Tag: musim tengkujuh

  • Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    Bersatu gesa kerajaan beri keutamaan, tumpu persediaan musim tengkujuh

    KERAJAAN digesa memberi tumpuan dan keutamaan sepenuhnya terhadap persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut, yang dijangka bermula bulan depan.

    Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia antara perkara yang dirumuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

    “Bersatu memutuskan untuk mengatur gerak aset dan sukarelawan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

    “Usaha itu akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin Bersatu yang diketuai Ahli MPT, Mohd Rafiq Mohd Abdullah,” katanya.

    Hamzah memberitahu, kekuatan Skuad Prihatin Bersatu akan dipertingkatan dari semasa ke semasa.

    Katanya, ini bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa banjir terbela sebelum, semasa dan selepas banjir.

    Hamzah menambah mesyuarat MPT BERSATU turut membincangkan persiapan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

  • PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    PRU-15 ketika musim tengkujuh tidak digalakkan – MetMalaysia

    TINDAKAN mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika musim monsun timur laut sebagaimana gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak digalakkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Menurut Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr Hisham Mohd Anip, banjir akan kerap berlaku di seluruh negara secara amnya pada tempoh monsun.

    “Dalam tempoh peralihan pun banyak tempat sudah banjir. Ada (kejadian) banjir di Perak dan Johor.

    “Jadi dari segi kesesuaian, ia tidak membantu untuk mengadakan pilihan raya,” katanya sebagaimana laporan MalaysiaNow.

    Musim monsun timur laut dijangka melanda negara pada November hingga Mac tahun depan dengan ketika ini Malaysia dalam fasa peralihan monsun selepas mengalami monsun barat daya.

    Dr Hisham dalam laporan itu memberitahu, negeri pantai barat juga semakin terkesan dengan kehadiran monsun timur laut berbanding tahun-tahun sebelum ini.

    Namun katanya, berdasarkan model cuaca sedia ada, monsun timur laut yang bakal melanda tidak akan membawa cuaca yang ekstrem dengan paras hujan normal atau kurang dari normal.

    “Tidak ada satu model beri unjuran akan adanya jumlah hujan yang ekstrem dari segi kuantiti hujan bulanan.

    “Kita tak menjangka fenomena La Nina yang sedang berlaku akan mengakibatkan kita menerima hujan yang lebih banyak,” tambahnya.

    Menurut Hisham, MetMalaysia menjangkana kuantiti hujan yang melebihi kelaziman dijangka melanda utara dan timur Sabah pada Disember dan Januari.

    Di Pantai Timur Semenanjung sering menjadi keutamaan usaha pengurusan bencana ketika musim monsun, katanya tiada perubahan jumlah hujan yang signifikan akan melanda.

    Beberapa kawasan sudah mengalami banjir seperti di Pahang dan Johor membabitkan pemindahan ratusan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Katanya, berdasarkan corak hujan, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia menerima hujan lebih awal daripada kedatangan monsun timur laut.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan PRU15 akan berlangsung dalam keadaan banjir kilat dan ribut petir sekiranya diadakan selepas pertengahan November.

    Orang ramai melahirkan kegusaran berhubung desakan mengadakan PRU15 pada hujung tahun ini, selepas cakap-cakap mengenai pembubaran parlimen semakin hangat.

    Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir sebelum dijangka menerima mengadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob petang ini.

    Desakan mengadakan PRU15 pada tahun ini diketuai oleh Zahid dan kepimpinan tertinggi UMNO.

    Penggal ke-14 sepatutnya tamat pada pertengahan tahun depan.

    Sebagai bantahan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tahun depan.

  • Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Semua agensi bersiap siaga hadapi musim tengkujuh

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MUSIM tengkujuh kini semakin menghampiri untuk membadai di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

    Malah, bermula akhir Oktober hingga Mac, sistem pengangkutan darat membabitkan tiga negeri ini pada kebiasaannya sedikit lumpuh apabila terdapat laluan utama terpaksa ditutup ekoran ditenggelami air akibat banjir.

    Di Terengganu, antara kawasan yang seringkali terjejas teruk setiap kali banjir melanda adalah daerah Hulu Terengganu.

    Justeru, sebagai persiapan awal, semua agensi yang terbabit dengan operasi banjir di daerah tersebut kini telah berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya melibatkan kawasan berisiko tinggi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, antara persiapan itu adalah melibatkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir.

    Menurut beliau, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah itu disediakan bagi menampung mangsa banjir yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November depan.

    Mohd Adli Mat Daud
    Mohd Adli Mat Daud

    Katanya, dalam suasana pandemik Covid-19 ini banyak persiapan terpaksa dilakukan dengan penuh mencabar kerana ia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

    “Namun, Kita sudah memiliki pengalaman sama sewaktu melaksanakan operasi banjir pada tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dataran Sungai Dusun, Hulu Terengganu, hari ini.

    Seramai 30 anggota mewakili pelbagai agensi menyertai program tersebut.

    Selain itu kata Mohd Adli, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga kini sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.

    “JKM sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini,”ujarnya.

    Tambah beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko tinggi iaitu di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan.

    Ujarnya, semua penduduk di kawasan terbabit akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya.