Tag: nikah

  • Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    Datuk, ahli politik Malaysia pilih selatan Thailand bernikah

    LEBIH 500 pasangan dari Malaysia telah bernikah di selatan Thailand, sejak pintu sempadan negara itu dibuka pada awal Mei lepas hingga sehingga kini.

    Ahli Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Abd Rahman Yusuf berkata, kedatangan pasangan dari Malaysia menunjukkan trend peningkatan terutama membabitkan orang kenamaan bergelar Datuk.

    Abd Rahman Yusuf

    Beliau yang juga Ketua Persatuan Imam, Khatib dan Bilal Sungai Golok, berkata pernikahan dikendalikan pihaknya turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan.

    Tambahnya lagi, kebanyakan lelaki yang melangsungkan pernikahan di sini adalah untuk berpoligami atau mengahwini janda.

    “Ramai yang datang ke sini untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Kebanyakannya orang kenamaan yang berpangkat Datuk.

    “Kesukaran untuk berkahwin lagi (di Malaysia), membuatkan mereka mencari penyelesaian mendaftarkan perkahwinan di sini. Di sini lebih mudah dan ia adalah sah.

    “Selepas itu, pasangan tersebut boleh terus mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dengan mudah,” katanya, lapor Astro Awani.

    Menurut Abd Rahman, perkahwinan di Masjid Kedai Baru, Narathiwat adalah yang satu-satunya proses sah bagi pengeluaran sijil nikah dari Thailand yang mempunyai pengesahan daripada Konsulat Malaysia di Songkhla.

    “Hanya sijil pernikahan yang dikeluarkan daripada kita sahaja (Narathiwat) yang mendapat pengiktirafan di Konsulat Malaysia,” jelasnya.

    Ditanya mengenai dokumen yang diperlukan, Abd Rahman berkata, bagi pasangan yang mahu mendaftar perkahwinan, mereka perlu menyediakan wang tunai RM900 bersama dokumen perjalanan seperti pasport atau pas sempadan.

    Selain itu, mereka perlu menyediakan kad pengenalan, surat cerai yang asal bagi janda atau surat kematian suami yang asal bagi balu.

    Media sebelum ini melaporkan, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Muhammad Ridzuan Abu Yazid menasihati rakyat Malaysia yang berkahwin di Selatan Thailand supaya tidak melengahkan pendaftaran perkahwinan apabila kembali ke tanah air.

    Beliau berkata, pendaftaran perlu dilakukan bagi mengelak berlaku masalah pada masa akan datang.

  • Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    Nikah guna khidmat sindiket boleh jadi tidak sah

    PERKAHWINAN menggunakan khidmat sindiket nikah dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak seterusnya boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan yang jelas, justeru pasangan pengantin seharusnya memilih kaedah yang telah disahkan.

    “Sindiket nikah tiada autoriti untuk melaksanakan perkahwinan, masyarakat di luar sana yang tidak arif dengan prosedur perkahwinan akan menganggap apa yang dilakukan sindiket nikah adalah betul sedangkan ia tidak betul.

    “Jika SOP perkahwinan tidak diikuti dengan betul, maka perkahwinan itu tidak sah. Perkara ini perlu diambil berat oleh pasangan yang ingin berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin Negeri Kelantan di Lembaga Tabung Haji Kelantan di Kota Bharu hari ini.

    Beliau mengulas mengenai seruan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kepada pasangan yang bernikah menggunakan khidmat sindiket ‘Lebai Lah’ dari Kuala Krai supaya tampil menghubungi jabatan berkenaan.

    Langkah tersebut dibuat untuk mengesahkan sama ada pendaftaran pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya berikutan penahanan bekas imam itu pada 28 Okt lepas.

    Sementara itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah untuk menunaikan ibadah umrah.

    “Masyarakat juga perlu memilih ejen berdaftar supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

    “Umrah ini di bawah kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). MOTAC telah meletakkan harga lantai umrah ialah RM6,900 dan harga itu yang paling murah,” katanya. – BERNAMA