Tag: naik harga

  • Harga kelengkapan sekolah naik, ibu bapa kecewa

    Harga kelengkapan sekolah naik, ibu bapa kecewa

    KEBANYAKAN ibu bapa kecewa selepas barangan kelengkapan sekolah mengalami kenaikan harga ketika anak-anak mereka akan memasuki sesi persekolahan baru tidak lama lagi.

    Keadaan itu memaksa mereka berbelanja mengikut keperluan dan berharap kerajaan dapat mengawal kenaikan tersebut.

    Memetik laporan Harian Metro, ibu bapa yang ditemui mengakui terdapat peningkatan harga bagi kelengkapan persekolahan menyebabkan mereka mengambil keputusan tidak membeli semua kelengkapan baharu, sebaliknya apa yang perlu saja.

    Bagi suri rumah dan peniaga dalam talian, Azura Halim, 39, berkata, peningkatan dirasai dari segi harga berbanding tahun lalu terutama pakaian dan peralatan sekolah.

    “Kami membuat persediaan secara sederhana saja, mana pakaian yang masih elok kami guna semua dan beli yang perlu.

    “Jumlah perbelanjaan yang kami sediakan untuk anak dalam RM1,200 untuk tiga anak.

    “Anak sekolah menengah seorang manakala dua lagi sekolah rendah. Saya mengawal perbelanjaan anak dengan cara saya dahulukan barang yang penting seperti buku dan alat tulis.

    “Manakala pakaian dan kasut sekolah akan dibeli jika ada bajet. Memang saya akui sangat kecewa dengan kenaikan harga barangan sekolah sekarang berbanding sebelum ini kerana ibu bapa dalam masa yang sama terbeban menanggung kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

    “Kami berharap agar kenaikan harga barangan sekolah dapat dikawal supaya ibu bapa yang dalam golongan B40 dam M40 tidak terlalu terbeban,” katanya kepada Harian Metro.

    Seorang kakitangan awam, Mohd Syahmir Mohd Aminnudin, 40, berkata, dia membawa anak-anak membeli kelengkapan sekolah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini sambil berjalan-jalan bersama keluarga.

    “Saya memperuntukkan sebanyak RM300 untuk membeli kelengkapan sekolah bagi seorang anak yang mana saya memiliki tiga anak (seorang sekolah menengah dan dua lagi sekolah rendah), untuk mereka saja kira-kira RM1,000 akan dibelanjakan untuk baju saja, tidak termasuk buku.

    “Memang ada harga yang naik, tetapi macam saya akan buat ‘survey’ dan perbandingan dulu kedai mana yang ada tawarkan harga lebih berpatutan dan kualiti kain yang bagus.

    “Sekarang memang semua harga barangan meningkat, jadi kita perlu menjadi pengguna bijak, buat dulu perbandingan,” katanya.

    Kakitangan swasta, Ernie Syazana Iskandar, 35, berkata, dia tidak dapat mengelak dengan kenaikan ketara kelengkapan sekolah kerana mempunyai empat anak yang masih bersekolah.

    Katanya, sebelum ini untuk baju sekolah saja dia menyediakan kira-kira RM600 bagi empat anaknya (seorang menengah dan tiga sekolah rendah) dan tahun ini dia terpaksa membelanjakan RM800.

    “Kecewa sebab harga naik ketara, itu belum masuk perbelanjaan lain untuk anak-anak, saya harap ada pihak berkuasa yang boleh memantau kenaikan harga kelengkapan sekolah.

    “Memang ada yang murah tapi kualiti tidak tahan lama,” katanya.

    Bagi kakitangan kerajaan, Julia Rosli, 39 berkata, dia membuat pilihan teliti sebelum membeli barang sekolah anak-anak.

    “Ramai yang mengeluh harga kelengkapan sekolah naik, saya sendiri hanya beli kelengkapan yang sudah tidak elok.

