Tag: Muhyiddin Yassin

  • Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

    Renung kembali perjuangan Nabi Muhammad bangun tamadun melalui kepimpinan terpuji

    UMAT Islam diajak merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sempena sambutan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW, umat Islam juga dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda, ahli keluarga dan para sahabat.

    “Sempena sambutan ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada setiap 12 Rabiulawal, marilah kita sama-sama merenung kembali sejarah perjalanan hidup dan perjuangan baginda dalam menegakkan Islam dan membangunkan tamadun manusia melalui kepimpinan terpuji.

    “Kita dituntut memperbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda SAW, ahli keluarga dan para sahabatnya serta berdoa semoga kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak.

    “Selamat menyambut Maulidur Rasul 1444 Hijrah kepada seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan sempena Sambutan Maulidur Rasul hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, bagi meningkatkan rasa kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad, umat Islam dituntut mempelajari sirah dan keperibadian Baginda, mengambil ibrah atau pengajaran, mengamalkan sunah-sunahnya dan menjadikannya sebagai pedoman dalam menjalani kehidupan seharian.

    “Segala amalan ini akan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah SAW di samping mengukuhkan lagi silaturrahim sesama kita.

    “Semoga setiap amalan kita diterima Allah dan kehidupan kita senantiasa dalam lindungan-Nya, insya-Allah,” katanya.

  • Muhyiddin yakin Pas kekal dalam Perikatan Nasional

    Muhyiddin yakin Pas kekal dalam Perikatan Nasional

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Pas akan kekal bersama gabungan politik itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Selepas bermesyuarat selama lima jam di ibu pejabat gabungan itu untuk membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya, Muhyiddin menegaskan Pas tidak akan berputus asa dalam perkara ini.

    “Insya-Allah, kami tidak akan berselisih,” katanya menurut MalayMail.

    Sebelum itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut hadir pada mesyuarat PN hari ini berikrar untuk taat setia kepada gabungan itu.

    Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata masih terdapat perbincangan dengan UMNO di beberapa kerusi bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menang di kawasan tersebut.

    “Tiada pilihan, kami sebahagian daripada PN. Cuma kami juga membincangkan beberapa kerusi di mana kami fikir kami boleh mencari kata sepakat dan mengelakkannya daripada jatuh ke tangan PH,” kata Tuan Ibrahim.

    Terdahulu hari ini, Muhyiddin mengadakan mesyuarat dengan pemimpin parti komponen PN untuk membincangkan persiapan menghadapi PRU-15, termasuk persiapan menyediakan manifesto pilihan raya.

    Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini berkata, tiada perbincangan mengenai pembubaran Parlimen dibangkitkan.

  • PRU-15: Manifesto PN rangkumi semua bidang penting – Muhyiddin

    PRU-15: Manifesto PN rangkumi semua bidang penting – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Manifesto Perikatan Nasional (PN) akan merangkumi semua bidang dan perkara penting yang akan dijanji dan dilaksana kepada rakyat untuk tempoh lima tahun.

    Pengerusi PN itu menjelaskan, penyediaan manifesto itu akan mengambil kira situasi dan keadaan selepas pandemik dan masalah ekonomi yang agak merosot serta bantuan prihatin untuk rakyat miskin.

    Beliau berkata, itu antara perkara yang PN akan ambil pertimbangan selain dari perkara lain.

    “Kita sudah ada jawatankuasa dan jawatankuasa ini akan menyiapkan kerangka perkara-perkara yang pokok dan akan kita sediakan dalam tawaran kita buat kepada rakyat untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya kepada media malam ini.

    Muhyiddin berkata, beliau masih menunggu kesediaan jawatankuasa manifesto berkenaan membentangkan Manifesto PN kepada jawatankuasa induk gabungan berkenaan.

    “Jawatankuasa (manifesto) sudah sedia tapi saya menunggu bila mereka akan bentangkan pada jawatankuasa induk PN,” katanya.

    Pada ucapan semasa majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor malam tadi, Muhyiddin memaklumkan manifesto PN akan diumumkan setelah PRU-15 diadakan.

    Mengenai pemberian watikah itu, Muhyiddin memberitahu, ia dibuat bagi memudahkan urusan jentera parti dan setiap pihak tahu akan tanggungjawab masing-masing.

