Tag: nahas

  • Penunggang motosikal maut terperosok bawah Axia

    Penunggang motosikal maut terperosok bawah Axia

    PENUNGGANG motosikal maut selepas tersepit di bawah sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam kemalangan di Jalan Utama Bandar Country Home, Rawang, hari ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes tersebut pada pukul 6.20 pagi.

    Katanya, seramai 13 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang bergegas ke lokasi kejadian.

    “Kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 68 tahun dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ditunggang seorang lelaki anggaran usia 30-an.

    “Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah tersepit di bawah kereta,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Morni berkata, bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

    Katanya, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” tambah beliau.

  • Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    Baru seminggu disatukan, suami maut nahas langgar jalan lubang

    KETIKA inai masih melekat di jari, Azimah Zahari, 31, kehilangan suaminya buat selama-lamanya selepas lelaki itu maut akibat kemalangan dekat Kampung Megat Segama di Temerloh, kelmarin.

    Hairul Hafizi Mursid, 34, yang bekerja sebagai penolong penyelia pasar raya di Temerloh ketika kejadian kira-kira pukul 10 malam itu sedang menunggang motosikal sebelum kenderaan tersebut dipercayai terlanggar lubang sebelum terjatuh di tempat kejadian.

    Mangsa kemudiannya meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari sama.

    Kejadian yang menimpa mangsa turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi netizen selain bersedih dengan tragedi tersebut.

    Menurut Azimah, dia dan suami baharu sahaja melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 Februari lalu.

    Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Jengka 17 selepas tamat waktu bekerja.

    “Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, sama ada naik motosikal atau kereta. Tapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.

    “Dalam perjalanan balik malam itu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

    “Saya melepasi tempat suami terjatuh, tapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal tu dan memang tak sangka, suami saya terjatuh terlanggar lubang. Itu yang orang awam beritahu pada saya,” kata Azimah, lapor Sinar Harian.

    Mengulas lanjut Azimah berkata, keadaan suaminya ketika itu dalam keadaan separuh sedar dan mengerang kesakitan sebelum dihantar ke hospital.

    “Bila tiba di hospital, saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

    “Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam… Macam tak percaya benda ni boleh berlaku.

    “Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal,” jelas Azimah yang ditemui di kediaman keluarga di Kampung Baru Chenor, semalam.

    Jenazah Allahyarham Hairul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira pukul 4.28 petang semalam.

    Azimah berkata, suaminya adalah seorang anak yatim piatu dan mereka telah mengenali antara satu sama lain sejak 2016.

    “Suami juga anak bongsu dari empat adik-beradik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pada hari kejadian kecuali sebelum ini ada meluahkan rasa rindu pada arwah ibunya.

    “Arwah seorang periang, suka tersenyum dan kuat menyakat dan kami memiliki hobi sama, suka ubah suai kenderaan tetapi saya akan tetap anggap dia masih ada di sisi saya.

    “Banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan,” akui Azimah lagi.

    Dalam pada itu, dia berharap kejadian yang menimpa suaminya menjadi pengajaran pada semua pihak selain segera diselenggara sebaik mungkin oleh pihak terbabit.

    “Itu lah laluan kami untuk balik kerja. Jalan tu selalu ada air dan saya perasan memang ada lubang.

    “Jangan jadi pada orang lain pula. Sebelum ni, ada juga dengar orang patah tangan, kaki…. Cuma nyawa je tak melayang lagi.

    “Sekarang, berlaku pada suami saya. Jadi, saya minta dan berharap, pihak berkaitan dapat baiki atau selenggara sekerap jalan itu,” tambah dia lagi.

    Sementara itu, ketika tinjauan dibuat di lokasi kejadian pada Sabtu mendapati laluan tersebut telah diturap. – Sinar Harian

  • [VIDEO] Nahas kereta api: Seorang maut, berpuluh mangsa cedera

    [VIDEO] Nahas kereta api: Seorang maut, berpuluh mangsa cedera

    SEORANG mangsa maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam nahas kereta api penumpang yang berlaku di selatan Vienna, Austria petang semalam.

    Memetik laporan Mirror, dua jurucakap Pertubuhan Palang Merah mengesahkan kereta api terbabit tergelincir dari landasan.

