Tag: Muhyiddin Yassin

  • Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    Syed Saddiq tetap hormat Muhyiddin, sokong dwipartisan

    PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap menghormati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun berada dalam parti berbeza.

    Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, beliau adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan sambil menambah, kini adalah waktu untuk kedua-dua pihak memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

    “Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Muhyiddin Yassin tetap kekal. Hormat kawan dan lawan,” katanya di Facebook.

    Bekas menteri belia dan sukan itu pada masa sama mendedahkan beliau dan Muhyiddin baru-baru ini meluangkan masa selama dua jam untuk berbual, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan.

    Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan ke atas Muhyiddin yang juga pengundi di Parlimen itu.

    Syed Saddiq turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.

    “Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya lapor Free Malaysia Today.

    Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.

    Pada PRU-15, Muda memilih Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim sebagai sekutunya.

    Bagaimanapun tidak ada sebarang jawatan diberikan kepada Muda ketika Anwar mengumumkan Jemaah Menterinya, minggu lalu.

  • PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    PN belum putuskan siapa ketua pembangkang

    KETUA pembangkang yang akan mewakili Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan gabungan itu, kata Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

    Bagaimanapun, beliau menjangkakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

    “Kebiasaannya ketua-ketua parti akan memegang jawatan (Ketua Pembangkang) itu, contoh Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi PH serta Presiden PKR.

    “Jadi, perkara sama juga akan berlaku terhadap Muhyiddin. Cuma setakat ini, bukan ketua parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Naib Presiden UMNO) pernah memegang jawatan itu. Ia bergantung kepada ketetapan (keputusan) yang dibuat parti.

    “Bagaimanapun, saya tidak pasti ada nama lain yang akan diangkat. Justeru, kita akan berjumpa dengan Presiden minggu depan, maksudnya (keputusan) masih belum dibincangkan atau dicadangkan lagi perkara ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berpandangan kenaikan status menteri kepada Ketua Pembangkang tidak wajar dijadikan fokus utama.

    Jelasnya, ini kerana bukan pangkat yang dikejar sebaliknya memenuhi tuntutan kerja yang lebih penting.

    “Ketua pembangkang bertaraf menteri itu bukan isu, yang penting keberkesanan menjalankan tanggungjawab tersebut dalam mengemudi dan mengetuai blok pembangkang menjadi pasukan berwibawa,” ujarnya.

    Pada 11 Oktober 2021, media melaporkan Anwar menerima ‘surat kenaikan status’ yang mengesahkan pejabat Ketua Pembangkang itu menikmati kemudahan setara pejabat menteri seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH.

    Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam mesyuarat kedua jawatankuasa pemandu MoU itu, menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar membabitkan perkara itu.

  • Tiada orang waras boleh keliru dengan dakwaan seleweng RM600 bilion

    Tiada orang waras boleh keliru dengan dakwaan seleweng RM600 bilion

    Oleh DATUK DR MARZUKI MOHAMAD

    SAYA sebenarnya malas nak ulas isu ini kerana terlalu straight forward. Tak ada sesiapa yang waras boleh terkeliru dengan isu ini.

    Tapi bila semakin ramai orang sebut benda ni, termasuk Menteri yang baru dilantik, saya rasa isu ini agak irritating. Seperti langau yang terbang di muka kita, nak tak nak kita kena tepis juga ketepi.

    Jadi, saya nak ulas sikit saja.

    Jumlah RM600 bilion ni saya tak tahu dari mana datangnya. Yang saya tahu 8 Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri jumlahnya RM530 bilion.

    Apa dia yang banyak sangat tu?

    RM477 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan kerajaan. Ia adalah duit tuan-tuan atau duit bank.

    Antaranya, duit pengeluaran KWSP RM145 bilion. Duit pengurangan bayaran KWSP RM10 bilion. Moratorium pinjaman bank RM180 bilion dan banyak lagi.

