Tag: Nad zainal

  • Nad, Ungku Ismail sah suami isteri

    Nad, Ungku Ismail sah suami isteri

    PASANGAN selebriti popular, Ungku Ismail Aziz dan Nad Zainal sah bergelar suami isteri pada 23 Januari lalu.

    Nad menerusi hantaran dalam Instagram (IG) mengesahkan dia kini bergelar isteri apabila memuat naik naik gambar bersama Ungku Ismail ketika majlis pernikahan berserta bukti mas kahwin berjumlah RM1,000.

    “Alhamdulillah,” tulis Nad ringkas.

    Nad menyertakan tiga keping gambar termasuk gambar hantaran mas kahwin berbentuk emas RM1,000 yang ditulis atas namanya dan Ungku Ismail serta tarikh pernikahan pada 23 Januari lalu.

    Memetik laporan Berita Harian, rata-rata rakan selebriti menitipkan ucapan tahniah atas perkahwinan itu.

    “Alhamdulillah tahniah Nanad,” tulis pelakon dan pengacara Elly Mazlein.

    “Selamat berbahagia di dunia akhirat. Amin,” tulis pelakon Nur Fazura.

    “Congratulations (tahniah), sampai syurga korang (kalian),” tulis pelakon dan pengacara Janna Nick.

    Selain itu, pengesahan turut dibuat oleh pengusaha syarikat busana pengantin yang juga rakan baik Nad menerusi hantaran dalam Instagram (IG), sebentar tadi.

    Bagaimanapun, perincian mengenai majlis perkahwinan seperti tarikh dan tempat tidak dinyatakan.

    “Diberi kepercayaan dan menyimpan rahsia terbesar adalah penghormatan atas tujuh tahun kami bersahabat.

    “Beliau (Nad) mengetuk pintu kami untuk menyerahkan kepercayaan menyiapkan busana pernikahan dia dan bakal suaminya.

    “Antara rahsia yang kami simpan dengan penuh rasa hormat.

    “Pada hari ini, kami berdua dengan penuh bangga hati mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baharu Nad dan Ungku Ismail.

    “Semoga mahligai perkahwinan dibina berbahagia dan berkekalan hingga ke jannah,” tulisnya.

    Terdahulu, Nad dan Ungku Ismail memberi bayangan sudah berkahwin apabila memuat naik hantaran video berpimpin tangan berjalan di perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan dalam IG, pagi ini.

    Menguatkan dakwaan kemungkinan mereka disatukan sebagai suami isteri pada tarikh dipaparkan iaitu 23 Januari lalu sempena 1 Rejab itu apabila rakan selebriti mengucapkan tahniah serta mendoakan kesejahteraan mereka.

    Bagaimanapun, cubaan BH Online mendapatkan pengesahan Ungku Ismail dan Nad tidak berjaya apabila panggilan serta mesej tidak dijawab.

  • Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    Ikatan perkahwinan Nad, Faliq terlerai

    AKTRES Nad Zainal mengesahkan ikatan perkahwinan dengan Muhammad Faliq Amiruddin terlerai, baru-baru ini selepas tujuh tahun melayari bahtera rumah tangga.

    Memetik laporan Berita Harian, spekulasi mula tercetus apabila semakan dalam Instagram milik pelakon Takdir Yang Tertulis di TV3 itu mendapati tiada lagi foto bersama Muhammad Faliq.

    Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin mengakui, ikatan perkahwinan sudah terlerai, namun, enggan mendedahkan tarikh berpisah.

    Dalam nada tenang dengan penuh emosi, Nad berkata, keputusan berpisah bukan perkara mudah.

    “Iya, kami sudah bercerai, baru-baru ini. Keputusan berpisah ini juga dicapai dengan kata sepakat.

    “Kami masih berkawan baik demi anak-anak,” katanya ketika dihubungi BH Online.

    Diasak bila dan punca bercerai, Pelakon Drama Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2018 itu enggan mengulas lanjut.

    “Cukup dikongsi status terkini. Saya perlu menjelaskannya agar tidak mengundang fitnah.

    “Apa yang lebih utama, saya perlu kuat untuk meneruskan survival membesarkan dua cahaya mata serta membiasakan diri dengan status ibu tunggal,” katanya yang bakal muncul dalam drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin.

    Nad dan Muhammad Faliq mendirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015.

    Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom, 1.