PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan dirinya tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam perbincangan bersama, susulan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beliau menyatakan keyakinan tidak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas Muhyiddin masuk ke bangunan Ibu Pejabat SPRM, hari ini, lapor Berita Harian.
Hamzah berkata, mereka juga tidak menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku, memandangkan Muhyiddin hanya disoal atas tuduhan politik.
Justeru, beliau berkata, mereka juga berharap SPRM tidak menahan Muhyiddin terlalu lama.
“Kita berharap ia tidak terlalu lama sehingga esok pagi dan dibenarkan keluar,” katanya.
AHLI Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa siasatan SPRM ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sebagai satu permulaan kepada usaha melumpuhkan parti itu.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkata, ia juga permulaan gerakan yang akan berterusan terhadap parti itu.
“Kita lihat ini satu permulaan gerakan masa yang akan berterusan kerana kita lihat ada usaha yang terancang melumpuhkan kebangkitan rakyat,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan ibu pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.
Lapor Malaysiakini, Azmin berkata demikian ketika mengulas tindakan SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan di ibu pejabat badan siasatan itu.
Mengulas lanjut Azmin berkata, beliau yakin Muhyiddin tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Saya bersyukur dengan rakyat dan kepimpinan PN turun kerana kita yakin Tan Sri Muhyiddin tidak bersalah dan tidak wajar dituduh atas apa juga pertuduhan.
“Bagaimanapun sebagai pendukung parti yang sentiasa menegaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, integriti, menolak rasuah, kleptokrasi, kami akan terus bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan dikenakan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.
Turut didakwa adalah Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, yang kebetulan adalah kubu bekas perdana menteri itu.
Pertuduhan-pertuduhan itu adalah berkaitan skim Jana Wibawa – inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
KETIBAAN PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyddin Yassin disambut dengan laungan takbir oleh ratusan penyokong berbaju putih di hadapan ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu tiba kira-kira pada jam 11.15 pagi dan masuk ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11.23 pagi.
Sedikit kekecohan berlaku rentetan para penyokong mengerumuni kenderaan yang dinaiki ahli Parlimen Pagoh itu.
Begitupun, keadaan kembali tenang selepas pegawai bertugas berjaya mengawal situasi di lokasi berkenaan.
Terdahulu, pemimpin tertinggi Bersatu hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin.
Antara yang hadir ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Razali Idris; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.
Menurut Razali, semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan turut hadir bagi memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan yang beliau diminta ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 11 pagi.
Difahamkan bekas Perdana Menteri itu akan didakwa di mahkamah, Jumaat ini berkait dengan tuduhan rasuah.
BEKAS perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilarang ke luar negara, menurut dokumen mahkamah.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Bersatu mencabar sekatan perjalanan dikenakan terhadap presiden parti itu dalam permohonan semakan kehakiman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Sekatan perjalanan dikenakan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang Muhyiddin akan bercakap mengenai perubahan dan perkembangan politik di Malaysia di forum antarabangsa,” katanya dalam permohonan itu.
Bersatu mendakwa sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Muhyiddin adalah menyalahi dan beliau tidak dimaklumkan mengenainya.
Parti itu berkata, sekatan perjalanan bertujuan mencemarkan nama baik Muhyiddin dan seolah-olah Ahli Parlimen Pagoh itu telah melakukan jenayah dan cuba melarikan diri.
Sekatan perjalanan itu juga melanggar hak Muhyiddin di bawah Perlembagaan Persekutuan, katanya.
Sebelum ini dilaporkan Bersatu telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membekukan akaun bank parti itu.
Parti itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi semalam, mendakwa keputusan membekukan akaun banknya dilakukan dengan niat jahat.
Bulan lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan beberapa akaun bank Bersatu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan agensi itu terhadap parti itu.
Siasatan itu dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan pakej rangsangan Covid-19 bernilai RM92.5 bilion oleh bekas kerajaan pimpinan PN.
SIASATAN berkaitan rasuah terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari sebelum Perhimpunan Agung Tahunan parti itu dikatakan akibat dendam.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sebagai kerajaan yang sepatutnya reformis, tindakan itu seperti dendam politik yang tidak seharusnya berlaku.
“Tetapi mereka melakukan perbuatan dendam. Tujuan mereka hanya satu, untuk melumpuhkan PN,” katanya kepada media di hadapan Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, perhimpunan tahunan parti berkenaan akan diteruskan.
“Agenda perhimpunan tahunan sudah ditetapkan, namun bergantung kepada keadaan dan situasi semasa. Kita mungkin buat sedikit perubahan kepada agenda esok,” katanya.
Beliau turut mengecam tindakan siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai dendam politik ke atas PN.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dijangka hadir ke ibu pejabat SPRM, 11 pagi ini.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri dijadual memberi keterangan tetapi beberapa laporan mengatakan Pengerusi PN itu akan didakwa hari ini.
Siasatan terhadap Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
BAJU tertera perkataan ‘PN Best’ dan gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin mula diedarkan kumpulan penyokong bekas perdana menteri itu, yang juga merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Lapor Astro AWANI, baju berwarna putih itu diedarkan kepada mereka yang berkumpul di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini dan dipakai sebagai tanda solidariti kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.
Beberapa penyokong turut melaungkan “Hidup Tan Sri” ketika berhimpun.
Setakat pukul 10 pagi, kumpulan penyokong dilihat semakin ramai, dengan turut dihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Difahamkan, Ahli Parlimen dari PN juga akan hadir ke SPRM pagi ini bagi memberikan sokongan.
Muhyiddin dijadual tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 10.30 pagi nanti.
Astro AWANI semalam melaporkan SPRM akan memanggil Muhyiddin selaku Presiden Bersatu pada Khamis.
Sumber SPRM mengesahkan kepada Astro AWANI berhubung berita tentang Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat agensi tersebut.
Muhyiddin semalam menafikan ditahan ketika bermain golf di sebuah padang di Selangor.
Pada 17 Januari lalu, SPRM memanggil Muhyiddin untuk memberi keterangan berhubung siasatan wang RM300 juta disyaki diterima parti itu daripada dana di bawah pakej rangsangan ekonomi COVID-19.
TAN Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan sebuah portal berita bahawa beliau ditahan di sebuah padang golf hari ini dan menyifatkan laporan itu adalah palsu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, beliau hanya diminta hadir ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi esok.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke ibu pejabat SPRM pada pukul 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan
Terdahulu, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk memberi keterangan.
Memetik laporan Berita Harian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman semasa mengesahkan perkara itu berkata, seluruh barisan kepimpinan tertinggi Bersatu sudah bersiap sedia untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk menghadapi apa saja kemungkinan.
BH difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai ‘VVIP’, berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.
ENTRI media sosial Datuk Seri Najib Razak berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipenuhi dengan kecaman netizen selepas beliau mempertikaikan cadangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang caruman mereka secara bersasar.
Bekas perdana menteri itu antara pemimpin paling lantang mendesak pengeluaran KWSP bersasar sebelum ini menerusi Facebook mengatakan, kerajaan sudah memberikan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk disalurkan ke dalam Akaun 1 pencarum berumur antara 40 hingga 54 tahun yang mempunyai baki simpanan kurang RM10,000.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh ketika berucap di Dewan Rakyat berkata kerajaan boleh menjimatkan sebanyak RM1 bilion tanpa perlu mengeluarkan peruntukan besar itu.
“Ya, ke? Muhyiddin dah dapat persetujuan dari setiap 2 juta ahli KWSP yang layak bahawa mereka sudi lepaskan pemberian RM500 tersebut?” tulis Najib di Facebook, lapor MalaysiaNow.
Kebanyakan pengguna Facebook pula tidak berpuas hati dengan Najib kerana merasakan cadangan Muhyiddin lebih tepat dan bersesuaian dengan permintaan mereka kerana desakan orang ramai adalah pengeluaran KSWP secara bersasar.
Mereka mengatakan Najib tidak memahami apa yang rakyat mahukan kerana beliau sendiri mengulas tentang topik yang berbeza.
“Orang yang berumur 40 tahun dan ke atas tapi tabungannya kurang RM10,000. Golongan yang macam mana la tu ya.
“Mintak ‘disclose’ kan kalau nak buat apa-apa manfaat patut menyeluruh bukan asal ada saja,” tulis Hairosnizam Roslan di komen Facebook Najib yang dimuat naik pada Isnin.
Selain itu, terdapat juga pengguna yang mempersoal data tersebut sebagai tidak berasas dan perlu dinyatakan oleh kerajaan secara telus.
“Nak fikir secara logik, ada ke yang simpanan kurang dari RM10,000 antara umur 40-54 tahun?” tulis Mohd Ashraf.
Seorang pengguna pula, Alidie Sofhia menulis komen menyebutkan kerajaan memberikan sesuatu yang tidak pun diminta oleh rakyat kebanyakan.
“Mereka yang dapat RM50,000 tu pun lebih setuju untuk keluarkan simpanan mereka ketika ini.
“Orang kaya duduk penjara tak tahu keperluan rakyat yang mendesak ketika ini,” kata Faizal Hud.
Terdahulu, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan supaya membenarkan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.
Mereka menyuarakan hal itu melalui sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 peringkat dasar sejak lebih seminggu lalu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebelum ini, berkata kerajaan sedang mengkaji alternatif membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka mengeluarkan simpanan KWSP.
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedia membawa pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam ke Dewan Rakyat jika bersesuaian.
