Tag: musim banjir

  • Rakyat berhak hukum pemimpin degil mahukan PRU-15 ketika banjir – Azmin

    Rakyat berhak hukum pemimpin degil mahukan PRU-15 ketika banjir – Azmin

    RAKYAT berhak menghukum pemimpin politik yang menjadi punca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara dijangka berdepan banjir bulan depan.

    Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat, tindakan terburu-buru yang diambil itu dilihat mengenepikan kepentingan rakyat.

    “Saya serahkan balik kepada rakyat, kalau ada pihak degil, yang tidak mahu memahami dan merasai denyutan nadi rakyat, biarlah rakyat hukum mereka.

    “Mengapa terlalu degil atau angkuh untuk tunduk kepada aspirasi rakyat? Tidak sukar, kerana kita telah berbincang dan memutuskan ini adalah masa beri tumpuan kepada pemulihan ekonomi,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tindakan mengheret rakyat ke kancah PRU-15, juga dakwa Azmin, adalah berdasarkan niat pihak tertentu bagi memastikan peratusan keluar mengundi sedikit.

    “Kemungkin banjir besar itu adalah benar berdasarkan jangkaan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia). Ini harus kita beri perhatian bagaimana pusat pembindahan banjir nak disamakan dengan pusat pengundian.

    “Di sesetengah kampung hanya ada satu dewan sekolah, di situ tempat buang undi dan menempatkan mangsa banjir.

    “Apa yang akan berlaku dalam proses pengundian sekiranya banjir besar dan hujan lebat (hanya) menyebabkan jambatan putus, jalan rosak, maka hak rakyat itu dinafikan,” kata Azmin lagi.

    Justeru, tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu lagi, meskipun bakal menghadapi kekangan berikutan bencana banjir, namun, setiap warganegara yang layak perlu menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian kelak dalam menentukan kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

    “Kita mesti memastikan setiap rakyat diberikan peluang dan ruang selesa menentukan masa depan negara.

    “Ada pihak yang tidak mahu peraturan keluar mengundi tinggi, kerana pertusan keluar mengundi rendah, mereka berandaian berpihak kepada mereka.

    “Saya mengajak semua pengundi, melaksanakan tanggungjawab ini berani dan bertanggungjawab, keputusan kita buat ini beri kesan (kepada) kita dan anak generasi akan datang,” jelas Azmin lagi.

    Pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan serta merta selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan PRU15 diadakan.

    Tegasnya pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

  • Pilihan raya musim banjir kerja gila – Rafizi

    Pilihan raya musim banjir kerja gila – Rafizi

    GESAAN individu tertentu untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada musim banjir dianggap sebagai satu ‘kerja gila’.

    Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, tindakan itu dilihat sebagai mementingkan diri tanpa memikirkan kesusahan yang dialami rakyat.

    “Perkiraan ‘dia’ hanyalah untuk kembali ke Putrajaya. Dia tidak kisah orang nak tenggelam ke, rumah orang nak rosak ke, dia tidak kisah.

    “Sepatutnya di tempat lain, kalau kita tahu bencana akan tiba, seluruh negara tumpu kepada usaha nak bantu orang.

    “Itu sebab utama kita sendiri memang lantang dan saya merasakan ini kerja gila. Semua tahu banjir berlaku tiap-tiap tahun,” katanya semalam.

    Menurut Rafizi dalam laporan itu, sekiranya diadakan pilihan raya, ia bukan sahaja menyusahkan pengundi malah kakitangan awam termasuk pasukan keselamatan yang telah melakukan persediaan banjir.

    “Soalnya adalah pegawai kerajaan seperti tentera, polis, pegawai-pegawai pejabat daerah. Mereka ini yang sebenarnya bermesyuarat setiap minggu untuk persediaan banjir.

    “Kalau bubar (Parlimen) masuk musim tengkujuh, segala tumpuan dan persediaan akan beralih kepada PRU kerana mereka juga yang akan mengendalikan pilihan raya.

    “Mereka yang jaga keselamatan, mereka juga yang kena jaga ketua tempat mengundi dan lain-lain,” katanya.

    Rafizi berkata, gesaan sedemikian akan memberi persepsi negatif terhadap ahli politik.

    “Sebab itu orang tidak suka dengan ahli politik kerana dia tidak fikirkan lain hanya fikirkan dirinya sahaja. Yang penting dia mahu masuk dalam kerajaan balik.

    “Saya ceramah setiap malam, berkempen, jaga jentera sampai sudah tiga kali mimpi Parlimen bubar, letih,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Rafizi mengesahkan PKR akan bertanding di Parlimen Tapah pada pilihan raya kali ini.

    “PKR akan bertanding balik di Parlimen Tapah termasuk kerusi Ayer Kuning dan Chenderiang. Jadi buat yang terbaik supaya kita menang kali ini.

    “Kalau pun tidak menang, pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik. Perak secara keseluruhannya tunggu masa kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH),” jelas beliau.