertuduhan, iaitu membabitkan empat menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

    Muhyiddin dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta selain diarahkan untuk menyerahkan pasport beliau kepada pihak Mahkamah Kuala Lumpur manakala perbicaraan akan bersambung Isnin ini.

    Mengulas lanjut Nuridah berkata, Anwar sebagai Perdana Menteri seharusnya memimpin secara amanah dan berlaku adil kepada semua rakyat.

    Katanya, perlu ditegaskan bahawa Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia, bukannya Perdana Menteri untuk Parti PH dan BN.

    “Rakyat mengiktiraf dan wajib menyokong perkara betul yang dilakukan dalam kepimpinan PMX.

    “Tetapi jika pemerintahan beliau (PMX) sendiri bersifat politik memilih bulu dan membuat sesuatu yang tidak boleh diterima (termasuklah membuat fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka (kita) perlu bangkit untuk menentang kezaliman dan berani mempertahankan kebenaran,” tegasnya.

  • PRU-15: Rakyat jangan lupa jasa Perikatan Nasional

    PRU-15: Rakyat jangan lupa jasa Perikatan Nasional

    RAKYAT yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membentuk kerajaan baharu, diingatkan agar tidak melupakan jasa Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini pernah diberi peluang menerajui kepimpinan negara.

    Calon PN Parlimen Wangsa Maju, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, parti tersebut di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah berjaya mengemudi negara ini dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, yang ketika itu dilanda pandemik Covid-19.

    “Pada 19 Nov ini pengundi PRU-15 akan membuat keputusan. Maka, dalam kesempatan masa yang ada, khususnya jentera PN hendaklah kita penuh yakin dengan parti yang kita dokongi ini, walaupun ia parti yang baharu dan ini pertama kali logo PN memasuki PRU di negara ini,” katanya, lapor Harakah Daily.

    Nuridah membuat ucapan penuh bersemangat itu pada Majlis Ramah Mesra bersama Presiden Pas di Restoran Al-Badiyah, KL Traders, Kuala Lumpur pada Khamis, menyaksikan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir memberi semangat kepada calon-calon Pas di Wilayah Persekutuan yang bertanding pada PRU15 atas tiket PN.

    Selain Nuridah, turut hadir ialah calon Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni Adam; Ustaz Fauzi Abu Bakar (Lembah Pantai).

    “Jangan lupa, walaupun PN sebelum ini pernah menjadi pemerintah negara tanpa sebarang manifesto buat rakyat tetapi Allah SAW izinkan parti ini memberikan khidmat yang terbaik buat seluruh warga Malaysia.

    “Namun, dengan kerenah beberapa pihak, Abah (Muhyiddin) terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri, namun saya percaya tentu masih ingat betapa PN dapat memimpin Malaysia dengan penuh keprihatinan, stabil dan bersih,” ujarnya.

    Menurut beliau, faktor positif itu menjadi pendorong buat jentera PN bahawa parti masuk PRU-15 adalah untuk menang.

    “Sudah pasti boleh (menang)! Kepada pengundi diharap tuan-tuan dan puan-puan jangan ragu-ragu lagi untuk memberi kepercayaaan kepada calon-calon PN di seluruh negara, insya-Allah,” katanya.