    Macamana nak seleweng duit ni? Contoh, duit KWSP. Kita tahu berapa duit KWSP kita. Katalah kita ada RM100 ribu dan kita mohon keluar RM10 ribu. Permohonan kita diluluskan dan duit RM10 ribu masuk ke akaun bank kita. Akaun KWSP kita pun ditolak RM10 ribu, tinggal baki RM90 ribu.

    Kalau kita mohon pengeluaran RM10 ribu dan kita dapat RM10 ribu, dan duit baki ada lagi RM90 ribu dalam akaun KWSP kita, kot celah mana duit tu diseleweng?

    Tapi, kalau kita mohon RM10 ribu, KWSP tolak daripada akaun kita RM10 ribu, tapi kita terima RM5 ribu ajer, boleh lah kita kata duit tu diseleweng, kan?

    Ada ke kita dengar kes macam ni? Kalau ada mesti dah heboh satu negara. Masuk Buletin TV3 dah. Tapi kita tak de dengar pulak kan? Jadi apa yang selewengnya? I cannot brain.

    Selain dari itu, ada juga yang melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM83 bilion. Ini duit kerajaan yang disalurkan terus kepada rakyat.

    Apa dia? Contohnya bantuan tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Prihatin Rakyat dan Subsidi Upah.

    Saya ambil contoh BPN. Jumlah perbelanjaan keseluruhannya RM18 bilion yang melibatkan 7 juta penerima.

    Katalah Tan Sri Muhyiddin seleweng RM2 bilion (sebab sekarang ni ribu2 dan juta2 dah tak main dah. Kalau nak seleweng mesti billion). Kalau ini berlaku, hampir 1 juta penerima tak terima duit yang mereka sepatutnya terima.

    Kalau 1 juta orang tak terima duit BPN, agak-agak diorang tak bising ke? Saya rasa bukan setakat bising, dah terbakar dah satu Putrajaya tu. Tapi tak de siapa yang bising pula? Elok jer.

    Jadi, kot celah mana selewengnya? I cannot brain this too.

    Jadi, kesimpulan saya, seleweng 600 bilion ni tak wujud. Mereka yang tabur fitnah ni pun tahu ia tak wujud. Tapi mereka fitnah juga.

    Kenapa? Kerana ini psywar politik saja. Berbeza dengan yang seleweng duit 1MDB. Yang itu dah ada bukti di mahkamah. Bukan psywar lagi.

    Mereka yang jaja isu seleweng 600 bilion ini sebenarnya mengguna kaedah psywar yang dah lapuk. Kononnya pembohongan yang diulang berkali-kali akhirnya akan nampak seperti benar.

    Sudah lah. Rakyat tak bodoh. Kalau benda bohong ni diulang banyak-banyak kali, nanti yang mengata tu pula nampak tak cerdik.

    Penulis adalah Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan

  • Ingatlah obor perjuangan tetap menyala

    Ingatlah obor perjuangan tetap menyala

    SEBAK rasa hati ini mengenangkan sokongan rakyat di atas jalan perjuangan ini. Saya juga insan biasa, yang punya rasa sedih dan kecewa. Insan kerdil yang juga punya air mata.

    Di saat memeluk isteri saya ini saya bukan sahaja merasa tenangnya hati, lapangnya dada, redha takdir Illahi.

    Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

    Saya tahu. Saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

    Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia.

    Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

    Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda.

    Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati. Jika kita sabar, dan berpegang teguh kepada amanah bangsa dan ikhlas dalam berjuang, insya-Allah akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

    Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

    Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah swt dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.

    Terima kasih semua rakyat Malaysia.

    Ikhlas dari saya
    Muhyiddin Yassin
    Pengerusi Perikatan Nasional

  • Muhyiddin lebih bijak, akan faham keputusan GRS – Hajiji

    Muhyiddin lebih bijak, akan faham keputusan GRS – Hajiji

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memahami keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Pengerusi GRS itu berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keutamaan dan manfaatnya untuk Sabah.

