Tag: notis

  • Kenakan caj pengendalian RM3 sepapan telur: KPDN keluar notis terhadap peniaga

    Kenakan caj pengendalian RM3 sepapan telur: KPDN keluar notis terhadap peniaga

    Oleh RIZQI ZABIDI 

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan dua notis kepada seorang peniaga kerana mengenakan caj pengendalian berjumlah RM3 untuk setiap satu papan telur yang dijual di kedainya di Sungai Korok di Jitra, Kedah. 

    Menurut Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

    Katanya, notis tersebut diserahkan setelah sepasukan pegawai dan anggota KPDN menjalankan siasatan terhadap kedai tersebut pagi tadi susulan tularnya isu berkenaan di media sosial sejak semalam. 

    “Peruncit didapati memperolehi bekalan telur ayam dari Pulau Pinang dan Alor Setar. Siasatan lanjut ke atas invois belian mendapati pihak pembekal telah mengenakan caj tambahan iaitu kos pengangkutan dan pengendalian antara 90 sen hingga RM3 bagi setiap papan telur. 

    “Disebabkan itu peruncit berkenaan terpaksa menanggung kos tersebut. Kos tinggi menyebabkan peruncit terpaksa mengenakannya kepada pembeli,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

    Seorang pengguna media sosial semalam memuat naik resit pembelian di kedai tersebut memaparkan caj RM6 dikenakan terhadapnya, untuk dua papan telur yang dibeli. 

    Tindakan itu menarik perhatian pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan membebankan pengguna.  

    Mengulas lanjut Affendi berkata, pengguna diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan. 

    “Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, pusat arahan penguatkuasaan di talian 03-88826088 atau 03-88826245. 

    “Selain itu maklumat berkenaan turut boleh disampaikan melalui aplikasi Whatsapp di talian 019-2794317 atau 019-8488000 serta laman web http://eaduan.kpdn.gov.my,” katanya.

  • Dewan Rakyat 19 Dis pilih Yang Dipertua, usul undi percaya kepimpinan PM

    Dewan Rakyat 19 Dis pilih Yang Dipertua, usul undi percaya kepimpinan PM

    MESYUARAT Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

    Ketika ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

    Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.

    Sidang Parlimen itu menjadi sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kepimpinan Anwar.

    Urusan mesyuarat sidang itu turut memasukkan sesi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

    Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang telah menerima notis berkenaan dalam mesej ringkas kepada Bernama berkata: “Jumpa 19/12 (19 Dis) di Parlimen”.

    Bagi usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) patuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan Persekutuan melalui formula kerajaan perpaduan.

    Beliau berkata GPS komited terhadap pembentukan kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat dari pelbagai sudut terutama ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan hak Sarawak dalam Perlembagaan dihargai serta dilaksana.

    “GPS akan mengambil bahagian dalam kerajaan sebagai rakan kongsi atau equal partner. Moga sokongan kepada perdana menteri demi kestabilan dapat melabuhkan tirai krisis politik yang berlaku pada penggal lepas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

     Lukanisman berharap persidangan Parlimen itu akan membentangkan akta seperti Akta Pembiayaan Dana Politik dan bukan sesi untuk meraikan kejayaan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk. – BERNAMA

  • Sekolah diminta rujuk polis sebelum keluar notis mengenai kes culik

    Sekolah diminta rujuk polis sebelum keluar notis mengenai kes culik

    PIHAK sekolah perlu merujuk kepada polis terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang notis pemakluman atau peringatan mengenai insiden yang dikaitkan dengan kes cubaan menculik murid kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15 di sini hari ini, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengingatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk memberitahu pihak sekolah agar merujuk pihak polis sebelum mengeluarkan notis berkenaan.

    “Kita tak nak notis yang dikeluarkan oleh sekolah nanti menimbulkan kerisauan penduduk. Niat sekolah keluarkan notis memang baik namun kadang-kadang peringatan itu boleh diambil dalam konteks berbeza yang menimbulkan kerisauan tidak berasas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kewajaran pihak pengurusan sekolah mengeluarkan notis peringatan mengenai kes culik di kawasan persekolahan.

    Perkara sedemikian didakwa mencetuskan rasa panik dan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, ditambah dengan video tular kononnya berlaku cubaan culik tanpa diperiksa kesahihannya.

    Radzi berkata pihak sekolah secara umumnya turut menerapkan aspek keselamatan murid agar tidak mendekati orang tidak dikenali.

    “Penjagaan keselamatan adalah sebahagian daripada perkara yang sentiasa kita buat termasuk keselamatan lalu lintas, sebagai contohnya,” katanya.

    Mengenai Kompleks Sekolah Presint 15, pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan itu menelan belanja RM121 juta dan dijangka siap pada Ogos 2025.

    “Ini merupakan kompleks pertama untuk penduduk di Presint 15, sebelum ini di Presint 15 tiada sekolah rendah mahupun menengah.

    “Dengan pembinaan kompleks ini yang mengandungi 36 bilik darjah bagi sekolah rendah dan 30 (sekolah menengah) ia tentunya akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar,” katanya dan menambah kompleks tersebut berkeluasan 5.9 hektar. – BERNAMA