Tag: noor hisham abdullah

  • Kanak-kanak positif COVID-19 perlu divaksin – KP Kesihatan

    Kanak-kanak positif COVID-19 perlu divaksin – KP Kesihatan

    KANAK-KANAK bawah 18 tahun yang dijangkiti COVID-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

    “Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini.

    Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

    Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, beliau berkata, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

    Dr Noor Hisham berkata, vaksin COVID-19 Comirnaty® (Pfizer-BioNTech) telah diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Malaysia dan daripada kajian klinikal, keberkesanannya adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19.

    Katanya, ini dapat mengurangkan risiko penyakit COVID-19 yang serius.

    “Pemberian vaksin kepada golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun ini adalah tepat pada masanya untuk melindungi kumpulan ini khususnya kanak-kanak yang mempunyai komorbid. Kanak-kanak golongan umur 5 hingga 11 tahun perlu diberi dua dos vaksin dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun semakin meningkat berikutan kenaikan kes jangkitan virus itu di dalam negara dengan peningkatan dilihat lebih ketara pada Februari 2022 terutama bagi kategori dua hingga lima.

    Katanya, bermula awal Januari hingga pertengahan Februari 2022, bilangan kanak-kanak bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 50,826 orang.

    Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, 15,817 merupakan kategori satu, 34,857 kategori dua, 120 kes (kategori tiga), 28 kes (kategori empat) dan empat kes (kategori lima).

    Katanya, pola penggunaan katil harian pesakit COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak remaja berusia 11 hingga 17 tahun juga meningkat.

    Beliau berkata, ini mungkin disebabkan oleh penularan varian Omicron serta peningkatan pergerakan kanak-kanak dalam komuniti susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, semalam negara merekodkan 28,825 kes baharu iaitu tertinggi setakat ini, manakala 18,514 kes sembuh dilaporkan.

    Daripada 28,825 kes itu, hanya 95 kes adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya terdiri daripada kategori satu serta dua.

    “Daripada 95 kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima yang baru dilaporkan semalam, 28 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 49 kes telah menerima dua dos vaksin, 18 kes telah menerima dos penggalak, 41 kes berumur 60 tahun ke atas dan 48 kes mempunyai komorbid, manakala tiada kes ibu mengandung,” katanya. – BERNAMA

  • 7,373 kes baharu COVID-19, terendah sejak 7 Julai

    7,373 kes baharu COVID-19, terendah sejak 7 Julai

    SEBANYAK 7,373 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan di seluruh negara hari ini, jumlah yang terendah direkodkan sejak 7 Julai lalu.

    Pada hari tersebut, sebanyak 7,097 kes positif baharu direkodkan.

    Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini.

    Pecahan kes mengikut negeri pula adalah seperti berikut:

    Selangor – 1,351 (689,317)

    Sarawak – 1,126 (223,507)

    Sabah – 761 (204,954)

    Johor – 859 (204,655)

    Kuala Lumpur – 288 (188,152)

    Kedah – 437 (140,067)

    Pulau Pinang – 537 (136,337)

    Kelantan – 940 (124,527)

    Perak – 724 (108,530)

    Negeri Sembilan – 198 (98,885)

    Pahang – 553 (70,079)

    Terengganu – 590 (61,624)

    Melaka – 289 (60,603)

    Labuan – 1 (9,985)

    Putrajaya – 23 (6,417)

    Perlis – 66 (4,582)

    Jumlah itu juga menunjukkan penurunan mendadak berbanding 8,743 kes semalam.

    Kelmarin sebanyak 9,751 kes baharu COVID-19 dicatatkan dan angka-angka sebelum itu adalah 9,890 kes (Khamis), 9,380 kes (Rabu), 8,817 kes (Selasa) dan 8,075 kes (Isnin).

    Secara kumulatif, sebanyak 2,339,594 kes COVID-19 dicatatkan sejak pandemik itu melanda negara awal tahun lalu.

