Tag: Nik Nazmi Nik Ahmad

  • Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    Bekas MP DAP, Charles Santiago Pengerusi SPAN baharu

    BEKAS Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada 20 Mac lalu.

    Pelantikan bekas Ahli Parlimen DAP itu secara amnya telah melengkapkan barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

    Charles sebelum ini memegang jawatan itu dari November 2018 hingga April 2020 ketika Pakatan Harapan berada dalam kerajaan.

    Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, penyerahan watikah bagi pelantikan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Beliau berharap kepimpinan baharu SPAN dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040).

    “Saya percaya bahawa barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini lapor Sinar Harian.

    Nik Nazmi dalam pada itu berkata, mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta anggota suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawal seliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

    “Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi terima kasih kepada barisan anggota suruhanjaya terdahulu yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya.

  • Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    Kabinet harus bersih daripada individu terbabit kes mahkamah – Nik Nazmi

    PEMILIHAN anggota Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus bersih daripada mereka yang terbabit dengan kes mahkamah.

    Menurut Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, adalah lebih baik untuk tidak melantik individu yang mempunyai kes mahkamah berterusan menganggotai Kabinet supaya tiada sebarang isu bakal berbangkit.

    “Saya rasa situasi terbaik dan ideal adalah untuk tidak meletakkan mereka (ada kes mahkamah) dalam Kabinet kerana saya berasa ini isu yang sering ditekankan oleh rakyat sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan kali ini ialah rasuah.

    “Mungkin ada kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi bagi saya definisi (Kabinet) sepatutnya bersih sebersihnya daripada sebarang tuduhan apabila diamanahkan memegang jawatan itu.

    “Apabila kita mentadbir, kita perlu meletakkan penanda aras yang tinggi dalam aspek integriti dan rasuah,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu dalam bual bicara bertajuk ‘Kabinet Bayangan Anwar Ibrahim’, semalam.

    Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, terdapat ramai Ahli Parlimen daripada setiap parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang boleh memegang jawatan kanan dan menteri serta jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    “Memandangkan kerajaan perpaduan Anwar berjaya mencapai dua pertiga (majoriti) Parlimen, terdapat kumpulan yang layak dan mencukupi untuk membentuk Kabinet.

    “Berdasarkan janji Anwar untuk membentuk Kabinet yang lebih kecil daripada barisan sebelum ini yang hampir 70 orang, saya melihat ia sesuatu yang terbaik kerana meletakkan orang yang tepat.

    “Kita perlu meletakkan standard yang tinggi supaya mempunyai menteri yang benar-benar layak dan timbalan menteri yang terbaik untuk membantu mereka selain mengiktiraf kemampuan penjawat awam juga,” katanya, lapor Berita Harian.

    Sementara itu, mengenai Kabinet bayangan yang dikatakan menyenaraikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nik Nazmi menolaknya dan menyifatkan ia sebagai tidak rasmi serta sekadar hiburan, menyamakannya dengan pasukan fantasi semasa Piala Dunia.

    “Itulah harapan rakyat dan mereka mungkin merasakan ia adalah barisan terbaik, bagaimanapun, Perdana Menteri akan memutuskan apa yang terbaik,” katanya sambil menambah bahawa beliau bersedia untuk memegang jawatan menteri jika diberi peluang.

  • Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    Nik Nazmi minta MUDA bertanding kerusi sukar

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu bersikap lebih berani dengan bertanding di kerusi yang dianggap sukar pada pilihan raya akan datang.

    Pandangan itu disuarakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam wawancara yang disiarkan Malaysiakini hari ini.

    Beliau berkata, MUDA harus menerima situasi apabila diperuntukkan ‘kerusi sukar’ sebagai sebahagian daripada proses politik.

    “Saya rasa apa yang penting untuk disedari, adakah kita (PKR) telah melalui tempoh itu apabila terpaksa mengambil kerusi ‘jin bertendang’ (luar bandar).

    “Sebenarnya tidak ada yang salah dengan itu. Jadi saya fikir jika MUDA ingin terus terlibat bagi jangka masa panjang… tidak apa jika anda mahu satu atau dua kerusi yang bagus, tetapi anda juga perlu mengambil kerusi yang sukar,” katanya.

    Kemunculan MUDA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu telah mencetuskan krisis dengan PKR apabila parti setahun jagung itu mendesak supaya diberikan lebih banyak kerusi.

    Rundingan antara PKR dan MUDA menemui jalan buntu apabila parti pimpinan Syed Saddiq itu bertegas mahu meletakkan calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Gambir dan Larkin.

    PKR pula sedia memberi kerusi Sri Medan, Semarang dan Benut yang ditandingi oleh Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Walau bagaimanapun, MUDA tetap berdegil lantas mengakibatkan calon parti itu dan PKR bertembung dalam persaingan enam penjuru di DUN Larkin.

    Kedua-dua parti hanya mendapat ‘habuk’ apabila kerusi DUN Larkin dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

    MUDA pula hanya mampu menang satu daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu DUN Puteri Wangsa.

    Sebelum hari penamaan calon, beberapa pemimpin akar umbi PKR menyatakan mereka tidak berpuas hati apabila Parti Amanah Negara (PAN) menyerahkan kerusi tersebut kepada MUDA.

    Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis mengungkit tentang gerak kerja yang dilakukan jentera PKR bagi memastikan pengundi di kawasan tersebut menyokong Pakatan Harapan (PH).

    PKR yang bertanding menggunakan logo parti sendiri mempamerkan prestasi buruk pada PRN Johor apabila hanya menang satu daripada 20 kerusi yang ditandingi.