Tag: NFC

  • Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    Mahu perkuat pasukan, Shahrizat sah bertanding Ketua Wanita UMNO

    PERNAH menerajui Wanita UMNO selama 10 tahun, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan akan kembali bertanding jawatan yang pernah disandangnya lima tahun lalu setelah menyerahkan kertas pencalonannya awal hari ini di Ibu Pejabat UMNO.

    Menurut bekas Ketua Wanita UMNO dari 2008 hingga 2018 itu, visinya kali ini adalah untuk memperkukuh Wanita UMNO dan melebarkan sayapnya.

    Beliau berkata, Wanita UMNO perlu inklusif dan sentiasa menunjukkan keberadaan sayap itu sebagai pasukan utama untuk membela rakyat seperti yang dilakukan selama ini.

    “Saya bertanding semula bagi jawatan Ketua Wanita UMNO untuk memperkuatkan pasukan ini dan melebarkan sayapnya. Kita perlu memenangi hati dan minda rakyat serta negara ini sekali lagi,” katanya, lapor New Straits Times.

    Mengulas lanjut Shahrizat berkata, beliau mendapat sokongan padu daripada penyokongnya untuk kembali menerajui pergerakan itu dan membuat kemunculan semula.

    Sebelum ini dilaporkan 147 ketua Wanita UMNO bahagian di seluruh negara menggesa Shahrizat menerajui sayap wanita parti itu memandangkan legasi dan reputasi bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kekal walaupun selepas bersara daripada politik.

    Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata keputusan kolektif itu dibuat ketika pertemuan mereka dengan Shahrizat baru-baru ini.

    Shahrizat berkata kekuatannya untuk bertanding jawatan itu berdasarkan pengalamannya mengemudi pergerakan itu sebelum ini.

    Bercakap mengenai lawannya yang juga Ketua Wanita UMNO sekarang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Shahrizat berkata, pertandingan itu bukan bersifat peribadi.

    Beliau berkata, pertandingan dalam jawatan adalah perkara biasa dan pergolakan dalam kempen, bukan sesuatu yang peribadi.

    “Saya memberi arahan kepada mereka yang menyokong saya untuk memulakan kempen secara bersih kerana kita sendiri mengetahui mengenai landskap politik sekarang.

    “Paling penting, mereka yang menyokong saya mesti tahu apa yang saya pegang dan ke mana saya mahu membawa Wanita UMNO ini. Ia bukan untuk memburuk-burukkan kem lawan,” katanya.

    Mengulas kes penyelewengan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), yang menamakan suami dan tiga anaknya sebagai defendan, beliau berkata ia adalah ujian yang perlu dilaluinya.

    “Ia tidak mencemarkan saya, malah UMNO juga tidak tercemar. Saya tidak mempunyai sebarang kes mengenai NFC, sebaliknya keluarga saya menjadi subjek penganiayaan politik.

    “Saya sudah diuji dan terus kuat dalam politik. Bagi saya, politik bukan untuk mereka yang lemah semangat,” katanya.

  • Kerajaan, NFC masih bincang selesai kes saman RM253.6 juta

    Kerajaan, NFC masih bincang selesai kes saman RM253.6 juta

    KERAJAAN Malaysia dan National Feedlot Corporation (NFC) masih lagi berbincang untuk menyelesaikan kes saman yang menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

    Syarikat itu diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

    Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali berkata, pihak-pihak yang turut terlibat dalam perbincangan itu ialah Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

    “Namun, sama ada penyelesaian itu boleh dimuktamadkan hanya boleh ditentukan oleh Kabinet. Mahkamah menetapkan 23 Ogos ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan status penyelesaian,” katanya ketika dihubungi, selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai, hari ini.

    Menurut Asliza, sekiranya penyelesaian tersebut gagal dicapai, perbicaraan kes akan bersambung pada 7 Nov ini dan dijangka suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail akan memberi keterangan.

    Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Jan 2020 dan seramai tujuh saksi plaintif dan seorang saksi defendan, telah selesai memberi keterangan.

    Kerajaan selaku plaintif tunggal menfailkan saman itu menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala Mohamad Salleh dan tiga anaknya, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

    Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

    Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Dis, 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

    Dakwa plaintif, pinjaman itu disalurkan kepada NFC dalam tiga peringkat, dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Jan 2008 hingga 3 Jan 2011.

    Kerajaan mendakwa daripada RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional, manakala baki dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

    Dakwa plaintif, dana sebanyak RM9.76 juta digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence oleh defendan keenam iaitu National Meat & Livestock Corp dan pada masa sama, sebanyak RM300,000 dipercayai digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bagi tujuan yang tidak didedahkan, manakala RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

    Kerajaan mendakwa keluarga Mohamad Salleh telah menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara dan membeli dua bidang tanah di Putrajaya, membuat bayaran kepada dua firma guaman, serta membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. – BERNAMA