Tag: Nepotisme

  • Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    Kenapa lantik Nurul Izzah sedangkan anda bantah nepotisme, TI-M tanya Anwar

    PRESIDEN Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan perdana menteri sedangkan beliau menentang nepotisme.

    Muhammad Mohan berkata, Anwar sentiasa bercakap mengenai nepotisme dan kronisme, oleh itu pelantikan Nurul Izzah tidak baik untuknya.

    Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah berintegriti, tetapi katanya, persepsi yang timbul daripada pelantikannya ialah nepotisme sudah “kembali”.

    “Saya dipanggil ke Parlimen dua tahun lalu untuk menjelaskan mengapa 71% rakyat Malaysia merasakan rasuah dalam kerajaan merupakan masalah. Daripada semua Ahli Parlimen yang bertanya soalan, beliau satu-satunya orang yang peka dan tanya soalan sangat baik.

    “Nurul Izzah adalah individu sangat berharga kepada negara, tetapi hanya pelantikan oleh bapanya yang menjadi isu,” katanya lapor FMT.

    Muhammad berkata, ia tidak akan menjadi isu jika naib presiden PKR itu dilantik ke kementerian lain.

    Beliau berharap Anwar akan bertindak balas terhadap kritikan dan gesaan untuk beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.

    Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal. Beliau gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada PRU15, selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional.

  • Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    Anwar perlu cermin diri sebelum bercakap mengenai nepotisme

    PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim patut cermin diri sendiri sebelum bercakap mengenai menentang nepotisme dan menyokong reformasi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Anwar sendiri mengamalkan nepotisme apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

    “Itulah nepotisme pada tahap tertinggi. Tidak kisahlah apa yang Anwar cakap mengenai orang lain termasuk saya sendiri, beliau perlu cermin diri sendiri.

    “Anwar sentiasa bercakap mengenai reformasi dan (mendakwa) menentang amalan nepotisme tetapi menariknya mengenai Anwar ialah beliau sendiri contoh nepotisme,” kata Saifuddin, lapor portal BeritaBersatu.

    Kata Saifuddin, satu lagi contoh adalah Langkah Kajang pada 2014 apabila PKR mahu menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan cuba meletakkan Anwar sebagai ADUN Kajang.

    Bagaimanapun, Anwar tidak layak kerana ada kes mahkamah dan digantikan dengan isterinya.

    Saifuddin mengkritik Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana meminta pengundi tidak mengundi pemimpin yang berpaling tadah kepada parti lain.

    “Pemimpin sebenar tidak membuat serangan peribadi. Pemimpin sebenar bercakap mengenai dasar dan manifesto mereka. Rumusan saya adalah mudah, mereka (PH) tidak ada calon yang baik untuk menentang saya,” katanya.

    Saifuddin bakal mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan buat penggal kedua. Beliau dicabar Quek Tai Seong daripada Barisan Nasional (BN) Zuraidi Ismail (PH) dan Mohamad Nor Sundari (Pejuang).