    Maklumat terperinci berhubung perkembangan harian COVID-19 di Malaysia boleh diakses melalui laman COVIDNOW https://covidnow.moh.gov.my selepas tengah malam.

    Dalam hantaran berasingan, Dr Noor Hisham menasihatkan rakyat Malaysia agar terus berhati-hati dalam situasi pandemik yang masih belum reda.’

    Beliau mengingatkan orang ramai agar jangan memandang remeh terhadap kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP).

    “Kita mesti terus mematuhi semua langkah berjaga-jaga termasuk melakukan ujian kendiri. Sentiasa berhati-hati sepanjang masa,” jelasnya.

    Dalam pada itu, Dr Noor berkata, Malaysia mencatatkan kes sembuh COVID-19 sebanyak 10,959 kes, mengatasi angka kes baharu berjumlah 7,373.

    Beliau berkata, daripada 7,373 kes baharu COVID-19 itu, 98.2 peratus atau 7,240 kes adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

    “Sementara 133 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

    Beliau berkata ,daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 hari ini, dua adalah kes import melibatkan masing-masing satu warganegara dan bukan warganegara, manakala 7,371 adalah kes tempatan membabitkan 6,991 kes atau 94.8 peratus warganegara sementara 380 atau 5.2 peratus bukan warganegara.

    Dr Noor Hisham berkata, 762 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 410 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

    Katanya, sebanyak lapan kluster baharu dilaporkan dengan lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster tempat kerja, kumpulan berisiko tinggi dan keagamaan.

    Kelantan menjadi negeri dengan kluster baharu tertinggi iaitu sebanyak empat kluster komuniti.

    Dr Noor Hisham berkata, nilai kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.86 dengan negeri kadar Rt tertinggi adalah Perlis iaitu 1.10.

  • Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    Rekod kes sembuh Covid-19 terus tinggi melebihi kes baharu

    JUMLAH harian pesakit yang sembuh daripada COVID-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 18,074 kes pulih dilaporkan hari ini berbanding 13,899 kes baharu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak tersebut kini seramai 1,968,541 orang.

    Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 211 kes atau 1.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 13,688 kes atau 98.5 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

    Selain itu, beliau berkata terdapat 1,071 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) merangkumi 847 kes disahkan COVID-19 manakala 224 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    “Sebanyak 601 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 359 kes positif sementara 242 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata 12 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan lima kluster tempat kerja, tiga kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi, dua kluster komuniti serta masing-masing satu kluster pendidikan lain dan keagamaan. 

    Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) seluruh negara pula ialah 0.90 dengan Pahang muncul sebagai negeri yang mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.01 manakala Labuan menjadi satu-satunya negeri merekodkan R-Naught sifar.

    Beliau juga berkata enam kajian tempatan terhadap mutasi protein pepaku COVID-19 mengesan 475 varian yang membimbangkan (VOC) antara 13 Sept lepas hingga hari ini membabitkan 472 varian Delta dan tiga varian Beta.

    Katanya ia dikenal pasti melalui kajian berterusan oleh Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS), Institut Genom Malaysia (MGI), Institut Farmakogenomik Integratif Universiti Teknologi MARA (iPROMISE-UiTM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI-UKM) serta Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (TIDREC-UM) 

    Dr Noor Hisham berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikategorikan sebagai VOC dan varian yang perlu diberi perhatian (VOI) ialah 1,860 setakat hari ini dengan 1,840 kes adalah VOC manakala 20 adalah VOI.

    “Secara keseluruhan sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,612 kes varian Delta, 214 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

    “Bagi VOI, terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa tiga kes varian Eta,” katanya. 

    Beliau berkata data kematian dan data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman GitHub dan laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my.- BERNAMA

  • Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    Pengunjung ke Langkawi dinasihat patuh SOP, elak kes Covid naik – KP Kesihatan

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam usaha mengimbangi antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan bagi memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian itu.

    “Kerjasama anda semua adalah sangat diperlukan,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya.

    Pada 9 Sept lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 Sept ini.

    Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang meningkatkan kapasiti dan kesiapsiagaan Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 di Pulau Langkawi yang memerlukan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

    HSM merupakan sebuah hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan 79 katil, manakala untuk bukan COVID-19 sebanyak 142 katil. 

    Dr Noor Hisham berkata melalui penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Langkawi International Shooting Range Malaysia (i-PKRC LISRAM) pada 4 Ogos lepas, sebanyak 60 katil tambahan berjaya diwujudkan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori satu, dua dan tiga yang berisiko rendah.

    “Bagi ICU, sebanyak lapankatil tambahan telah diwujudkan sebelum ini (repurposed) menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 dan daripada jumlah itu, sembilan katil adalah dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata jabatan lain HSM, antaranya Jabatan Kecemasan dan Trauma, Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan, Jabatan Pediatrik, Jabatan Forensik serta Unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin akan bertambah.

    “Melalui perbincangan yang diadakan bersama pihak HSM dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

    “Ini termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan dan aset dari daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan oleh pihak swasta,” katanya.- BERNAMA

  • Covid-19: Hampir separuh kes hari ini tiada sejarah vaksinasi – KP Kesihatan

    Covid-19: Hampir separuh kes hari ini tiada sejarah vaksinasi – KP Kesihatan

    SEBANYAK 44.8 peratus atau 8,544 kes daripada jumlah keseluruhan 19,057 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini tiada sejarah vaksinasi COVID-19. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata sebanyak 4,393 kes atau 23.1 peratus daripada kes yang dilaporkan pada hari ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19  atau kurang 14 hari dari tarikh dos kedua.

    “Sebanyak 6,120 kes atau 32.1 peratus daripada kes positif COVID-19 yang dilaporkan pada hari ini  mempunyai sejarah vaksinasi lengkap dan sebahagian besar daripada mereka berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan,” katanya. 

    Menurut Dr Noor Hisham, 362 kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan 304 warganegara dan 58 bukan warganegara.

    Kes kematian di rumah atau brought-in-dead yang dicatatkan hari ini ialah 104 kes dan ia merupakan jumlah kes kematian di rumah tertinggi sejak pandemik melanda. 

    Kes aktif COVID-19 di seluruh negara pada hari ini ialah sebanyak 256,302 kes dengan 1,369 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU, 978 kes merupakan kes positif COVID-19 manakala 391 lagi ialah kes yang disyaki dan dalam siasatan.

    Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pada hari ini pula sebanyak 764 kes terdiri daripada 460 kes COVID-19 dan 304 kes merupakan kes disyaki dan dalam siasatan.  

    Menurut Dr Noor Hisham kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara pada hari ini ialah 0.96.

    Negeri yang mencatatkan kadar Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.14 manakala Kuala Lumpur mencatatkan kadar Rt terendah iaitu 0.79, katanya. 

    Sebanyak 16 kluster baharu dilaporkan hari ini berbanding 34 kluster baharu pada Jumaat dan daripada keseluruhan kluster baharu itu, 12 merupakan kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu kluster pendidikan. – BERNAMA

  • Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    Covid-19:22,642 kes baharu dicatat hari ini – KP Kesihatan

    ANGKA kes harian COVID-19 dalam negara tidak berganjak dari paras 20,000 apabila sebanyak 22,642 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

    Menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebook dan Twitter, Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Malaysia kini 1,616,244.

    Selangor masih mencatat jumlah kes paling tinggi dengan 6,325 kes, diikuti Sabah (3,224), Kedah (2,279), Johor (1,832), Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Kelantan (1,424), Perak (1,390) dan Kuala Lumpur (1,128).

    Negeri lain yang mencatat kes di bawah angka 1,000 adalah Terengganu dengan 744 kes, Pahang (522), Melaka 342, Negeri Sembilan (269), Perlis  (44), Putrajaya (21) dan Labuan (empat).

    Malaysia kembali mencatat kes baharu di paras 20,000 dengan 20,837 kes, semalam.- BERNAMA