Tag: Muhyiddin Yassin

  • Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Oleh:Bernama

    Kelonggaran dan kemudahan yang akan diberikan kepada penerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 akan diumum sehari dua lagi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menimbang dan mengkaji kelonggaran dan kemudahan berkenaan beserta prosedur operasi standard (SOP).

    “Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu orang ramai yang sudah mendapat dua dos.

    Kelonggaran dan kemudahan seperti contohnya rentas negeri, rentas daerah, nak jumpa ibu bapa atau pasangan suami isteri yang terpisah, itu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh di sini, hari ini.

    Beliau berkata pengumuman itu juga akan melibatkan sektor sosial seperti “dine in” atau makan di dalam premis makanan serta aktiviti riadah dan sukan.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP meskipun kerajaan mengumumkan kelonggaran berkenaan.

    “Kita belum sampai ke nilai ambang atau herd immunity (imuniti kelompok) dan kalau ada keterbukaan, kita belum lagi berada dalam situasi di mana warga kita divaksinasi 100 peratus.

    Apa pun saya akan umumkan dengan SOP yang kita akan tetapkan dan dengan itu saya harap adalah sedikit rasa selesa untuk riadah, bersukan seperti main badminton, golf atau pergi gim dan sebagainya. Ini yang ditimbang MKN cuma belum diumumkan,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus melaksanakan usaha membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 antaranya menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

    “Masih ramai orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan. Jadi ini komitmen kita kerana saya nak menentukan setiap penduduk Malaysia mendapat makanan di atas meja,” katanya.

    Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil yang diwakili Pengarah Felda Wilayah Segamat Mohd Nizam Abdul Ghani.- BERNAMA

  • Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Tiga negeri beralih Fasa 3 PPN-PM

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    TAN Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan menjadi perintis peralihan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Rabu ini selepas merekodkan prestasi amat baik.

    Perdana Menteri berkata, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan pelaksanaan PPN yang dipengerusikannya petang ini.

    Bagaimanapun, beliau mengingatkan negeri-negeri berkenaan untuk terus mematuhi porsedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan untuk menambah baik situasi pandemik di negeri masing-masing.

    “Tahniah dan syabas saya ucapkan. Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara, lebih banyak negeri dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

    Beliau berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

    “Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” katanya.

    Selain itu katanya, sidang khas MKN itu juga memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin termasuk membincangkan kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi.

    “Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

    “Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambil kira keselamatan rakyat,” katanya.

  • Pasangan beregu lelaki tamat kemarau pingat Olimpik Tokyo, PM ucap tahniah

    Pasangan beregu lelaki tamat kemarau pingat Olimpik Tokyo, PM ucap tahniah

    PASANGAN beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memperoleh pingat gangsa sekali gus pingat pertama Malaysia dalam Olimpik Tokyo selepas lebih dari seminggu temasya sukan terbesar di dunia itu dibuka secara rasmi pada 23 Julai lepas.

    Aaron-Wooi Yik mengambil masa 52 minit untuk menundukkan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 17-21, 21-17, 21-14 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa di Musashino Forest Sport Plaza, di sini hari ini.

    Ia sememangnya perlawanan sengit dalam set pertama dengan kedua-dua beregu bersungguh-sungguh mendapatkan mata sebelum Aaron-Wooi Yik mendahului 11-9 sebelum perlawanan direhatkan sebentar.

    Selepas perlawanan disambung semula wakil Indonesia itu kemudian beraksi dengan agresif dan mendahului 12-9 serta mengekalkan penguasaan mereka sehingga menamatkan set pertama dengan 21-17.

    Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan tahniah kepada Aaron dan Wooi Yik atas kejayaan memenangi gangsa dalam temasya Olimpik Tokyo kali ini.

    Menerusi kenyataan di akaun rasmi Facebook beliau malam ini, Perdana Menteri berkata, kemenangan dan sumbangan pingat mereka amat diharap serta dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan tanah air.

    “Pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diraih malam ini tentunya mampu menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada atlet-atlet negara yang lain untuk memburu kilauan pingat seterusnya.

    “Tahniah saya ucapkan kepada pasangan Aaron Chia-Wooi Yik, serta barisan kejurulatihan atas sumbangan pingat sulung buat kontinjen negara di Sukan Olimpik Tokyo ini.

    “Buat pasangan muda kita ini, teruskan usaha dan berjuanglah demi negara. Anda telah membuktikan yang negara boleh menaruh harapan kepada anda. Tahniah, anda kebanggaan Malaysia!,” tambahnya.