Tag: Nanda Maarof

  • Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang

    Polis mohon bantuan orang ramai kesan remaja hilang

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk membantu mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman College Height, Sikamat, Seremban sejak lima hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful, 17, kali terakhir dilihat di ruang tamu oleh bapanya yang mahu keluar bekerja kira-kira 2.45 petang, 24 Feb lepas.

    Beliau berkata bapa remaja itu menyedari kehilangan anak sulungnya hampir dua jam selepas itu dan cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah namun gagal ditemukan.

    “Ini kali pertama Nur Dalila Amani keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga. Bapanya juga cuba mengesan remaja berkenaan melalui rakan sekolah namun gagal.

    “Bapanya menjelaskan tiada pertengkaran atau perselisihan faham antara mereka sebelum anaknya yang masih bersekolah itu menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nanda berkata Nur Dalila Amani memakai baju putih, berseluar panjang dengan beg silang coklat serta memiliki telefon bimbit, justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran. – BERNAMA

  • Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    Lelaki maut, rakan parah motosikal dihempap pokok

    SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok yang tumbang di Jalan Seremban-Tampin, di sini, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata penunggang, Muhammad Ikram Mohd Yazid, 21, yang beralamat di Jalan Kampung Perigi Jernih, Rembau, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu.

    Beliau berkata pembonceng yang dikenali sebagai Ammar Zarif Mohamad Junaidi, 18, beralamat di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pula berada di zon merah Hospital Rembau akibat kecederaan parah di bahagian badan.

    “Kemalangan berlaku semasa motosikal jenis Yamaha FZ150 dinaiki mereka bergerak dari arah Senawang menuju ke Rembau. Setibanya di tempat kejadian, terdapat satu pokok di kiri bahu jalan tumbang lalu menghempap motosikal berkenaan menyebabkan kedua-duanya terperosok ke bawah pokok itu.

    “Lokasi kejadian berbentuk jalan lurus dan mempunyai dua lorong berlawanan arah dan keadaan jalan raya gelap tanpa pencahayaan lampu jalan, serta cuaca ketika itu baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA