Tag: Noor Azmi Ghazali

  • Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    Tiada lagi saman individu tidak pakai pelitup muka

    TIADA lagi saman dikeluarkan terhadap mana-mana individu yang tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam susulan pengumuman baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu yang telah berkuat kuasa minggu lepas.

    “Kerajaan tidak kenakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan tidak akan saman sesiapa lagi.

    “Rakyat sudah biasa dan faham tentang kesihatan awam ini dan hampir kepada kehidupan seperti biasa malah sosial dan ekonomi juga telah dibuka dan perkumpulan sudah dibenarkan.

    “Jadi kita perlu menjaga diri sendiri dan mengamalkan norma baharu termasuk memakai pelitup muka sekiranya mempunyai simptom COVID-19 dan mengasingkan diri sendiri selain membuat laporan dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian pada sidang media sempena Perbincangan Meja Bulat Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) yang turut dihadiri Ahli Pemegang Amanah yayasan itu Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Latif Mohamad di sini hari ini.

    Dr. Noor Azmi berkata orang ramai bagaimanapun digalakkan memakai pelitup muka di tempat sesak dan pemakaian diwajibkan ketika menaiki pengangkutan awam atau berada di fasiliti kesihatan.

    Pada 7 Sept lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau sebaliknya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia sedang menunggu pengisytiharan untuk negara ini memasuki fasa endemik COVID-19 kerana sudah merekodkan jumlah jangkitan kes yang rendah dalam kalangan komuniti ketika ini.

    Menurutnya, pengisytiharan itu bergantung kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menentukan status fasa endemik sesebuah negara.

    “Kita memasuki fasa peralihan ke endemik sebelum ini disebabkan masih ada kes COVID-19 yang dilaporkan dan ada perkara kita masih kena jaga dan kawal,” katanya.- BERNAMA

  • Hanya 57 laporan kesan ringan vaksin terhadap kanak-kanak

    Hanya 57 laporan kesan ringan vaksin terhadap kanak-kanak

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menerima sebanyak 57 laporan berhubung kes Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) daripada seramai 564,220 kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, daripada keseluruhan laporan yang diterima menerusi aplikasi MySejahtera itu, hanya seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital dipercayai akibat masalah asma yang teruk.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (CITF-C) menjelaskan, kanak-kanak terbabit yang mempunyai sejarah penyakit asma bagaimanapun sudah dibenarkan keluar daripada hospital dan kini berada dalam keadaan sihat sepenuhnya.

    Tambah beliau, secara keseluruhan juga, AEFI bukan sesuatu yang serius sebaliknya hanya gejala sampingan ringan seperti demam, lenguh, pening dan kebiasaannya akan hilang sepenuhnya selepas satu atau dua hari menerima suntikan vaksin.

    “Ketika ini, Sarawak mendahului kadar penerimaan vaksinasi untuk kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun diikuti Melaka; Lembah Kelang; Perak dan Pulau Pinang iaitu antara 20 hingga 30 peratus.

    “Tiga negeri dengan kadar vaksinasi terendah pula ialah Kelantan, Terengganu dan Sabah dengan kadar vaksinasi di bawah 10 peratus,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam perkembangan sama,  Dr. Noor Azmi memberitahu, sehingga semalam sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) merekodkan antara 31 hingga 74 peratus pemberian vaksin untuk kanak-kanak berbanding sekolah kebangsaan (SK) iaitu antara 5.9 hingga 21.9 peratus.

    “Sehubungan itu, kita mengingatkan ibu bapa supaya segera mendapatkan vaksin bagi  anak-anak mereka dan tidak mempercayai sebarang berita yang tidak sahih mengenai pemberian vaksin untuk kanak-kanak ini,” katanya.

  • Tersalah ambil picagari kosong ketika vaksinasi remaja

    Tersalah ambil picagari kosong ketika vaksinasi remaja

    SEORANG petugas kesihatan (penyuntik) tersalah mengambil satu picagari kosong ketika proses vaksinasi ke atas seorang remaja berusia 12 tahun yang videonya tular baru-baru ini.

    Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, siasatan awal oleh ProtectHealth mendapati kejadian tersebut berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) pada 30 Sept lepas.

    “Dalam kejadian pukul 3.16 petang itu, petugas kesihatan tersebut telah tersalah ambil satu picagari kosong yang masih belum digunakan dari ruangan meja yang sama dengan picagari berisi vaksin.

    “Petugas kesihatan telah mengikut prosedur yang ditetapkan seperti menunjukkan vaksin dikeluarkan dari botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos yang sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A) berkata, setelah menunjukkan picagari berisi vaksin, petugas kesihatan berkenaan telah meletakkan sebentar picagari tersebut di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan.

    “Bagaimanapun, beliau tersalah ambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja tersebut. Setelah selesai, petugas kesihatan itu menyedari kesilapan beliau dan memaklumkan kepada Pegawai Perubatan yang bertugas di PPV UM.

    “Kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja tersebut. Setelah memahami penjelasan yang diberikan, ibu bapa remaja berkenaan telah memberi kebenaran untuk remaja tersebut diberikan suntikan vaksin di lengan yang berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang,” katanya.

    Dr Noor Azmi berkata, Prosedur Dos Kurang merupakan garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan yang berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan.

    “Pihak CITF-A amat kesal dengan kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada ibu bapa dan remaja yang terlibat atas kesulitan yang berlaku.

    “Kejadian ini disifatkan sebagai kesilapan ketika bertugas atau ‘human error’. Petugas kesihatan berkenaan telah diberi amaran untuk lebih berhati-hati dan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

    Tambahnya, prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberi suntikan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. – BERNAMA