Tag: Nazri Aziz

  • Pemimpin kerajaan yang patut ditangkap, Dr M beritahu Nazri

    Pemimpin kerajaan yang patut ditangkap, Dr M beritahu Nazri

    PEMIMPIN kerajaanlah yang sepatutnya ditangkap kerana menghasut, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurutnya, jika kerajaan gagal mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi orang Melayu, bolehlah dianggap pihak berkuasa sedang mempromosikan kemiskinan di kalangan masyarakat tersebut.

    Sikap memihak untuk menekan orang Melayu, kata bekas ahli Parlimen Kubang Pasu dan Langkawi itu merupakan manifestasi rasisme kerajaan.

    Sikap tersebut katanya, bersifat menghasut dan bercanggah dengan Perlembagaan negara.

    “Oleh itu pemimpin kerajaanlah yang patut ditangkap kerana menghasut,” katanya, hari ini, lapor Malaysiakini.

    Hantaran itu jelas menjadi reaksi Mahathir terhadap Duta Malaysia ke AS yang juga bekas ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu ahli politik berusia 97 tahun terbabit diambil tindakan mengikut Akta Hasutan semalam.

    Kata Nazri apa yang dilakukan Mahathir sekarang jelas mahu menghasut rakyat supaya membenci kerajaan.

    “Kerajaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir walaupun dia bekas perdana menteri.

    “Semasa zaman Mahathir (sebagai perdana menteri), sesiapa yang mengadakan perhimpunan mengkritik kerajaan dianggap menentang pentadbiran, dan dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

    Tak halang demonstrasi

    Menurut Mahathir kerajaan sekarang bersalah kerana membatalkan beberapa tempahan lokasi program himpunan Proklamasi Orang Melayu bagi melancarkan pengisytiharan mengenai isu yang dihadapi orang Melayu.

    Isnin lalu, Malaysiakini mendedahkan bagaimana bekas perdana menteri itu telah mengambil amaran Anwar tentang tiada tolak ansur terhadap mereka yang menyalakan api perkauman dan agama di luar konteks.

    Mahathir juga menjawab pembangkang yang menuding jari kepadanya kerana tindakan “Op Lalang” yang menyaksikan lebih 100 ahli politik, aktivis dan lain-lain ditahan tanpa bicara pada 1987.

    Walaupun alasan rasmi langkah itu adalah untuk mengelakkan ketegangan kaum daripada meningkat, pengkritik Mahathir mendakwa dia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim untuk menyekat perbezaan pendapat.

    “Parti dalam PH selalu menyalahkan saya atas Op Lalang. Tetapi apabila ia mencapai objektif mereka, mereka dengan senang hati menerima saya sebagai rakan sekerja dan juga sebagai calon untuk menjadi perdana menteri mereka,” kata Mahathir di media sosial.

    Sebagaimana biasa, Mahathir mengulangi penegasan bahawa bukan dia yang mengarahkan penahanan beramai-ramai dalam Op Lalang kira-kira 36 tahun lalu walaupun dia merupakan perdana menteri ketika itu.

    Dalam usaha untuk mempamerkan kepimpinannya yang dikatakan bertolak ansur, Mahathir mengimbau bagaimana dia memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada 1998 namun tidak menghalang demonstrasi diadakan.

    “Semasa saya menjadi perdana menteri keempat, Anwar mengadakan demonstrasi mingguan. Saya tidak menghalangnya,” kata bekas ahli parlimen Kubang Pasu itu.

    Bagaimanapun, Anwar – yang memberi arahan agar diadakan perhimpunan pada 2 Sept 1998 – ditahan mengikut ISA 18 hari kemudian.

    Anwar kemudian dihadapkan ke mahkamah kerana mengalami masalah mata lebam. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kemudian mendapati ketua polis negara ketika itu Rahim Noor menyerang Anwar semasa dalam tahanan.

    Bercakap mengenai insiden itu selepas Mahathir dan Anwar kembali menjalin kerjasama jangka pendek pada 2018, bekas perdana menteri itu berkata dia marah apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

    Bagaimanapun, pada 1998 Mahathir telah menyatakan bahawa kecederaan mata Anwar itu boleh dilakukan sendiri.

  • Tak perlu tanding 2 jawatan tertinggi UMNO cadangan ‘lapuk’, tak demokratik

    Tak perlu tanding 2 jawatan tertinggi UMNO cadangan ‘lapuk’, tak demokratik

    UMNO dianggap tidak demokratik sekiranya tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz.

    Katanya, langkah seperti itu menyekat amalan demokrasi yang sudah lama subur dalam UMNO selain menyatakan sebarang cadangan ke arah itu sebagai “lapuk”, sekali gus menunjukkan UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

    “Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk pada PRU15 lalu,” lapor Utusan Malaysia.

    Nazri berkata, cadangan dua jawatan itu tidak dipertandingkan, merujuk presiden dan timbalan presiden yang masing-masing disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, seolah-olah memperkecilkan keupayaan mereka.

    Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu terbukti mampu menang pada pemilihan parti, pada 2018, sekali pun tidak ada jawatan dalam kerajaan.

    “Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

    “Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang sebab ahli-ahli Umno mahu amalan demokrasi dalam parti subur,” katanya.

    Beliau ketika mengulas lanjut, berkata semua boleh terima jika sebelum ini parti tidak mahu ada pemilihan kerana mahu fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti.

