Tag: muhyiddin

  • Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    Muhyiddin, Hadi dan pemimpin politik sedih dengan pemergian Salahuddin

    PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia malam ini.

    Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

    “Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

    Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, menerusi laman Facebook, turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

    “Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” kata beliau.

    Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menyifatkan ketokohan dan jasa Salahuddin menyemai benih harapan untuk masa depan negara.

    “Tidak terungkap kesedihan dengan pemergian sahabat dan rakan seperjuangan saya saudara Salahuddin Ayub. Salam takziah untuk keluarga beliau, semoga sabar menghadapi ujian ini,” katanya.

    Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Salahuddin sambil berterima kasih atas usaha dan keringat Allahyarham ketika berkhidmat untuk negara.

    “Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

    Salahuddin, 61, menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

  • Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    Muhyiddin akan didakwa lagi esok di Mahkamah Shah Alam

    BEKAS Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok berhubung wang dalam akaun parti Bersatu.

    Berdasarkan semakan sistem e-kehakiman, kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen 1, di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada 9 pagi.

     Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media memaklumkan pihaknya telah mendapat izin mendakwa seorang Ahli Parlimen esok di mahkamah sama.

    Ahli Parlimen  Pagoh itu dijangka menghadapi satu pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu pada 10 Mac lepas.

    Beliau mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai Presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA

  • Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    Muhyiddin, Anwar tiba di Istana Negara

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

    Kenderaan membawa Anwar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur pada pukul 4.10 petang.

    Sementara kenderaan membawa Muhyiddin juga dilihat memasuki Pintu 2, Istana Negara kira-kira pukul 4.05 petang, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ketua gabungan PH dan PN menghadap pada pukul 4.30 petang ini di Istana Negara.

    Kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba jam 4.12 petang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid (Warta Rakyat)

    Justeru, pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua gabungan itu termasuk Anwar dan Muhyiddin akan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ini selepas memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

    Menurut beliau, Istana Negara hari ini telah menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti-parti dan ketua gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen banyak susulan keputusan PRU-15.

    Bersama pemakluman tersebut, Ahmad Fadil berkata, ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Ke-10 kepada Istana Negara.

  • Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    Muhyiddin, isteri selesai mengundi di SMK Sri Muar

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar, hari ini.

    Beliau dan isteri menaiki kenderaan jenis Alphard berwarna hitam tiba di pintu masuk SMK Sri Muar kira-kira pukul 8.50 pagi.

    Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan isteri itu selesai mengundi bagi kerusi Parlimen Muar pukul 9.05 pagi, lapor Sinar Harian.

    Muhyiddin yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pagoh selama enam penggal berdepan saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Muhyiddin dicabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan Iskandar Shah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

    Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan dan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Mohamed.

    Sementara Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar, menang tiga penggal berturut-turut pada PRU-11, PRU-12 dan PRU-13, namun tewas pada PRU-14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang ketika itu bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 6,953 undi di kerusi Parlimen Muar.

  • “Saya akan jalankan tugas secara sukarela tanpa imbuhan” – Muhyiddin

    “Saya akan jalankan tugas secara sukarela tanpa imbuhan” – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri akan menjalankan tugas itu secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

    Mengulas mengenai pelantikan itu menerusi hantaran Facebook, Muhyiddin berkata, beliau berbesar hati menerima pelantikan berkenaan.

    Menurutnya, kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan itu merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

    “Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

    “Saya juga menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya.

    “Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya hari ini.

    Bercakap mengenai tugas baharunya, Muhyiddin memberitahu, beliau dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

    Ujarnya, ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan.

    Selain itu katanya, MPN akan mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

    “Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” tambahnya.

    Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan media, hari ini mengumumkan pelantikan Muhyiddin.

    Menurut beliau, Kabinet dalam mesyuarat pada 1 September lalu telah bersetuju untuk melantik Muhyiddin memegang jawatan pengerusi majlis tersebut.

    “Pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya.