Tag: mufti

  • ‘Tahfiz atau tidak, tidak wajar umat Islam hadiri konsert kemaksiatan’, kata mufti

    ‘Tahfiz atau tidak, tidak wajar umat Islam hadiri konsert kemaksiatan’, kata mufti

    MUFTI Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyifatkan adalah tidak wajar kepada umat Islam untuk menghadiri konsert yang boleh menimbulkan kemaksiatan.

    Beliau berkata, konsert yang tidak menimbulkan kemaksiatan adalah konsert yang mengingati Allah SWT dan dibenarkan syarak.

    “Apabila hadir ke sesebuah konsert, ia sepatutnya akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan merasakan kita adalah hambaNya.

    “Namun sekiranya kita hadir dan lupa kepada diri serta Allah SWT, maka ia tidak diizinkan. Kita sembahyang pun ingat kepada Allah, jadi konsert pun biarlah konsert yang mendekatkan diri kepadaNya,” katanya menurut Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia #QuranHour di Masjid Muhammadi, di Kota Bharu, hari ini.

    Mohamad Shukri berkata, tidak timbul isu sama ada individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok sekiranya tempat yang dihadiri tidak menjurus kepada kemaksiatan.

    “Bagaimanapun sekiranya individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok dan mereka hadir ke tempat maksiat, maka itu adalah tetap satu kesalahan. Rukun Islam tidak ada ‘double standard,” katanya.

    Sebelum ini, kecoh mengenai sekumpulan pelajar tahfiz yang diundang ke konsert Kepci Music Fest di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.

    Ramai yang mempertikaikan tindakan menjemput pelajar berkenaan yang dianggap tidak sesuai untuk menghadiri acara hiburan sebegitu.

    Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja pelajar tahfiz merupakan antara pengunjung yang menyaksikan konsert tersebut.

  • Hormati keharmonian agama yang telah dipraktikkan sejak sekian lama

    Hormati keharmonian agama yang telah dipraktikkan sejak sekian lama

    Negara kita cukup unik kerana mempunyai pelbagai bangsa, budaya dan agama yang bebas diamalkan sejak sekian lama.

    Keharmonian kaum yang utuh dan berjaya dikekalkan sehingga ke hari ini adalah berkat daripada sikap tolak ansur antara satu sama lain.

    Sebenarnya, bukan suatu yang mudah untuk mengekalkan apa yang kita miliki sekarang kerana tanpa persefahaman yang berterusan, semuanya akan musnah dengan sekelip mata.

    Oleh sebab itu, tidak kira siapa pun, isu yang sensitif terutamanya melibatkan soal agama perlu dijaga agar tidak menyimpang daripada landasan ditetapkan dalam perlembagaan persekutuan.

    Dan baru-baru ini kita dikejutkan dengan Projek Artikel 11, Program Ziarah Gereja yang dianjurkan sebuah NGO di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

    Program itu mencetuskan polemik apabila banyak pihak mempertikaikannya kerana boleh memesongkan akidah belia Islam.

    Mufti-mufti negeri turut bersuara dengan mengatakan selain bercanggah dengan agama Islam, ia turut bertentangan dengan undang-undang yang menetapkan larangan penyebaran agama lain di negara ini.

    Menyedari akan perkara itu, Menteri KBS, Hannah Yeoh turut menjelaskan di Dewan Rakyat ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2023 pada Selasa lalu, bahawa program berkenaan tidak membabitkan individu beragama Islam dalam aktiviti ziarah gereja.

    Beliau dilaporkan berkata, program berkenaan bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata.

    Katanya, pihak kementerian menerusi Impact Malaysia sememangnya tidak akan membabitkan penyertaan belia muslim dan tidak ada belia muslim yang akan memasuki gereja.

    Katanya, ia juga bukan dilakukan dengan niat memberi gambaran bahawa semua agama itu mempunyai taraf yang sama seperti anggapan beberapa pihak.

    Mengulas kenyataan Hannah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mempersoalkan mengapa risalah dan iklan program itu masih belum dipinda sekiranya program itu hanya dikhaskan kepada bukan Islam.

    Katanya, semakan MAIS mendapati risalah dan iklan yang diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program itu dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam.

    Polis kini telah menjalankan siasatan terhadap penganjur program berkenaan dan kita harap selepas ini tiada lagi program seumpama itu dianjurkan kerana sebagai NGO yang bernaung di KBS, mereka sepatutnya faham akan sensitiviti berkaitan umat Islam.

    Sebelum menganjurkan apa-apa program, teliti setiap sudut kerana kita tidak mahu ia menyebabkan sebarang rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

    Lagi satu Tok Chey nak nasihatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan rasa kurang senang umat Islam.

    Beliau tidak sepatutnya mempertikaikan keputusan Selangor yang melarang sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain.

