Tag: Musa Hassan

  • Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    Kes Musa Hassan, polis buka kertas siasatan

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan isterinya, yang rakaman video berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

    Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

    Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

    “Saya sahkan kita (polis) terima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka.

    “Kita akan rujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja siasatan selesai dalam masa terdekat,” katanya, lapor Astro AWANI di sini hari ini.

    Difahamkan kedua-dua pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

    Sebelum ini, tiga rakaman video berdurasi sembilan saat, 56 saat dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.

    Susulan itu, Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya.
    Beliau turut mengesakan, mereka yang membuat spekulasi akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

  • Musa Hassan sahkan tidak bertanding PRU-15

    Musa Hassan sahkan tidak bertanding PRU-15

    BEKAS Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau tidak akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti dihebohkan sebelum ini.

    Beliau menegaskan, sehingga hari ini juga, tidak ada mana-mana parti politik yang membuat tawaran untuk beliau tampil sebagai calon mewakili parti mereka.

    Walaupun dilihat menghadiri majlis anjuran BERSATU sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara itu berkata, beliau tidak akan terbabit dengan mana-mana parti politik.

    “Seandainya ada tawaran daripada mana-mana parti sekalipun, saya tidak teragak-agak untuk menolak. Saya tidak bemusuh dengan sesiapa dan sehingga kini saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik,” katanya dalam laporan Berita Harian.

    Musa menjelaskan, untuk berada dalam arena politik memerlukan sokongan ramai sekiranya inginkan perubahan.

    “Kalau kita nak masuk politik, susah untuk kita betulkan sesuatu. Kalau jadi ahli politik dan kita sahaja yang bersuara, orang lain diam, susah juga. Walau apapun, kalau ada tawaran saya akan tolak,” katanya.

    Beliau bagaimanapun tidak akan menolak tawaran untuk mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau kumpulan tertentu dengan teras perjuangan membela nasib rakyat.