Tag: negara sekular

  • Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    Ambil tindakan tegas penyebaran bahan promosi LGBT, negara sekular – Pas Selangor

    PENYEBARAN bahan-bahan yang mempromosi budaya songsang Lesbian Gay Bisexual dan Transgender (LGBT) dan konsep negara sekular seperti fahaman komunis oleh pihak-pihak tertentu mestilah diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa di negara ini.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, parti itu menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas keprihatinan untuk membendung umat Islam daripada budaya songsang LGBT serta konsep negara sekular.

    Tegas beliau, Pas konsisten berpegang dengan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan Negara.

    “Peruntukan mengadakan latihan dan meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah oleh pihak kerajaan persekutuan juga amat wajar bagi memajukan lagi pentadbiran agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri seterusnya mengekang budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus tumbuh di Negeri Selangor khususnya,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor juga menegaskan bahawa dialog antara agama juga perlu digerakkan semula.

    Beliau menjelaskan, ini bagi membugar semangat toleransi dan mencapai kesepakatan dalam menolak budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus membarah dalam masyarakat di negara ini.

    “Pas dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung budaya politik matang dan sejahtera, dan akan terus berkerja memartabatkan Agama Islam dan seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di Negeri Selangor ini khususnya,” tambahnya.

    Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan LGBT serta konsep negara sekular.

    Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

  • Sultan puji pendirian Anwar tak iktiraf LGBT, negara sekular

    Sultan puji pendirian Anwar tak iktiraf LGBT, negara sekular

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

    Sultan Sharafuddin bertitah, baginda baru-baru ini ada membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Anwar tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan berkenaan.

    “Baru-baru ini beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

    “Jaminan ini bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda, lapor MalaysiaKini hari ini.

    Anwar selepas kira-kira sebulan setengah menjadi Perdana Menteri memberi jaminan bahawa golongan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak akan diiktiraf oleh pentadbirannya.

    Bercakap dalam program khas RTM pada 7 Januari, Anwar berkata, perkara itu hanya dibangkitkan pihak tertentu yang cuba menyebarkan perkara tidak benar.

    Beliau juga menyaman Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mengaitkannya dengan agenda LGBT semasa kempen pilihan raya umum lalu.

    Saman fitnah itu bagaimanapun selesai apabila Razman menarik balik kenyataan, memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Taiping dan berjanji tidak akan mengulanginya.

    Dalam titah di Istana Melawati, Putrajaya, baginda juga menyeru sokongan semua pihak kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) serta meletakkan pentadbiran institusi Islam persekutuan pada landasan sepatutnya.

    “Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam.

    “Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baharu MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mentaliti yang baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.

    Ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 tahun lepas, Sultan Sharafuddin dipilih sebagai pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.

    Sebelum ini, jawatan itu disandang Perdana Menteri bermula dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

    Sementara itu, Bernama melaporkan baginda berharap mesyuarat MKI ke-69 yang dipengerusikan baginda hari ini akan menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak.

    Sultan Selangor, yang julung kali mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak dipilih sebagai pengerusi MKI tahun lepas, berharap agar semua pihak menghormati peruntukan dalam perlembagaan yang menjamin hak dan kuasa raja-raja.

    “Beta yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara raja-raja pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat persekutuan dan membolehkan hubungan yang lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas-lunas perlembagaan,” titah baginda.

    Anwar yang juga Timbalan Pengerusi MKI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar turut hadir.