    Namun beliau menambah, buat masa ini, isu rundingan kerusi masih belum diselesaikan dan akan diselesaikan semasa peringkat rundingan kerusi dalam masa terdekat.

  • Ada usaha pecah belah Perikatan Nasional – Muhyiddin

    Ada usaha pecah belah Perikatan Nasional – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memecah belahkan gabungan politik itu.

    Menurutnya, usaha itu disebabkan mereka bimbang dengan kekuatan PN yang menjadi gerakan politik yang kuat dan kukuh hingga tiada isu melemahkan gerakan tersebut.

    “Bila gerakan ini sudah kuat dan kukuh, ada sahaja pihak yang berusaha memecah belahkan kita.

    “Bukan nak tuduh sesiapa tapi mereka tahu kita kuat dan gabungan ini menjadi ancaman besar kepada mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa majlis pemberian watikah pelantikan ketua-ketua pilihan raya Parlimen Selangor, malam ini.

    Menurut Presiden Bersatu itu, kekuatan PN yang disertai Bersatu, Pas, Gerakan, SAPP dan STAR menjadikan musuh politik gabungan itu bimbang dengan perpaduan dimiliki

    “Jadi mereja ambik tindakan langsung dan tidak langsung untuk pecah belahkan kita.

    “Untung kita sedar perkara ini dari awal,” katanya.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, gabungan itu memutuskan untuk mengukuhkan kedudukan mereka menerusi cara berterus terang dan bebrincang secara terbuka agar tiada perkara menjadi rahsia antara mereka.

    Katanya, jika berlaku sesuatu perkara, beliau akan maklumkan kepada rakan sejawatnya dari Pas dan Gerakan agar menunjukkan keikhlasan dalam hubungan.

  • Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    Muhyiddin tak pernah beri kata dua kepada Pas

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memberi sebarang kata dua kepada Pas sama ada perlu memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sebaliknya apa dimaksudkan Muhyiddin ketika mengulas hasil pertemuan dengan pemimpin Pas termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang Isnin lalu itu, bahawa parti itu perlu membuat membuat pendirian lebih jelas soal kerjasama dalam pilihan raya.

    Muhyiddin kata hasil perbincangan dengan presiden Pas beliau mendapat bayangan Pas akan membuat keputusan sama ada bersama UMNO atau bersama PN. Itu sahaja, tak nampak beliau desak atau tekan Pas, saya tak nampak, tiada istilah kata dua.

    “Muhyiddin masih lagi meraikan kehendak Pas menjayakan penyatuan ummah. Kita Bersatu tak marah Pas umpa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Muhyiddin tidak seharusnya menetapkan Pas perlu memilih PN atau BN bagi menghadapi PRU-15.

    Kata Tuan Ibrahim, parti itu mahu bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO demi “perpaduan ummah”.

    Mengulas lanjut, berdasarkan kenyataan penuh Tuan Ibrahim, Razali berkata, dia tidak menganggap ia ditujukan kepada Muhyiddin sebaliknya bersifat umum susulan timbul desakan supaya Pas memilih antara UMNO dan Bersatu.

    “Kenyataan Tuan Ibrahim itu saya rasa beliau tak tuju kepada Muhyiddin, dia mungkin menjawab secara umum isu yang berlegar termasuk segelintir pemimpin UMNO yang memberi kata dua sama ada nak dengan Bersatu atau macam mana.

    “Umno pernah menuduh PAS main dua kolam, tiga kolam tetapi Bersatu tak pernah keluar keluarkan kenyataan kata PAS main dua kolam, tiga kolam,” katanya.

    Terdahulu, Muhyiddin mendakwa beliau diberi bayangan bahawa Pas akan buat keputusan muktamad, untuk memutuskan hubungan dengan Umno dalam tempoh terdekat.

    Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengumumkan BN sebagai musuh utama PN pada PRU15, dengan parti komponennya perlu bergerak sebagai sebuah pasukan dan memiliki hala tuju sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

  • Tak laksana perakuan MPN kerana Muhyiddin bukan PM alasan tak munasabah

    Tak laksana perakuan MPN kerana Muhyiddin bukan PM alasan tak munasabah

    Oleh: DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    PRESIDEN UMNO kata banyak perakuan MPN tidak dilaksanakan oleh kerajaan kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri.