    Punca kemalangan yang tragik berhampiran bandar Muenchendorf itu belum diketahui.

    Gambar-gambar kereta api dalam keadaan terbalik akibat kemalangan kini tular dalam media sosial.

    Tiga mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan parah.

    Nahas kereta api laluan Pottendorfer itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 petang waktu tempatan.

    Para penumpang yang cedera dibawa ke pusat bantuan bencana Munich Village yang dikendalikan Pertubuhan Palang Merah.

    Sejumlah besar anggota penyelamat dihantar ke lokasi kejadian dengan disertai empat helikopter.

  • Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    Jet pejuang tentera udara terhempas semasa latihan

    SEBUAH jet pejuang F-5 terhempas semasa menjalani latihan di daerah Chai Badan, di Lopburi, Thailand hari ini, menyebabkan juruterbangnya cedera parah.

    Kejadian berlaku kira-kira 11 pagi (waktu tempatan), jet itu terhempas di sebuah padang latihan.

    Jurucakap Tentera Udara, Naib Marsyal Udara (AVM) Prapas Sornchaidee berkata juruterbang berjaya melenting keluar tetapi mengalami kecederaan parah.

    “Tentera Udara telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat nahas itu,” katanya.

    Tambahnya, juruterbang itu kini menerima rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – BERNAMA

  • TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TUDM jalankan siasatan terperinci punca nahas Hawk

    TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan siasatan terperinci termasuk berkaitan aspek teknikal berhubung kejadian pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM, di sini malam tadi.

    Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan dijalankan segera.

    “Kami akan jalankan siasatan teknikal secara terperinci, setakat ini yang lain, saya tidak dapat komen,” katanya kepada pemberita ketika berada di pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi melawat mangsa nahas yang cedera dalam kejadian itu, di Butterworth awal pagi ini.

    Dalam nahas yang berlaku pada 10.07 malam Selasa (16 Nov) itu, seorang juruterbang TUDM maut sementara seorang lagi cedera ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth, Pulau Pinang.

    Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia ialah Kapten Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, tinjauan Bernama di Unit Forensik dan Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya di sini, mendapati beberapa anggota polis dan TUDM berada di perkarangan hospital seawal 8 pagi.

    Bagaimanapun waris dan anggota keluarga terdekat mangsa masih belum kelihatan dan perkarangan hospital didapati dikawal ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Difahamkan pihak hospital akan melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa nahas pada pukul 9 pagi hari ini.

    Berikut adalah kronologi insiden membabitkan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas dan mendarat cemas sejak tahun 1996.

    • 18 Jun 1996 — Pesawat pejuang Hawk 108 terhempas ketika membuat penerbangan latihan berhampiran Pangkalan TUDM di Butterworth, Pulau Pinang. Tiada kecederaan.
    • 23 Julai 1996 — Pesawat pejuang Hawk terhempas dan meletup di sebuah gaung kecil di luar Lapangan Terbang Labuan. Dua juruterbang terselamat.
    • 10 Sept 1998 — Juruterbang terkorban apabila pesawat latihan Hawk 208 yang dikendalikannya terhempas di Kuala Betis, Gua Musang kira-kira 200 kilometer dari Kota Bharu, Kelantan.
    • 2 Okt 2000 — Pesawat pejuang Hawk 108 terbabas semasa mendarat di Pangkalan TUDM Labuan selepas menjalani latihan penerbangan biasa. Juruterbang terselamat.
    • 18 Dis 2003 — Dua juruterbang terbunuh apabila pesawat pejuang Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.
    • 23 Jun 2005 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara TUDM Labuan, mengorbankan juruterbangnya.
    • 4 Mei 2007 — Pesawat pejuang Hawk 208 terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Juruterbang terselamat.
    • 15 Jun 2017 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 hilang di persekitaran utara Kuantan iaitu di sempadan Terengganu dan Pahang setelah terputus hubungan pada 11.30 pagi. Dua juruterbang disahkan terkorban selepas pesawat itu terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu.
    • 16 Nov 2021 — Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Pangkalan Udara di Butterworth, Pulau Pinang pada 10.07 malam. Seorang juruterbang terselamat manakala seorang lagi terkorban. – BERNAMA