    “Kita memikirkan kepentingan Sabah di bawah GRS, di mana kita memberi keutamaan kepada negeri ini, saya ingat Tan Sri (Muhyiddin) tahu akan hal ini dan dia lebih bijak.

    “Saya ingat tiada masalah kerana ini keputusan kita dalam GRS,” katanya selepas pembentangan Bajet 2023 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, lapor Free Malaysia Today

    Terdahulu, Anwar hari ini mengesahkan GRS menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

    GRS merupakan gabungan lima parti – Bersatu, STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Usno. Tetapi, Bersatu bersama SAPP dan STAR sebahagian daripada PN yang diterajui Muhyiddin.

    Sebelum ini, GRS bersama Gabungan Parti Sabah (GPS) menyokong PN dan Muhyiddin membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-15.

    Tetapi, dua gabungan itu kemudiannya akur dengan sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentukan kerajaan perpaduan.

  • PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PN mahu berperanan sebagai pembangkang berwibawa – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau sebaliknya berkata, PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    Menurutnya, ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil .

    “Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen.

    “Ia juga bagi memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tawaran agar gabungan itu menyertai kerajaan persekutuan pimpinan beliau.

    “Namun atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen, PN berpendirian untuk tidak menyertai Kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan,” jelas Muhyiddin.

    Namun Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

  • PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PN mainkan peranan semak, imbang dalam Parlimen – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

    “Dengan Kerajaan Persekutuan diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen Malaysia dengan membawa suara rakyat selaras dengan prinsip Demokrasi Berparlimen.

    “Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

    “Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10,” katanya.

    Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, pada pukul 5.06 petang.

    PRU-15 pada 19 November menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

  • Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    Cekal, ikhlas teruskan perjuangan PN pasca PRU-15 – Hamzah

    SOKONGAN luar biasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju gabungan itu diterima baik oleh rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

    Setiausaha Agung gabungan itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    Menurutya, Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik.

    “Bergerak kehadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah Perikatan Nasional walau apa rintangan dan cabaran pasca PRU-15.

    “Perikatan Nasional percaya bahawa para penyokong serta jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa hadapan Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Hamzah berkata, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan pimpinan tertinggi parti merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah mengundi dan memberikan sokongan kepada parti dalam PRU-15.

    Katanya, ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khususnya kepada para petugas serta jentera Parti Perikatan Nasional di seluruh negara yang telah bertungkus-lumus bekerja keras bagi menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi parti.

    “Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional mendoakan kesejahteraan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada
    Perikatan Nasional. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjuangan kita semua,” tambahnya.

  • SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    SD: ‘Nama besar’ UMNO, komponen BN antara 10 MP sokong Muhyiddin

    BEBERAPA pemimpin komponen UMNO dan Barisan Nasional (BN) antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, menurut sumber.

    Sepuluh Ahli Parlimen berkenaan, yang kini telah menarik sokongan daripada pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.

    “Ada seorang pemimpin UMNO yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

    “Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin itu. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber itu kepada FMT.

    Bagaimanapun, sumber itu enggan mendedahkan lebih lanjut. Difahamkan, nama 10 Ahli Parlimen itu tersebar di media sosial hari ini.

    BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

    Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Presiden MIC SA Vigneswaran berkata 10 Ahli Parlimen BN telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

    Susulan itu, katanya, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat kepada Istana Negara menyatakan bahawa kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

    Portal itu turut melaporkan hanya 28 daripada 30 Ahli Parlimen BN telah menandatangani aku janji sebelum pilihan raya umum untuk memberi mandat kepada Zahid mengadakan perbincangan bersama mana-mana parti berhubung pembentukan kerajaan.

    BN kini dalam perbincangan dengan PH dan PN mengenai pembentukan kerajaan campuran.

  • Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    Wakil BN tarik balik SD kepada Muhyiddin, surat Ahmad Zahid ditolak

    TINDAKAN saat akhir 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik perakuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyebabkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu hilang majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10).

    Mereka berbuat demikian selepas diarah kepemimpinan parti, susulan pertemuan di antara Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Lapor Berita Harian, usaha membentuk Kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bermula pada 20 November lalu, apabila Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, menulis surat kepada ketua parti yang memenangi banyak kerusi susulan pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November.

    Menerusi surat itu, semua ketua parti dijemput mengemukakan cadangan kepada Istana Negara untuk membentuk kerajaan gabungan dan menamakan calon masing-masing sebagai PM10 dengan tempoh diberikan sehingga 2 petang pada 21 November.

    Pada hari sama juga, Azhar Azizan kemudian menghantar sepucuk lagi surat kepada semua ketua parti itu, meminta Ahli Parlimen masing-masing, menandatangani Perakuan Bersumpah (SD), menyatakan sokongan kepada calon PM10 yang dinamakan mereka.

    Susulan surat speaker itu, PN yang mempunyai 73 Ahli Dewan Rakyat, mengemukakan surat sokongan daripada ketua parti GPS (23); GRS (6) dan KDM (1) berserta 10 wakil BN dan dua Bebas, kepada Istana Negara.

    Langkah itu bagi membuktikan Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai PM10, mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan. Malah, PN turut menambah satu lagi SD sebelum menjadikan kepada 115 sokongan SD sebelum dipanggil menghadap di Istana Negara.

    Bagaimana pun susulan pertemuan di antara kepemimpinan BN dan PH pada pagi 21 November, seramai 10 Ahli Parlimen BN yang dikenal pasti memberi sokongan mereka kepada Muhyiddin diarah membatalkan SD sokongan itu.

    Dewan Tertinggi BN dalam mesyuaratnya pada malam 21 November, kemudian memutuskan supaya semua wakil rakyat gabungan itu tidak memberi sokongan kepada mana-mana parti yang membentuk kerajaan, sebaliknya akan menjadi pembangkang.

    Langkah 10 wakil BN menarik balik sokongan itu hanya diketahui Muhyiddin ketika beliau bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara kira-kira 4.15 petang semalam.

    Tanpa SD mencukupi menyebabkan Muhyiddin terlepas peluang dilantik sebagai PM10.

    Pada masa sama, Anwar mengemukakan 86 SD dipercayai merangkumi 82 daripada wakil PH, Warisan (3) dan PBM (1) serta surat sokongan daripada Ahmad Zahid, selaku Pengerusi BN yang mempunyai 30 Ahli Dewan Rakyat.

    Bagaimanapun, tanpa 30 SD ditandatangani semua Ahli Dewan Rakyat BN itu seperti diarahkan dalam surat dihantar Speaker Dewan Rakyat kepada ketua parti, menyebabkan Anwar juga tidak berpeluang memanfaatkan sokongan disuarakan Ahmad Zahid untuk dilantik sebagai PM10 .

    Dalam sidang media petang semalam, Muhyiddin mendedahkan bukti SD dimilikinya ketika dihantar menunjukkan beliau mempunyai sokongan lebih daripada 112 Ahli Parlimen terhadap pencalonannya sebagai PM10.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan, langkahnya menolak cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan PH, kerana ia bertentangan prinsip PN sejak ditubuhkan BERSATU dan PAS, yang menolak sebarang kerjasama dengan PH terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH.

    Susulan itu, kegagalan PN dan PH setakat ini, memperoleh sokongan mencukupi majoriti minimum 112 kerusi, menyebabkan tiada mana-mana parti berpeluang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.

    PH dengan 82 kerusi yang dimilikinya, masih berpeluang memperoleh majoriti mudah (112 kerusi) jika dapat menarik sokongan GPS (23 kerusi), GRS (6), Warisan (3), BEBAS (2) dan PBM (1) serta KDM (1).