Tag: Muhammad Sanusi

  • Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    Tiada pekeliling larang Sanusi hadir acara kerajaan Persekutuan

    TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan Persekutuan.

    “Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk beliau (tidak boleh) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan Persekutuan melainkan jika arahan itu dikeluarkan pada beliau secara peribadi, saya tidak mengetahui mengenai perkara itu.

    “Tiada (surat atau pekeliling). Kalau dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling untuk (yang menyebut) melarang beliau menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di sini, hari ini, ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri mengenai perkara itu.

    Terdahulu, Muhammad Sanusi, menerusi Facebook rasminya mendakwa beliau telah dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada 23 hingga 27 Mei ini. – BERNAMA

  • Kedah ada pilihan syarikat lain bina KXP – Sanusi

    Kedah ada pilihan syarikat lain bina KXP – Sanusi

    KERAJAAN negeri Kedah mempunyai pilihan syarikat untuk cadangan pembangunan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) sekiranya tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menarik diri daripada projek tersebut.

    Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata masih ada lagi syarikat lain yang berkemampuan telah menghantar kertas cadangan pembangunan KXP kepada kerajaan negeri.

    Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memanggil KXP Airport City untuk memberikan taklimat tentang sejauh mana urusan dengan syarikat Syed Mokhtar itu mengenai projek berkenaan.

    “Kalau dia (Syed Mokhtar) terpaksa menolak, silalah menolak, saya tak ada masalah dengan dia, mungkin dia boleh terlibat dengan projek lain, kalau dia menolak, kita akan buat penilaian baharu (terhadap syarikat lain).

    “Kita akan tengok keputusan muktamad Kumpulan Albukhary berdasarkan jawapannya nanti,” katanya demikian pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di Alor Setar, hari ini.

    Sanusi berkata kerajaan negeri memberi tawaran kepada dua syarikat termasuk syarikat Syed Mokhtar untuk kerjasama (JV) bagi pembangunan projek KXP dan syarikat satu lagi itu yang mempunyai kepakaran kargo telah pun memberikan maklum balas bersedia dengan kerjasama itu.

    Dalam pada itu, beliau memaklumkan 12 rumah baharu dibina pihak kerajaan negeri untuk mangsa banjir akibat kepala air di Kampung Iboi dekat Baling, tahun lepas, dijangkakan siap sebelum 27 April depan.

    “Peserta telah membuat cabutan undi rumah yang akan diberikan kepada mereka,” katanya yang turut memaklumkan lapan lagi rumah baharu tekag siap dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk mangsa kepala air itu.

    Persidangan DUN Kedah bersambung esok. – BERNAMA

  • Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Anwar, 75, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S. N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 Nov lalu, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

    Anwar berkata ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 Nov lalu, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

    Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

    Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov lalu.

    Anwar berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan.

    Anwar berkata pada 16 Nov lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Dis lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan tersebut.

    Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama, berkata saman itu difailkan pada jam 4.30 petang tadi. – BERNAMA

  • Kabilah mencatur kuasa, tak anggap perpaduan penting

    Kabilah mencatur kuasa, tak anggap perpaduan penting

    Oleh Rizqi Zabidi

    “SAYANG sekali, seruan perpaduan, kesatuan atas nama agama dan bangsa tidaklah sepenting mana sebaliknya apa yang lebih utama adalah ‘kabilah’ mereka mampu mencatur kuasa dan mengaut manfaat daripadanya.”

    Kenyataan itu dimuat naik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika mengulas mengenai pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Perdana Menteri, semalam.

    Menurut Muhammad Sanusi, golongan itu juga sering menganggap kejayaan-kejayaan besar yang dihasilkan orang lain sebagai ancaman kerana bimbang diri mereka dilupakan orang.

    “Sayangnya pertimbangan politik orang kita terlalu remeh, rapuh dan bebal. Lebih bersandar kepada warna kabilah dan ‘perut’ dengan nafsu sentiasa mengatasi akal.

    “Kejayaan besar dihasilkan dianggap ancaman kepada kabilah mereka sebaliknya hal remeh jugalah yang dipandang dan didendang,” katanya dalamn Facebook miliknya di sini, malam tadi.

    Menurutnya, sebanyak mana pun khidmat diberikan Muhyiddin, sekuat mana pun beliau bekerja, seadil mana pun pertimbangan dibuat atau sebesar mana pun kejayaan digapai, juak-juak kabilah itu akan memandang pada warna dan ‘membebal’ demi perut mereka tanpa mempedulikan perut rakyat.

    Katanya, pengalaman pahit dan perit waktu lampau sedikit pun tidak memberi erti kepada golongan berkenaan.

    “Terima kasih atas segala pengorbanan ‘TSMY’ kepada rakyat Malaysia. Semoga Allah memberi sebaik-baik ganjaran kepada Tan Sri.

    “Semoga Tan Sri cekal dan tabah, jasa Tan Sri akan kekal dihargai sepanjang zaman,” katanya.