    Ini suatu alasan yang amat tidak munasabah. Mari saya jelaskan mengapa.

    Semua keputusan MPN dibawa ke kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) untuk diluluskan oleh kabinet. Sebagai bekas Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO tentulah arif apa maksud MJM.

    Daripada 95 keputusan MPN, 86 telah diluluskan oleh kabinet. 9 lagi sedang menunggu kelulusan.

    Jadi, tidak kiralah Tan Sri Muhyiddin Perdana Menteri atau tidak, apabila telah menjadi keputusan kabinet, maka keputusan MPN mesti dilaksanakan oleh kerajaan.

    Tetapi tidak mengapalah. Katakanlah kita bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO itu. Oleh kerana Tan Sri Muhyiddin bukan Perdana Menteri, mungkin tidak ramai yang ambil peduli akan keputusan-keputusan MPN walaupun ia telah menjadi keputusan kabinet.

    Selain MPN, ada satu lagi mekanisme pengurusan ekonomi negara yang penting iaitu Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri. Majlis ini dianggotai oleh Menteri-Menteri berkaitan ekonomi dan pakar-pakar ekonomi.

    Di sinilah keputusan-keputusan penting mengenai ekonomi negara dibuat. Keputusan-keputusan ini kemudiannya dibawa ke kabinet untuk pengesahan.

    Semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Majlis Tindakan Ekonomi bersidang setiap minggu pada hari Isnin. Keputusannya dibawa ke Kabinet pada hari Rabu. Jadi Menteri-Menteri boleh ambil tindakan susulan yang segera di kementerian masing-masing selepas ia menjadi keputusan kabinet.

    Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang kian meruncing, Majlis Tindakan Ekonomi sepatutnya bersidang dengan lebih kerap untuk membuat keputusan-keputusan segera mengenai ekonomi. Tetapi saya dengar Majlis Tindakan Ekonomi telah agak lama tidak bersidang.

    Sepatutnya, Presiden UMNO gesa Perdana Menteri supaya segera adakan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, bukan gesa segera diadakan pilihanraya.

    Kadar inflasi pada bulan Ogos 2022 telah meningkat ke 4.7% dan inflasi makanan 7.2% berbanding 4.4% dan 6.9% masing-masing pada bulan Julai. Harga barang naik dan naik lagi. Kadar OPR juga dijangka akan dinaikkan lagi.

    Jadi apa Majis Tindakan Ekonomi buat untuk atasi masalah ini?

    Selain Majlis Tindakan Ekonomi, ada juga Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia? Apa sudah jadi dengan pasukan ini? Lama sudah tidak dengar khabar berita.

    Sabar ajer lah..

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Ke-8.

  • PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PN adakan ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara

    PERIKATAN Nasional akan mengadakan program ‘Jelajah Prihatin’ di seluruh negara dalam masa terdekat.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program itu akan melibatkan semua pemimpin gabungan berkenaan.

    Menurutnya, perkara itu antara yang dipersetujuinya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan malam tadi.

    “Kita (PN) bersetuju utk mengadakan program Jelajah Prihatin di seluruh negara dengan membabitkan semua pemimpin PN

    “Program ini maksudnya. Kita turun ke bawah dan menyampaikan pandangan, harapan dan apa yang kita buat sebagai parti kalau kita membentuk kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.

    Pertemuan selama dua jam di kediaman Muhyiddin itu turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin manakala Pas turut disertai Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Mengulas mengenai pertemuan itu, Muhyiddin berkata, Bersatu dan Pas juga setuju untuk segera memuktamadkan pengagihan kerusi bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

    Katanya, Pas akan diwakili Ahmad Shamsuri manakala Bersatu diwakili Ahmad Faizal.

    “Jadi ia akan disegerakan, maknanya sudah sampai peringkat pembahagian kerusi,” tambahnya.

  • Bersatu tak mungkin bekerjasama dengan UMNO

    Bersatu tak mungkin bekerjasama dengan UMNO

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mungkin akan bekerjasama dengan UMNO kerana perkara itu telah diputuskan perhimpunan agung parti itu tahun lalu.

