Tag: Noorsiah

  • Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    Sindiket menyamar pemilik, pembeli sebelum larikan kenderaan mewah tumpas

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket curi kenderaan mewah selepas menahan 14 individu termasuk dalang utama dalam serbuan baru-baru ini.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata 11 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 43 tahun itu ditahan bersama lima kenderaan mewah yang dicuri.

    Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan pusat jualan dan bengkel kereta, valet parking serta kedai cuci kereta untuk mencuri kenderaan mewah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

    “Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyamar sebagai pembeli atau pemilik kenderaan dan memperdaya pekerja kedai terbabit untuk menyerahkan kunci sebelum bertindak melarikan kereta berkenaan.

    “Sindiket ini juga dikesan pernah mendapatkan khidmat ‘jockey’ untuk menghantar beberapa kenderaan dicuri ke Thailand melalui sempadan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noorsiah berkata pihaknya menerima 14 laporan berhubung aktiviti sindiket itu yang menyasarkan kenderaan mewah daripada jenama Mercedes Benz, Toyota, Honda dan Volkswagon, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    Penuntut antarabangsa miliki bahan pornografi kanak-kanak ditahan

    POLIS menahan seorang penuntut antarabangsa kerana disyaki memiliki bahan pornografi kanak-kanak di Seremban, Negeri Sembilan, Isnin lepas.

    Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata penahanan lelaki berumur 24 tahun yang menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi itu merupakan hasil kerjasama antara PDRM dengan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat.

    Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dalam komputer riba dan telefon bimbit milik lelaki terbabit.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit menggunakan aplikasi media sosial untuk berkomunikasi dan memerangkap mangsa serta melakukan ugutan (sextortion) bagi mendapatkan bahan berunsur seksual daripada mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak di luar negara.

    “Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini untuk dituduh di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini-BERNAMA