Tag: Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin

  • Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    Menu Rahmah pendekatan retorik, rakyat mahu naik gaji, keluar KWSP, kata Muqharabbin

    KONSEP Menu Rahmah disifatkan hanya pendekatan retorik untuk mengalih isu dan desakan rakyat yang mahu kenaikan gaji dan pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).

    Bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini kerana impak hasil pelaksanaan program itu kepada peniaga dan rakyat tidak menyeluruh, biarpun konsep itu pernah dilaksana kerajaan sebelum ini ada kebaikannya.

    “Sebenarnya konsep ini sudah dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ia diketepikan.

    “Memang ada kebaikannya (Menu Rahmah), tetapi impaknya kepada peniaga dan juga rakyat tidak menyeluruh. Rakyat lebih mahu kenaikan gaji dan juga pengeluaran wang KWSP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Muhamad Muqharabbin berkata, sejak tahun 2000 hingga kini, setiap kali pilihan raya mahu diadakan, isu membabitkan kenaikan gaji dijanjikan, tetapi selepas menang, jawapan yang akan dimaklumkan hanya membabitkan penubuhan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

    “Rakyat kini sudah mampu menilai janji manifesto yang langsung tidak berfungsi selepas menang PRU,” katanya.

    Susulan itu, Muhamad Muqharabbin berkata, beliau berharap Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun ini dapat membawa berita gembira berhubung kenaikan gaji di Malaysia.

    “Saya juga berharap kerajaan dapat membenarkan pengeluaran kali terakhir KWSP sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus daripada baki simpanan setiap penyimpan.

    “Kita tahu tahun ini, keadaan ekonomi negara agak meruncing dan membimbangkan. Jadi, bukan mudah untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan memulakan perniagaan,” katanya.

  • Alumni FSR UiTM beri imbuhan tambahan kepada Aniq Kasdan, Nurul Ain

    Alumni FSR UiTM beri imbuhan tambahan kepada Aniq Kasdan, Nurul Ain

    PEMENANG pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel Birmingham, Aniq Kasdan dan pemenang perak acara Lawn Bowls, Nurul Ain Nabilah menerima imbuhan tambahan atas kejayaan mereka pada temasya itu.

    Terbaharu, kedua-dua atlet itu menerima imbuhan kewangan berjumlah RM5,000 daripada alumni Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau lebih dikenali sebagai Qobin

    Qobin berkata, sebagai alumni FSR UiTM, beliau percaya adalah wajar untuk merasa bangga dan berbesar hati di atas kejayaan kedua-dua atlet berkenaan yang juga pelajar FSR.

    “Jadi dengan rezeki yang ada, saya terpanggil untuk menyumbangkan imbuhan kewangan (RM 3,000 untuk Aniq) dan (RM 2,000 untuk Nurul Ain).

    “Ia bagi menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan pada masa yang sama kekal fokus dalam latihan agar mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang di sukan Olimpik dan lainnya nanti,” kata Qobin dalam satu kenyataan.

    Majlis itu dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang juga juga mentor kepada Qobin sewaktu beliau bergelar mahasiswa.

    Menurut Qobin, sebagai atlet sukan rekreasi dan ahli perniagaan, beliau selagi mampu akan membantu atlet sukan yang berpotensi untuk membawa nama Malaysia dan memperoleh pingat.

    Katanya, beliau akan turun padang memberikan sokongan dan semangat buat mereka.

    “Saya harap agar lebih ramai individu dan tokoh korporat lainnya termasuklah alumni UITM yang berjaya, dapat mendukung atlet sukan UITM yang mewakili Malaysia di persada antarabangsa,” tambah beliau.

    Qobin merupakan mahasiswa Malaysia pertama bersama Ahmad Reduan Rozali yang sampai ke puncak Everest pada tahun 2004 selain meneruskan kejayaan berbasikal dan bermotosikal merentasi 22 negara.

    Beliau juga menjadi Penjelajah Grand Slam (Last Degree) pertama Malaysia iaitu menamatkan pendakian di 7 puncak tertinggi di 7 benua antara 2010-2014 dan berski (last degree) dari titik 89 ke titik 90 darjah di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017-2018.

    Qobin juga berjaya membawa 7 pendaki termasuk 5 anak Felda ke puncak Everest pada 2013 dan berjaya menghantar 7 perenang ke Selat Inggeris (2012) selain pernah berjaya membawa 8 penjelajah merentasi pulau Greenland dan beberapa kejayaan lain di dalam dan luar negara.