Tag: negeri

  • 13,899 kes Covid-19, enam negeri catat lebih 1,000 kes

    13,899 kes Covid-19, enam negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun sedikit apabila merekodkan sebanyak 13,899 kes hari ini berbanding 14,554 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 655 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 2,185,131 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak kekal mendahului kes harian Covid-19 terbanyak apabila mencatatkan sebanyak 2,712 kes diikuti Selangor dengan 2,341 kes.

    Selain Sarawak dan Selangor, empat negeri lain turut mencatatkan lebih seribu kes positif harian Covid-19.

    Negeri itu ialah Johor (1,377 kes), Kelantan (1,170 kes), Perak (1,128 kes) dan Pulau Pinang (1,060 kes)

    Sabah berjaya menyertai Kedah, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang yang mencatatkan hanya tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Perlis (17 kes) dan Putrajaya (37 kes).

  • 13,754 kes baharu Covid-19, semua negeri bawah 2,000 kes

    13,754 kes baharu Covid-19, semua negeri bawah 2,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini terus menunjukkan trend penurunan apabila merekodkan sebanyak 13,754 kes hari ini berbanding 14,990 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 1,236 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 2,156,678 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat pertama kali dalam tempoh beberapa bulan, kesemua negeri berjaya mencatatkan jangkitan positif Covid-19 di bawah paras 2,000 kes.

    Selangor kekal mendahului negeri lain dengan kes jangkitan baharu terbanyak iaitu sebanyak 1,985 kes berbanding 2,414 kes semalam.

    Selain Selangor, lima negeri lain turut mencatatkan lebih seribu kes positif harian Covid-19.

    Negeri itu ialah Johor (1,913 kes), Sarawak (1,766 kes), Sabah (1,629 kes), Kelantan (1,264 kes) dan Pulau Pinang (1,052 kes)

    Bagaimanapun Perlis mencatatkan jangkitan tertinggi yang pernah direkodkan di negeri itu iaitu 113 kes.

    Kedah dan Perak pula menyertai Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang yang mencatatkan hanya tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lapan jangkitan diikuti Putrajaya (14 kes).

  • Covid-19: 14,990 kes baharu, lapan negeri lebih 1,000 kes

    Covid-19: 14,990 kes baharu, lapan negeri lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini turun sedikit berbanding semalam apabila merekodkan sebanyak 14,990 kes hari ini berbanding 15,759 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 769 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 2,142,924 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kembali mendahului negeri dengan kes jangkitan baharu terbanyak dengan 2,414 kes berbanding 1,934 kes semalam.

    Tujuh negeri lain turut menyumbang lebih seribu kes positif harian Covid-19.

    Negeri itu ialah Johor (1,880 kes), Sarawak (1,712 kes), Kelantan (1,573 kes) Perak (1,490 kes), Pulau Pinang (1,224 kes), Sabah (1,199 kes) dan Kedah (1,007 kes).

    Perlis kembali mencatatkan kes terbanyak hari ini dengan 97 kes berbanding 23 kes semalam.

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti dan Putrajaya (30 kes).

  • Hampir semua negeri capai tahap 50 peratus lengkap dua dos vaksin

    Hampir semua negeri capai tahap 50 peratus lengkap dua dos vaksin

    HAMPIR kesemua negeri dan wilayah di Malaysia telah mencapai tahap 50 peratus pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Facebook berkata, hanya Kelantan dan Sabah yang belum mencapai tahap 50 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa dengan masing-masing merekodkan 49.9 peratus dan 46.1 peratus.

    Lembah Klang membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menyaksikan peratusan tertinggi dalam pemberian dos vaksin membabitkan populasi dewasa iaitu 112.9 peratus sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 97.8 peratus lengkap divaksinasi.

    Pencapaian itu diikuti Labuan (102.5 peratus satu dos dan 95.6 peratus dua dos); Sarawak (91 peratus satu dos dan 87.8 peratus dua dos); Negeri Sembilan (98.4 peratus satu dos dan 84.1 dua dos) dan Perlis (92 peratus satu dos dan 72.2 peratus dua dos).

    Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin membabitkan populasi dewasa ketika ini pada sekitar 60 peratus.

    Selain itu, Johor, Pahang, Perak dan Kedah masing-masing menyaksikan pemberian dua dos vaksin ketika ini pada sekitar 50 peratus.

    Secara keseluruhannya, sebanyak 69.6 peratus atau 16,299,881 individu daripada populasi dewasa Malaysia telah melengkapkan suntikan dua vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Selain itu, 88.9 peratus atau 20,814,413 juta orang populasi dewasa pula telah mendapatkan satu dos vaksin.

    Menurutnya, 49.9 peratus populasi keseluruhan negara telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 manakala 63.7 peratus sekurang-kurangnya satu dos.