    Beliau mempersoalkan bilakah mahu diadakan pemilihan sekiranya selepas PRU15 masih tidak mahu berbuat demikian.

    “Bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, Umno sudah tidak ada lagi,” katanya.

    Nazri berkata, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

    “Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam Umno, tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi kalah teruk.

    “Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” katanya.

  • “Jangan sekat demokrasi dalam UMNO” – Nazri Aziz

    “Jangan sekat demokrasi dalam UMNO” – Nazri Aziz

    MANA-mana pihak atau individu tidak seharusnya menyekat amalan demokrasi yang telah lama subur dalam UMNO, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Mohamed Nazri menegaskan, sebagai sebuah parti terulung yang terlibat dalam sistem demokrasi di negara ini, UMNO perlu menunjukkan contoh dengan membenarkan pemilihan semua jawwtan dalam parti dipertandingkan.

    Menurutnya, jika terdapat usaha untuk menghalang jawatan tertentu tidak dipertandingkan, UMNO akan menjadi sebuah parti yang tidak lagi demokratik.

    “Kita sepatutnya bergerak ke depan bukan ke belakang dengan cadangan-cadangan lapuk yang langsung tidak mengambarkan UMNO sebuah parti yang menjunjung amalan demokrasi.

    “Sekiranya benar ada usaha untuk menghalang pemilihan jawatan tertentu dalam parti nampaknya UMNO semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

    “Ia juga bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas prestasi buruk kita pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) lalu,” katanya kepada Astro AWANI.

    Mohamed Nazri juga menyifatkan pihak yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti seolah-olah memandang rendah keupayaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Katanya, kedua-dua pemimpin ini telah membuktikan kehebatan masing-masing dengan memenangi pemilihan lalu tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.
    “Zahid dan Tok Mat (Mohamad) menang ketika pemilihan tahun 2018 dulu masa UMNO jadi pembangkang, menang bertanding bukan menang percuma.

    “Masa jadi pembangkang boleh ada pertandingan, bila dah jadi kerajaan tidak mahu ada pertandingan, tidak cerdik sangat cadangan ini? Mereka ini semua anggap Zahid macam tidak ada maruah.

    “Kena ingat, Zahid adalah orang yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada 2018, beliau berani dan kerana keberanian itu beliau menang kerana ahli-ahli UMNO mahu amalan demokrasi dalam parti subur.

    “Sebelum ini, kita kata tidak mahu ada pemilihan sebab nak fokus PRU15 dan tidak mahu ada perpecahan dalam parti, kalau selepas PRU15 masih tidak mahu ada pemilihan, bila boleh? Nak tunggu selepas PRU16? Takut nanti selepas PRU16, UMNO sudah tidak ada lagi,” katanya lagi.

    Dalam masa sama, Mohamed Nazri menegaskan, pihak yang mencadangkan agar jawatan nombor satu dan dua dalam UMNO tidak dipertandingkan perlu melihat keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menguji keabsahannya.

    “Kita sekarang sudah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)… satu kerjasama yang pernah saya cadangkan pada 2019 hingga saya diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang sekarang ini menyokong usaha ini.

    “Bila kita sokong dan adakan kerjasama sepatutnya kita contohi juga amalan demokrasi dalam parti-parti PH macam PKR dan DAP yang berani buat pemilihan sebelum PRU15 lalu.

    “Mereka suburkan amalan demokrasi dalam parti mereka tetapi kita ada pula yang masih berfikiran 30 tahun ke belakang, mahu jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan.

    “Dengan pemilihan ini, Zahid dapat membuktikan bahawa beliau ada sokongan dan keputusan bekerjasama dengan PH mendapat restu ahli-ahli UMNO,” katanya lagi.

    Mohamed Nazri juga berpendapat tidak mungkin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan bersetuju dengan cadangan untuk tidak diadakan pemilihan jawatan tertentu dalam parti.

    Hujah beliau, RoS merupakan badan yang bertanggungjawab menjaga kepentingan demoktarik ahli-ahli parti politik.

    “Jika RoS bersetuju, bermakna badan itu tidak lagi berfungsi sepertimana sepatutnya iaitu menjaga hak demokratik ahli parti politik.

    “Dan sebelum ini RoS meluluskan untuk pemilihan ditangguhkan enam bulan selepas PRU15, jadi kalau jawatan Presiden dan timbalan tidak dipertandingkan maka keputusan RoS sebelum ini sia-sia,” ujar beliau.

    Sebelum ini, terdapat cadangan daripada beberapa pemimpin peringkat bahagian yang mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

    Antara alasan yang diberikan adalah bimbang akan berlaku perpecahan dalam UMNO akibat pemilihan tersebut.

    Kata Mohamed Nazri lagi, jika benar mahu mengelak perpecahan dalam parti, semua jawatan di cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

    “Kalau benar-benar nak elak perpecahan dan jaga perpaduan dalam parti, maka jawatan-jawatan ketua dan timbalan ketua di peringkat cawangan dan bahagian juga tidak dipertandingkan.

    “Sebenarnya mereka yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ini bukan nak jaga perpaduan dalam UMNO tetapi menjaga kepentingan peribadi sebab dalam PRU15 lalu mereka ini telah menjadi calon tetapi telah kalah teruk.

    “Mereka ini bimbang kalau berlaku pertukaran pemimpin nama mereka tidak lagi dicalonkan pada PRU16,” bidas beliau.