Tag: murid

  • Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    Murid rosakkan harta benda sekolah jalani program komuniti

    MURID yang merosakkan harta benda sebuah sekolah di Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang semalam, akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

    Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak sekolah memanggil murid yang terbabit bersama waris mereka, hari ini bagi membincangkan isu berkenaan.

    Menurut JPN negeri, pihaknya amat kesal dengan kejadian pada hari akhir sesi persekolahan itu dan akan memastikan ia diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah.

    “Langkah didikan akhlak serta pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita 

    Hari ini, tular di media sosial beberapa klip video berdurasi 28 dan 58 saat memaparkan sekumpulan pelajar lelaki merosakkan harta benda sekolah selepas tamat sesi persekolahan, semalam.

    Menerusi video itu, kumpulan pelajar yang dipercayai bersekolah di sebuah sekolah menengah di daerah Seberang Perai Selatan, di sini dilihat merosakkan peralatan sekolah seperti kerusi, kipas siling dan pintu tandas.

    Mengulas lanjut, JPN Pulau Pinang berkata, nilai kerugian kerosakan harta benda berkenaan sedang dalam siasatan.

    Katanya lagi, JPN Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku, termasuk vandalisme dan gangsterisme membabitkan murid sekolah di negeri ini serta sentiasa komited memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian.

    “Pihak pentadbir sekolah di semua peringkat sering diingatkan untuk mengambil langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.

    “Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat supaya selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

    Sementara itu, JPN Pulau Pinang turut mengingatkan portal yang menyiarkan video berkenaan tanpa melindungi muka murid supaya memadamnya kerana ia bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    Murid tujuh tahun tahan sakit sejam bibir tersepit penutup botol

    SEORANG murid lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan selama sejam selepas bibirnya tersepit pada penutup botol.

    Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10 pagi.

    Katanya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat diketuai Komander Operasi Mohd Rusdi Ibrahim kemudiannya bergegas ke Klinik Desa Tun Hussein Onn, Jelatek.

    “Bomba berjaya mengeluarkan bibir mangsa dari penutup botol dengan menggunakan ‘mini grinder’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambahnya, mangsa mengalami bengkak pada bibir dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

  • Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    Murid digalak kuasai lebih daripada satu bahasa – Radzi

    MURID digalakkan menguasai lebih daripada satu bahasa sebagai persediaan untuk mereka berdepan dengan dunia yang penuh persaingan pada masa kini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin. 

    Beliau berkata mereka yang menguasai banyak bahasa dengan baik mempunyai kelebihan berbanding yang lain kerana dalam konteks dunia tanpa sempadan hari ini, setiap bahasa itu memainkan peranan. 

    “Pada masa yang sama kita juga perlu ingat bahawa dunia sekarang ini luas saingannya, sebab itu secara asasnya sesiapa yang menguasai bahasa dengan baik mereka mempunyai kelebihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan KPM 2022 di sini hari ini.

    Radzi pada masa sama berkata bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga perlu dimartabatkan kerana dalam konteks negara ia adalah untuk pembangunan, manakala dalam konteks kemasyarakatan bahasa kebangsaan diletakkan sebagai tunjang perpaduan. 

    Katanya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan bahasa asas kepada rakyat negara ini dan sesuatu yang merugikan jika tidak ditingkatkan penguasaannya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), pihaknya sentiasa menekankan berkaitan penggunaan bahasa yang terbaik apabila bercakap tentang komunikasi polisi dan dasar. 

    “Bukan sahaja dalam konteks penulisan, tetapi penyampaian lisan juga kita berikan keutamaan untuk memastikan mesej atau dasar yang dirangka ini bila diterjemah atas penulisan, ia dapat difahami dan dihayati oleh mereka yang membacanya,” katanya. 

    Radzi berkata KPM juga sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif seperti aktiviti penulisan dokumen rasmi kerajaan, pertandingan melafazkan pantun, bicara berirama dan nyanyian lagu puisi, selain menjalin kerjasama dengan pihak luar untuk mengasah bakat penulisan dan sayembara puisi dalam kalangan pelajar. – BERNAMA

  • Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    Keberkesanan kaedah PdPR pada tahap sederhana – KPM

    TAHAP keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

    Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.

    “Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar. 

    “51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini. 

    Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.

    Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.

    Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian. 

    Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.- BERNAMA 

  • Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman denda RM20,000 terhadap guru matematik yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang murid lelakinya berumur 11 tahun.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kamarul Azamin Mohamad terhadap sabitan dan hukuman dalam kes itu.

    Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M. Gunalan, turut menolak rayuan pendakwaan agar hukuman penjara dikenakan ke atas Kamarul Azamin.

    Dalam penghakimannya, Suraya berkata hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah memadai.

    Beliau berkata Kamarul Azamin adalah pesalah pertama dan dia juga berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta pencen.

    Bagaimanapun, Suraya berkata sabitan terhadap Kamarul Azamin bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat kerana mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan berhubung insiden yang berlaku di dalam bilik guru itu telah disokong oleh rakannya.

    Kamarul Azamin, 43, pada asalnya didakwa atas dua pertuduhan merangsang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau di dalam bilik guru pada 4 Mei 2016 dan sekali lagi pada 6 Mei tahun sama di dalam bilik komputer di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

    Pada 26 Dis 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Kamarul Azamin bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

    Kamarul Azamin kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang menggantikan pertuduhan itu dengan mencabul kehormatan dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Kamarul Azamin bagi setiap kesalahan atau penjara 10 bulan.

    Tertuduh diwakili peguam Taqiyuddin Yahya manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.- BERNAMA