    “Ini menjadikan jumlah dos diberikan di seluruh negara termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah sebanyak 37,071,789 dos,” katanya hari ini.

    JKJAV pada masa sama memberitahu, untuk vaksinasi harian, sebanyak 326,476 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, ia melibatkan pemberian 134,307 dos pertama manakala 192,169 lagi dos lengkap.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Februari lalu memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Sultan Kedah titah agar lebih banyak vaksin dibekalkan kepada negeri itu

    Sultan Kedah titah agar lebih banyak vaksin dibekalkan kepada negeri itu

    SULTAN Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan agar jumlah vaksin yang banyak dapat dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan negeri itu mencapai imuniti kelompok lebih awal dan sektor ekonomi dipulihkan lebih cepat.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Paduka Bakar Din dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa dukacita dengan kadar jangkitan COVID-19 baharu yang dilaporkan setiap hari di Kedah kekal menunjukkan jumlah empat angka sejak hampir sebulan lepas.

    “Sehingga 16 Ogos, kadar vaksinasi bagi populasi dewasa di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas yang telah lengkap dua dos suntikan baru mencecah 31.8 peratus manakala yang memperoleh satu dos suntikan adalah sebanyak 55 peratus.

    “Ini menunjukkan sekiranya suatu langkah yang serius tidak diambil, Kedah mungkin akan lewat mencapai imuniti kelompok seperti yang dihasratkan,” katanya.

    Beliau berkata sehubungan itu, Sultan Sallehuddin menyeru hospital swasta, klinik pengamal perubatan am serta seluruh badan korporat dan swasta turut sama berganding bahu memberi sokongan, bantuan dan sumbangan yang bersesuaian dengan fungsi, peranan dan kemampuan masing-masing bagi memangkin peningkatan kadar vaksinasi itu.

    “Baginda turut menzahirkan penghargaan buat semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital dan pusat pemberian vaksin di seluruh negeri Kedah yang sedang bertungkus-lumus menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.- BERNAMA

  • Vaksinasi lengkap bantu lima negeri kurangkan kemasukan kategori 3 hingga 5 ke hospital

    Vaksinasi lengkap bantu lima negeri kurangkan kemasukan kategori 3 hingga 5 ke hospital

    SUNTIKAN dos lengkap vaksin COVID-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

    “Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

    “Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 di sini hari ini.

    Beliau berkata trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

    “Selepas pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, kita dapati pada minggu ke-30, kes kemasukan kategori empat dan lima ke hospital semakin menurun dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

    “Selain itu, kita lihat kes kemasukan individu berusia antara 40 hingga 59 tahun dan 20 hingga 39 tahun juga ada penurunan. Ini menunjukkan kesan vaksinasi berjaya menurunkan kes ke hospital dan penggunaan katil-katil di ICU,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata simptom keparahan dialami mereka yang dijangkiti juga rendah apabila hanya tiga kes daripada petugas kesihatan yang dijangkiti virus itu berada dalam kategori lima iaitu dua daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat di ICU serta diberi bantuan pernafasan.

    Beliau turut memaklumkan bahawa daripada sejumlah 21,468 jangkitan baharu COVID-19 yang dilapor hari ini, hanya 2,703 kes atau 12.6 peratus telah lengkap divaksinasi.

    Katanya kes aktif pula ialah 241,187 manakala seramai 1,075 pesakit kini dirawat di ICU dengan 537 orang memerlukan bantuan pernafasan. Kes sembuh yang dilaporkan hari ini ialah 17,025.

    Sejumlah 277 kematian dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kematian negara kini 11,968 orang, katanya sambil menambah terdapat 41 kluster baharu direkodkan, menjadikan kluster aktif kini berjumlah 1,293.

    Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R-naught (RT) di Malaysia kini 1.05 dengan Perlis mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah dan Kelantan (masing-masing 1.20) serta Sarawak dan Pulau Pinang (1.17).- BERNAMA

  • Kes baharu Covid-19 turun sedikit kepada 21,468 jangkitan: 7 negeri catat lebih 1,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 menunjukkan sedikit penurunan berbanding semalam apabila 21,468 kes direkodkan hari ini berbanding 21,668 semalam.

    Kes positif terbaharu itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,363,683 kes.

    Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan penularan jangkitan Covid-19 tertinggi masing-masing dengan 7,449 kes dan 2,183 kes.

    Peningkatan kes harian turut disumbang lima negeri yang mencatatkan lebih seribu jangkitan.

    Negeri itu ialah Kedah (1,807 kes); Sabah (1,654 kes); Johor (1,485 kes); Pulau Pinang (1,316 kes) dan Kelantan (1,088 kes).

    Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 6 kes diikuti Perlis (50 kes) dan Putrajaya (66 kes).