    “Kalau kain atau seluar sekolah masih elok dan boleh pakai, saya akan guna lagi, lagi pula saya selalu beli baju sekolah anak-anak, sebab warna putih cepat kotor dan lusuh.

    “Baju sekolah agama dan baju sukan pula, kami beli terus dari sekolah,” katanya yang berasal dari Kedah.

    Menurutnya, masih ada kedai yang menjual kelengkapan sekolah pada harga mampu milik dengan kualiti baik.

  • Susu suplemen ibu bakal naik harga selepas cukai gula dilaksanakan

    Susu suplemen ibu bakal naik harga selepas cukai gula dilaksanakan

    SUSU suplemen ibu hamil dan ibu menyusu antara produk yang dijangka menyaksikan kenaikan harga sekiranya kerajaan meneruskan pelaksanaan cukai minuman gula (SSB) yang sedang dalam proses rundingan dilaksanakan, kata pemain industri.

    Lapor MalaysiaNow, Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Soh Thian Lai berkata, Kementerian Kewangan sehingga sekarang masih belum mengecualikan produk susu untuk dewasa termasuk suplemen ibu mengandung.

    “Dengan kadar inflasi yang sedang meningkat, mengenakan duti eksais terhadap makanan dan minum terpilih tidak hanya meningkatkan harga kepada barangan yang sangat diperlukan bagi kumpulan berpendapatan rendah, bahkan ia bakal menghakis kuasa beli untuk produk makanan,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Setakat ini, hanya susu formula bayi yang dikecualikan daripada cukai tersebut.

    Thian Lai berkata, faktor penawaran dan bekalan juga akan memainkan peranan terhadap turun naik harga kedua-dua produk susu itu.

    Semakan di laman iprice.my mendapati, harga susu ibu hamil ialah sekitar RM38 hingga RM70, bergantung kepada jenama dan sukatan.

    Manakala susu ibu menyusu berharga antara RM34 hingga RM86.

    Cukai SSB diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan diperluaskan untuk memasukan produk pracampuran berasaskan koko dan coklat.

    Ia sepatutnya dikuatkuasakan pada 2 April 2022 namun ditangguhkan sebanyak dua kali, iaitu pada 1 November 2022 dan 1 Januari 2023.

    Menurut Soh, duti eksais yang dikenakan meliputi pelbagai produk termasuk serbuk susu dan produk makanan diet yang diformulasikan.

    “FMM juga meminta kementerian kesihatan dan kementerian kewangan untuk mengkaji cukai terhadap produk bukan pracampuran yang tidak wajar dimasukkan dalam skop cukai,” katanya.

    Persatuan wanita turut menghantar surat meminta susu ibu hamil dan susu ibu menyusu dikecualikan daripada cukai tersebut.

    Dalam satu surat yang dilihat MalaysiaNow, Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur & Selangor (KLSCWO) meminta kementerian kewangan mengecualikan kedua-dua produk itu daripada dikenakan cukai.

    “Kami berpendapat bahawa peningkatan harga dari cukai ini bakal membebankan golongan wanita yang memerlukan susu tersebut untuk membantu mereka dalam fasa kehamilan, penjagaan dan penyusuan bayi lebih-lebih lagi ibu-ibu dari golongan B40 dan yang berpendapatan sederhana,” menurut surat yang bertarikh November 2022.

    Soh dalam pada itu berkata, Jabatan Kastam Diraja yang bertanggungjawab menyelia cukai itu masih belum menyediakan senarai produk yang akan dikecualikan daripada duti eksais itu.

    FMM juga menggesa kerajaan merunding perkara itu dengan pihak industri segera, memandangkan pelaksanaan cukai memberikan impak terhadap operasi pembuatan dan rantaian bekalan.

    Katanya, walaupun FMM memahami dan menyokong usaha mengawal obesiti, negara memerlukan pendekatan holistik terhadap memperbaiki diet, meningkatkan aktiviti fizikal dan kesedaran sebagai langkah terbaik dalam membawa perubahan, berbanding cukai SSB itu.