Tag: Noorsiah Mohd Saaduddin

  • Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    Kes hina agama, kaum, raja: Pasukan petugas polis buka 7 kertas siasatan

    PASUKAN petugas khas yang ditubuhkan oleh PDRM untuk menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja (3R) membuka tujuh kertas siasatan sejak penubuhannya pada 22 Mac lalu.

    Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, setakat ini dua suspek ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap institusi diraja dan perkauman, manakala seorang suspek masih dikesan.

    “Daripada tujuh kertas siasatan, tiga telah dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya dalam kenyataan.

    Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

    Katanya, pengguna juga disaran menggunakan media sosial dengan bijak terutama yang menyentuh isu 3R bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama terpelihara.

    “Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

    Menurut Noorsiah, pasukan petugas khas itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, di mana siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

    Tambahnya, objektif task force adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh tujuh hari.

    Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha untuk menghasut sentimen perkauman atau agama di negara ini.

  • Sindiket dalang skim pelaburan palsu tumpas, 29 ditahan

    Sindiket dalang skim pelaburan palsu tumpas, 29 ditahan

    SATU sindiket penipuan pelaburan yang beroperasi di beberapa negeri tumpas berikutan penahanan 29 individu dalam serbuan secara berasingan, Selasa lalu.

    Kesemua suspek iaitu 19 lelaki dan 10 wanita berusia 24 hingga 38 tahun ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam serbuan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

    Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, polis merampas 75 unit telefon bimbit, wang tunai RM14,501, komputer tiba, kereta, pasport, jam tangan, kad pelajar, barangan kemas, buku cek, cop dan beberapa dokumen lain.

    Beliau berkata, sindiket itu adalah dalang di sebalik beberapa skim pelaburan disyaki palsu yang baru saja diwujudkan dan menawarkan pelaburan pada kadar pulangan yang tinggi.

    “Tawaran itu dibuat melalui pelbagai medium laman sosial dan skim pelaburan berkenaan dikenali Alpha Mineral Global, Asia Investment VIP (AIV Trading), Max Profit Guides Empire (Max Profit) dan GGX Revolution And Management (CGC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata, semua sudah mendapat perintah tahanan reman antara satu hingga empat hari.

    “Polis menjangkakan jumlah mangsa yang terbabit dengan sindiket ini adalah kecil memandangkan skim pelaburan itu baru saja diwujudkan.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Noorsiah berkata, mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa sindiket itu diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

    “PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai sebarang skim pelaburan atau simpanan yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.

    “Dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan menyertai skim yang meragukan,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    Pemilik akaun Twitter Zulfadzli@bumilangit ditahan

    PEMILIK akaun Twitter menggunakan nama Zulfadzli@bumilangit yang memuat naik video mengandungi unsur perkauman di media sosial ditahan polis, hari ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

    “Lelaki itu direman bermula hari ini hingga 26 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baru-baru ini pemilik akaun Twitter tersebut difahamkan memuat naik video TikTok yang tular yang menjurus kepada unsur perkauman sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.- BERNAMA