Tag: Mydin

  • Cuti tambahan Aidilfitri, Mydin rugi sekurang-kurangnya setengah juta

    Cuti tambahan Aidilfitri, Mydin rugi sekurang-kurangnya setengah juta

    TAIKUN rangkaian peruncitan, Datuk Ameer Ali Mydin mengkritik pengumuman mengejut kerajaan mengenai cuti tambahan untuk Hari Raya Aidilfitri.

    Beliau mendedahkan syarikatnya mengalami kerugian sekurang-kurangnya setengah juta akibat pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

    “Peniaga perlu menanggung kerugian.

    “Setengah juta itu kita boleh bagi beribu Menu Rahmah,” katanya dalam wawancara bersama Astro Awani.

    Beliau merujuk kepada program yang diperkenalkan awal tahun ini yang mana perusahaan menjual makanan dengan harga RM5 kepada mereka yang ingin berjimat-cermat.

    Mydin antara syarikat yang terkedepan dalam menyahut seruan kerajaan kepada perusahaan swasta untuk mengadakan Menu Rahmah namun memberi amaran ia tidak akan bertahan lama jika harga bahan mentah kekal tinggi.

    Anwar semalam mengumumkan satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

    Cuti tambahan diberikan sama ada Jumaat atau Isnin, bergantung kepada penetapan tarikh hari raya.

    Selain itu, kerajaan akan memberi pengecualian bayaran tol di 33 lebuh raya selama empat hari pada 19 hingga 21 April dan 24 April ini.

    Ameer yang merupakan pengarah urusan syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd berkata kerajaan tidak boleh menjadi populis semata-mata.

    Katanya, lebih baik memberikan subsidi bersasar dalam bentuk tunai kepada mereka yang memerlukan, berbanding mengumumkan pengecualian tol kepada semua pengguna tanpa mengira kelas pendapatan.

    “Bukan semua perlukan subsidi tol. Model kita ini tak betul,” katanya.

  • Bos Mydin harap Caprice tak terasa hati, luah hasrat mahu kerjasama

    Bos Mydin harap Caprice tak terasa hati, luah hasrat mahu kerjasama

    PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berharap Caprice tidak terasa hati dengan pengendali laman sosial pasar raya berkenaan berhubung ciapan yang dikatakan berunsur penghinaan.

    Ameer Ali berkata, status ditulis pengendali Twitter rasmi Mydin itu sama sekali tidak mengaitkan nama penyanyi berkenaan dan hanya menulis berdasarkan isu semasa.

    “Apa yang kita buat itu tiada kena mengena sesiapa, kita tak hashtag dia… tidak pakai nama dia pun tapi mungkin dia terasa.

    “Dalam Twitter ini kadang kala bergurau senda, biasalah budak-budak (pekerja) saya main (tulis) apa yang trending. Jadi apa ditulis tidak perlu diambil hati,” katanya memetik laporan mStar.

    Tangkap layar hantaran mencetuskan keinginan Caprice saman Mydin

    Mengulas lanjut, Ameer Ali berkata, pihak Caprice masih lagi belum menghantar apa-apa dokumen mengenai isu berkenaan.

    “Dia pun belum menghantar apa-apa. Kami bukan bergaduh, niat kita dua-dua baik nak bantu orang. Jangan ada ego atau marah pada sesiapa,” katanya lagi.

    Sementara itu, Ameer Ali meluahkan hasrat mahu berkerjasama dengan penyanyi rap berkenaan memandangkan masing-masing mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin membantu mereka yang kurang berkemampuan.

    “Kami berterima kasih dengan Caprice sebab dia banyak beli barang dekat Mydin dan dia buat kerja kebajikan, jadi saya juga akan menawarkan 1 kilogram paket gula untuk Caprice bantu setiap golongan yang memerlukan.

    “Kalau boleh kita nak bekerjasama untuk kerja amal… pada saya ini satu kerja yang baik, daripada kita tweet sana-sini baik kita bekerjasama. Niat dia pun baik, nak tolong B40 sama dengan niat, kita baik bergabung,” tambahnya.

    Sebelum ini, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menyuarakan hasrat untuk menyaman pihak Mydin selepas memuat naik satu kenyataan yang dikatakan berunsur sindiran.

    “Mula-mula ingat nak beli tea je, sekali terbeli cap dengan rice,” tulis pengendali Twitter berkenaan.

    Sementara itu, Caprice menerusi hantaran terbaharu di Instastory memberitahu dia akan meneruskan saman terhadap Mydin.

    “Saya tidak pernah sangka seseorang yang kami hormati akan merendahkan diri untuk membiarkan pasukan media sosialnya menyindir saya.

    “Macam mana nak nafikan sedangkan ruang komen memang tag/ tau menunjukkan kepada saya,” katanya.

  • Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mempersoalkan tentang arahan kenaikan gaji minimum RM1,500 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, beliau meminta kerajaan menjelaskan bagaimana perniagaan akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.

    Secara dasarnya, beliau bersetuju dengan kenaikan gaji daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, namun tiada analisis yang tepat mengenai kesan limpahannya disediakan.

    “Kami tahu rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan. Jika rakyat tak dapat bertahan, maka perniagaan yang bergantung pada rakyat juga tak dapat bertahan.

    “Namun setakat ini, tiada penjelasan daripada kerajaan. Jika ada, lebih mudah untuk perniagaan menerimanya,” katanya.

    Ameer menambah, kos gaji Mydin akan meningkat sebanyak RM25 juta setahun ekoran peningkatan kadar gaji minimum.

    Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan faham bahawa kenaikan gaji akan mendorong peningkatan kos bagi perniagaan, seterusnya kenaikan harga barangan.

    Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 18 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan, pelaksanaan kenaikan gaji minimum tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.

    Beliau menambah, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan gaji minimum yang baharu itu hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.