Tag: Nur Jazlan Mohamed

  • Pemimpin UMNO gesa DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    Pemimpin UMNO gesa DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’

    SEORANG pemimpin UMNO menggesa DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu jika mahu mendapat sokongan pengundi Melayu.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, orang Melayu tidak menyokong DAP disebabkan agenda negara sekularnya, yang bercanggah prinsip Islam dan Melayu.

    Beliau mendakwa pengundi Melayu di Selangor dan Johor memberitahunya, mereka tidak boleh menerima pendirian politik DAP, yang dilihat dibuat berdasarkan kepentingan masyarakat Cina.

    “Bila saya tanya kenapa selama ini orang Melayu boleh terima MCA dalam BN, mereka kata MCA tak ekstrem dan UMNO jadi parti dominan dalam gabungan itu.

    “Jika DAP masih was-was lakukan perubahan besar seperti mana pengorbanan yang Umno sanggup buat hari ini, saya jangkakan DAP akan terus dipulau pengundi Melayu dan UMNO juga akan terus ditolak orang Melayu selagi kami bekerjasama dengan DAP,” katanya di Facebook.

    Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, cabaran lain dihadapi DAP ialah sokongan orang Melayu kepada Pas semakin meningkat, yang akan menyebabkan orang Cina terus sokong DAP, manakala orang Melayu beralih kepada Pas.

    Bagi mengelakkan keadaan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Pulai itu berkata DAP perlu menjadi parti sederhana yang terus disokong orang Cina dan boleh diterima pengundi Melayu.

    “DAP perlu ikut formula kejayaan BN yang sudah terbukti cemerlang lebih 60 tahun membela nasib orang Melayu tanpa mengabaikan hak rakyat bukan Melayu.

    Prestasi UMNO dalam PRN enam negeri baru-baru ini paling teruk, dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN ditandinginya, susulan prestasi suram pada PRU15 November lalu.

    Ini membawa kepada desakan perubahan dalam kepimpinan Umno, khasnya untuk Presiden Zahid Hamidi berundur. Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil turut mempersoalkan kerjasama parti itu dengan DAP susulan prestasi hambar UMNO dalam pilihan raya.

    Sementara itu, Nur Jazlan mendakwa UMNO semakin lemah dari semasa ke semasa kerana dijadikan “punching bag” oleh PAS, DAP, PKR dan Bersatu selama ini.

    “Propaganda pemusnahan imej berterusan membuatkan sebahagian pengundi Melayu, terutamanya generasi baharu mudah terpengaruh dan mula ada persepsi tak elok kepada UMNO,” katanya menurut Free Malaysia Today.

  • ‘Lebih baik Nur Jazlan fikir kenapa kalah PRU’, kata Razman

    ‘Lebih baik Nur Jazlan fikir kenapa kalah PRU’, kata Razman

    PESURUHJAYA Pas Perak, Razman Zakaria secara sinis menempelak Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengeluarkan kenyataan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengalami masalah kemurungan politik melampau.

    Nur Jazlan dilaporkan berkata pemimpin Perikatan Nasional (PN) harus melakukan sesuatu terhadap masalah psikologi yang didakwa dihadapi Abdul Hadi.

    Bagaimanapun Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak menegaskan, Nur Jazlan seharusnya lebih mengutamakan kepada penilaian beliau yang kalah di kerusi Parlimen Pulai selama dua penggal berturut-turut.

    “Bagus Datuk Nur Jazlan, susah-susah saja beratkan kepala fikir untuk Perikatan Nasional.

    “(Akan tetapi) ada baiknya Datuk fokus kenapa Datuk kalah teruk di kerusi Parlimen Pulai dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15).

    “Ada baiknya Datuk fikir kenapa UMNO langsung tidak memenangi satu kerusi parlimen pun di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya mnerusi entri di Facebook, malam tadi.

    Dalam pada itu Razman juga meminta untuk Nur Jazlan lebih memikirkan kesan kepada penyokong muda terhadap UMNO selepas parti itu memutuskan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

    “Ada baiknya Datuk fikir apa kesan kepada penyokong UMNO daripada kalangan orang muda akibat jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan,” tambahnya, lapor Astro Awani.

    Pada Selasa, Nur Jazlan dilaporkan menggesa pemimpin PN untuk melakukan sesuatu terhadap ‘masalah psikologi’ Abdul Hadi yang didakwa berlarutan terutama berkenaan kenyataan pemberian wang kepada pengundi semasa PRU15 sebagai sedekah.

