Tag: Naib Presiden UMNO

  • Ismail Sabri nafi bersara politik, pertahan Ketua UMNO Bahagian Bera

    Ismail Sabri nafi bersara politik, pertahan Ketua UMNO Bahagian Bera

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan beliau akan bersara daripada politik walaupun membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya sejak 2018.

    Ahli Parlimen Bera itu menerusi satu kenyataan menyifatkan laporan media yang menyatakan bahawa beliau akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak betul.

    Tegasnya, ini kerana beliau tetap mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Berkait dengan laporan sebuah akhbar media arus perdana yang menyatakan bahawa saya akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera, ia adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak benar sama sekali.

    “Malah Setiausaha UMNO Bahagian Bera telah memaklumkan bahawa saya adalah calon tunggal untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Tiada pencalonan lain untuk jawatan tersebut diterima sehingga tamat tempoh pencalonan yang ditetapkan pada pukul 5 petang, 26 Februari 2023.

    “Bagaimanapun saya menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia mengenai pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, setelah mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini.

    Menurutnya, atas sebab itu juga beliau turut tidak bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat namun mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

    “Mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini, saya mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden dan tidak bertanding apa-apa jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat,” katanya.

    Ahad lalu, Ismail Sabri mengesahkan beliau tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang tanpa menyatakan sebab berbuat demikian.

  • Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    Sembilan nama dijangka rebut jawatan Naib Presiden UMNO

    SEMBILAN pemimpin UMNO disebut-sebut akan bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber rapat berkata, bekas Perdana Menteri dan penyandang Naib Presiden paling kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan tidak bertanding mempertahankan jawatannya.

    Kata sumber itu, dua Naib Presiden iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dijangka akan mempertahankan jawatan masing-masing.

    “Hari terakhir penyerahan borang pada 23 Februari, tetapi saya boleh katakan jawatan Naib Presiden akan ditandingi sembilan nama.

    “Tujuh yang lain adalah daripada kalangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT),” katanya kepada Berita Harian, semalam.

    Tujuh ahli MKT yang disebut-sebut bertanding jawatan Naib Presiden ialah Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    “Sementara tiga lagi adalah bekas Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang tewas di Parlimen Lumut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    Selain itu, bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka akan bertanding merebut jawatan itu seterusnya bersaing dengan penyandangnya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang dijangka akan mempertahankan jawatan itu.

    Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula, sumber itu menjelaskan terdapat enam nama yang akan bersaing iaitu Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dr Masliha Harun; Ahli MKT Wanita dan Naib Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta ahli MKT, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

    “Selain itu, mereka yang lain adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Kuantan, Cik Fadwah Anuwar atau mesra dipanggil Wawa; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin dan Penolong Setiausaha Puteri, Asuma Beevi Mohamed Sali,” katanya.

    Setakat ini, Setiausaha Pemuda, Datuk Hasmuni Hassan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah sudah menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda manakala Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi belum menyatakan hasrat bertanding.