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Pas berusaha mewujudkan perpaduan ummah, namun realitinya dalam perhimpunan agung UMNO, parti itu memutuskan untuk tidak menerima dan bekerjasama dengan Bersatu dan ia kekal sehingga hari ini.

    “Dulu UMNO jemput kita jadi anggota Muafakat Nasional, kita dah jawab setuju tapi tidak jadi apa-apa.

    “Jadi jelas terbukti UMNO langsung tidak mahu bekerjasama,” katanya dalam sidang media hari ini.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, oleh itu Bersatu menerima keputusan UMNO sebagai satu kenyataan.

    Jelasnya, bila berlaku pilihan raya umum, parti yang tidak sehaluan dengan PN atau mahu bertanding di kerusi sama ditandingi akan ditentang gabungan itu.

    “Kita akan tentang macam biasalah, bukan sebagai musuh agama tetapi musuh politik,” katanya.

    Muhyiddin pada soalan Barisan Nasional (BN) bukan musuh Pas mahu perkara itu dilihat dalam konteks pertemuan terkini beliau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beliau juga mahu kenyataannya itu tidak disalah tafsir kerana bila berlaku pilihan raya, sudah pasti berlaku pertembungan antara parti.

    “Saya sebagai Pengerusi PN bergantung kepada keputusan PN bukannya keputusan Pas.

    “(semasa pilihan raya) Kita juga akan bertembung dengan parti tidak sehaluan dengan kita dan selama ini PH (Pakatan Harapan) dan juga BN.

    “Kalau nak jelas agar mesej kita sampai ke bawah agar ahli tidak keliru, setiap benda yang tak sehaluan dengan kita itu bukan kawan kita. Biar rakyat putuskan,” katanya.

  • Pas komited bersama PN, tak timbul isu keluar gabungan

    Pas komited bersama PN, tak timbul isu keluar gabungan

    PAS masih komited untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan tidak timbul isu parti itu mahu keluar daripada gabungan berkenaan.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu disampaikan sendiri semasa pertemuan beliau dan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam.

    Menurutnya, Abdul Hadi turut menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selama 30 minit baru-baru ini yang mana tiada sebarang keputusan penting dicapai.

    “Tiada sebarang keputusan dicapai (dalam pertemuan itu) selama setengah jam dan tidak jadi apa-apa.

    “Bagusnya beliau (Abdul Hadi) melaporkan perkara itu kepada saya,” katanya pada sidang media hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, beliau diberi bayangan Pas akan memuktamadkan hala tuju parti itu bersama PN dan UMNO dalam masa terdekat.

    Beliau berkata, mungkin mereka tiada lagi kaitan dengan UMNO namun Bersatu menyerahkan keputusan itu kepada Pas.

    “Kita bagi pandangan supaya kita tak dilihat tidak kukuh dalam bentuk gabungan kita. Kita mesti ada pendirian dalam semua perkara.

    “Ini agar tiada pertembungan kepentingan sebab kita nak tentukan kemenangan kita dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

  • Muhyiddin: Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar kepada dunia Islam

    Muhyiddin: Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar kepada dunia Islam

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian ulama terkemuka dunia kelahiran Mesir, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi semalam sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, Allahyarham merupakan seorang ulama yang paling disegani atas sumbangan besarnya kepada umat sejagat.

    “Saya merasa sungguh dukacita apabila mendapat perkhabaran
    ulama muktabar dunia, Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi telah kembali ke rahmatullah.

    “Pemergian Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam kerana Almarhum merupakan seorang ulama yang paling disegani,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata,
    semasa hayatnya, Almarhum memberi sumbangan besar menerusi penghasilan lebih 120 naskhah buku termasuk naskhah perundangan Islam yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

    “Sungguh besar jasa bakti dan sumbangan Almarhum kepada umat sejagat sehingga dianggap sebagai seorang mujtahid pada era moden ini.

    “Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan Allah mengampunkan segala dosanya serta menggandakan pahala atas segala kebaikan dan sumbang bakti yang tidak terhingga kepada umat manusia. Al- Fatihah,” katanya.

    Allahyarham Yusuf meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

    Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

    Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

    Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.