    Media melaporkan Nur Jazlan berkata, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu untuk ‘banyak-banyak mengucap’ dan menerima hakikat bahawa PN gagal menjadi kerajaan walaupun memenangi jumlah kerusi yang banyak.

    Sebelum ini media melaporkan Abdul Hadi mendakwa, pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi semasa PRU15 disifatkan sebagai sedekah.

    Ahli Parlimen Marang itu mengulas perkara berkenaan sebagai reaksinya terhadap tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon PN daripada Pas.

  • Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    Nazri tak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan

    AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan sikap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed seperti ‘Si Luncai’.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain agar tidak mempedulikan Nur Jazlan yang dikatakan cuba meraih simpati setelah kalah teruk sehingga gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Dia umpama Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Jadi tidak perlu peduli, biarkan… biarkan.

    “Saya tidak mahu jadi Luncai macam Nur Jazlan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Sebelum ini, Nur Jazlan mempelawa Mohamed Nazri serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

    Beliau yang kalah teruk dengan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengumumkan tidak akan bertanding di Pulai pada PRU-15.

    Mohamed Nazri juga yakin boleh menang jika bertanding di kerusi Parlimen Pulai kerana beliau sentiasa bercakap benar dan perkara itu diterima dengan baik oleh pengundi pelbagai kaum.

    “Saya bukan seorang yang menyombong tetapi selalu bercakap benar berdasarkan fakta.

    “Jika bertanding di Parlimen Pulai, saya boleh menang di situ kerana rakyat suka saya bercakap benar dan tidak menyombong.

    “Di Padang Rengas itu memang kerusi UMNO yang tidak pernah kalah sejak dulu lagi.

    “Ada tsunami pun tetap UMNO menang dengan selesa dan saya sudah maklumkan saya akan serah kepada pengganti saya,” jelasnya.

    Beliau turut mengingatkan Nur Jazlan agar tidak bersifat perkauman dengan menyalahkan pengundi bukan Melayu yang didakwa tidak menyokongnya.

    “Sudah lah, jangan lah nak salahkan kaum lain bila kalah. Bila kalah nak salahkan pengundi Cina dan India yang tidak memberi sokongan.

    “Jangan main isu kaum kerana nak mempertahankan kelemahan kamu,” ujarnya.

  • Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    Tajuddin tuduh Nur Jazlan biadab kritik PM secara terbuka

    KETUA UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menyifatkan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai biadab kerana mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara terbuka.

    Memetik laporan FMT hari ini, Ahmad Tajuddin berkata, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu tidak layak mengkritik keputusan Ismail Sabri berhubung isu jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang disandang Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Menurut beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Lepar, Nur Jazlan sendiri tidak diterima pengundi apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Lewat atau tidak (menggugurkan Zuraida daripada Jemaah Menteri) adalah budi bicara yang bergantung kepada keperluan dan kewajaran, yang mana perdana menteri saja memahaminya.

    “Kenyataan dia (Nur Jazlan) langsung tidak wajar malah biadap. Nur Jazlan tidak layak buat kenyataan sebegitu sedangnya dirinya kalah pada PRU lepas,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian selepas Nur Jazlan menggelar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana berlengah berhubung kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu walaupun sudah meninggalkan Bersatu sejak 26 Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Pada 22 Jun lalu, Nur Jazlan yang juga ketua UMNO Bahagian Pulai mendakwa Ismail Sabri menjadi ‘tebusan’ pihak tertentu ekoran lewat membuat keputusan mengenai kedudukan Zuraida dalam Kabinet.

    Pada PRU-14, Nur Jazlan gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai apabila tewas kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Pakatan Harapan (PH) dengan perbezaan undi besar sebanyak 28,924.

    Tajuddin menambah, tindakan Nur Jazlan membuat kenyataan terbuka mengkiritik kepimpinan Ismail Sabri hanya akan mengeruhkan keadaan, malah memperlihatkan UMNO sebagai parti tidak bermaruah.

    “Perdana Menteri mempunyai budi bicara penuh terhadap apa jua keputusan yang perlu dibuat dan di sini, UMNO juga mempunyai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bertanggungjawab bersama perdana menteri memutuskan sebarang perkara penting.

    “Membuat kenyataan terbuka seperti ini hanya mengeruhkan keadaan dan tidak sedikit pun membantu agar parti dilihat bermaruah,” jelasnya.