Presiden Bersatu itu berkata, beliau terlebih dahulu akan meneliti dan memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pandangan yang dikemukakan mereka khasnya melibatkan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan Islam.
“Insya-Allah saya akan meneliti dan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap pandangan yang dikemukakan dan akan membawa ke sidang Dewan Rakyat sekiranya bersesuaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama sebahagian pemimpin NGO Melayu Islam hari ini.
Muhyiddin terdahulu mengadakan pertemuan bersama pimpinan-pimpinan NGO Melayu dan Islam bagi bertukar-tukar pandangan berkenaan isu-isu semasa politik, sosioekonomi dan hal-hal yang melibatkan kepentingan kaum Melayu, Bumiputera dan umat Islam.
Antara yang hadir ialah pimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (PERKID).
Yang turut hadir ialah Pertubuhan Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR), Pertubuhan Gagasan Bangsa dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau percaya perbincangan dengan NGO Melayu Islam itu melambangkan keprihatinan dan komitmen mereka untuk menjaga kepentingan ekonomi, syiar agama dan perpaduan.
“Saya percaya perbincangan tadi melambangkan keprihatinan dan komitmen para pimpinan NGO-NGO Melayu Islam terhadap usaha mereka untuk menjaga kepentingan ekonomi kaum Melayu dan Bumiputera, meningkatkan syiar Islam dan menyatupadukan ummah,” tambahnya.
TIMBALAN Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau pagi ini mengarahkan rakan seperjuangannya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) supaya menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).
Alice Lau
Lapor Malaysiakini, ini selepas Khoo, yang juga dari parti DAP, mendakwa Muhyiddin terlibat dalam pemberian kontrak kerajaan kepada menantunya, sesuatu yang dinafikan bekas perdana menteri itu.
“Kita semua satu Malaysia sudah tahu, telah disiarkan dlm suratkhabar bahawa MACC (SPRM) tengah menyiasat anak menantu Pagoh. ini satu dunia (sudah) tahu,” menyiasat menantu Pagoh. Seluruh dunia tahu perkara ini.
“Mengikut laporan suratkhabar bahawa menurut sumber berita, anak menantu Pagoh (sedang) disiasat oleh MACC,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Belanjawan 2023.
Khoo membuat dakwaan itu selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mencabarnya untuk mengulangi sebahagian daripada ucapannya, di mana naib pengerusi DAP Melaka itu menyindir bahawa seorang bekas pemimpin negara telah memberikan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada anak menantunya.
Kenyataan Khoo itu menimbulkan kemarahan ahli parlimen pembangkang, yang menggesanya supaya menariknya balik dan menuntut timbalan speaker yang mempengerusikan sesi pagi ini membuat keputusan.
Susulan itu, Lau meminta Khoo memperjelaskan kenyataannya dengan menyatakan akhbar mana yang dipetiknya serta tarikh laporan itu disiarkan.
Bagaimanapun, selepas RSN Rayer (Pakatan Harapan-Jelutong) tampil untuk membantu Khoo dengan membekalkan fakta, yang menurutnya dipetik daripada laporan New Straits Times bertarikh 9 Februari, Awang Hashim (PN-Pendang) segera mencelah dengan mengatakan bahawa Muhyiddin telah pun menafikan tuduhan itu.
Kekecohan timbul sekali lagi, sebelum Lau meminta Muhyiddin memberikan penjelasannya dan bekas perdana menteri itu mengulangi penafiannya.
“Saya dah sebut hari itu (Ini) pembohongan, fitnah, tak betul, tuduhan berat nak jatuhkan saya dan maruah keluarga saya.
“Hanya kerana YB (kamu) baca suratkhabar… surat kabar sekarang ini pun macam-macam sangkaan buruk, fake news (berita palsu).
“Saya nak jelaskan di sini bahawa itu tidak benar. Bahawa keputusan jawatankuasa pemilihan secara tender terbuka, bukan syarikat milik anak menantu saya,” katanya.
Muhyiddin seterusnya turut mencabar Khoo untuk mengulangi tuduhannya di luar Dewan Rakyat supaya dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli parlimen Kota Melaka itu.
Susulan penjelasan Muhyiddin, Lau, yang merupakan ahli Parlimen DAP bagi Lanang, kemudian mengarahkan Khoo menarik balik kenyataannya, memetik Peraturan Tetap Dewan Rakyat 36(6) yang menetapkan bahawa tiada ahli Parlimen boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada mana-mana ahli lain.
Khoo pada mulanya keberatan untuk menarik balik kenyataan itu tetapi hanya mahu menyusun semula ayat-ayatnya, tetapi Lau berkeras mahu dia menarik balik kenyataan tersebut.
“YB Kota Melaka, tarik balik dulu baru reframe,” katanya.