    Daripada menggalakkan 100,000 ahlinya saling melawat rumah ibadat berbeza agama, adalah lebih baik memperbanyakkan kempen melawat rumah ibadat masing-masing.

    Contohnya memperhebatkan kempen untuk belia Islam mendekatkan diri di surau dan masjid kerana ia adalah lebih baik berbanding melawat rumah ibadat lain.

    Kalau pun hendak memahami dan mengenali lebih dekat akan agama lain, ia boleh dilakukan tanpa perlu melakukan lawatan kerana semua ilmu itu boleh diperolehi daripada guru-guru yang bertauliah.

    Di universiti pun banyak terdapat ruang untuk memahami setiap perbezaan agama jika kita benar-benar ikhlas mahu mendalami ilmu tersebut.

    Oleh itu, penting bagi kita semua untuk saling menghormati keharmonian dalam beragama yang telah lama dipraktikkan. Setiap dari kita perlu memainkan peranan menjaganya dengan baik supaya keamanan yang dikecapi sehingga saat ini dapat dipertahankan sampai bila-bila.

  • Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan penutupan pusat judi di Kedah

    KEPUTUSAN Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

    Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

    Selain itu katanya, daripada jumlah terbabit, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

    “Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain.

    “Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

    Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

    Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

    Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

    Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

    Menjawab kepada ulasan ini, Sanusi dalam kenyataan terbaharunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

    Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

    “Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab “Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun”.

  • Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    Ajaran PMYT bercanggah hukum syarak – Ahmad Marzuk

    MESYUARAT Khas Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MFK) telah memutuskan bahawa ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) bercanggah dengan agama Islam, bertentangan dengan hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara.

    Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata keputusan itu diputuskan pada mesyuarat minggu lepas yang turut dihadiri para mufti dan beliau sendiri.

    “Alhamdulillah keputusan sudahpun keluar dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap wanita itu dan lebih 1,000 pengikutnya.

    “Kita juga merasakan kes ini akan ditutup dalam masa terdekat dan yang tinggal hanyalah proses pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini hari ini.

    Beliau berkata susulan keputusan dibuat oleh MFK, terpulang kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri untuk mewartakan mengenai ajaran tersebut.

    Ahmad Marzuk turut menasihati masyarakat agar tidak mencari ‘jalan pintas’ ke syurga dengan pelbagai cara sebaliknya kembali kepada ketulenan ajaran Islam dengan merujuk kepada pihak majlis agama negeri.

    “Kita boleh merujuk kepada hadis dan al-Quran yang sebenarnya sudah ada panduan lengkap cara mengamalkan agama,” katanya.

    Beliau berkata hukuman akan diputuskan oleh mahkamah terhadap wanita yang juga pengasas ajaran itu dan pengikutnya boleh dikenakan penjara serta denda.

    Katanya, sebelum terbabit, wanita berkenaan sudah dinasihatkan oleh suaminya supaya tidak meneruskan ajaran berkenaan.

    “Saya difahamkan, suami wanita itu tidak menjadi pengikut isterinya, sebaliknya pengikut wanita itu adalah dalam kalangan mereka yang dikenali secara dalam talian,” katanya.- BERNAMA

  • Covid-19:Proses tayamum tidak perlu jika berisiko – Mufti

    Covid-19:Proses tayamum tidak perlu jika berisiko – Mufti

    JENAZAH COVID-19 di Selangor tidak perlu melalui proses tayamum sekiranya memberi risiko jangkitan kepada pihak yang melakukan proses berkenaan, kata Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Ophir.

    Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 7 Ogos lalu, dan telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Ogos. 

    “Sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) di bahagian forensik mengatakan ada risiko untuk mandikan jenazah secara fizikal dan tayamum, maka tidak perlu lagi untuk ditayamumkan di atas beg jenazah itu. Hanya perlu dikafankan, disolatkan dan dikebumikan,” katanya.

    Beliau berkata, gugur kewajipan untuk memandikan atau tayamum jenazah tersebut sekiranya KKM berpandangan bahawa ia boleh memberi risiko, namun keputusan risiko itu adalah ditentukan oleh setiap jabatan forensik, di hospital masing-masing di Selangor.

    “Sekiranya pihak hospital berkata ada risiko jangkitan untuk mandikan secara fizikal biasa, tayamum pun ada risiko itu maka gugur kewajipan, maknanya tidak perlu untuk ditayamumkan di atas beg jenazah,” katanya kepada media selepas Majlis Serahan Set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) Pengurusan Jenazah COVID-19 di Masjid Jamek Ar-Rahimiah hari ini.

    Dalam majlis tersebut, beliau menyaksikan penyerahan sumbangan 7,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM385,000, oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan M Yusop kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, bagi kegunaan petugas-petugas pengurusan jenazah COVID-19 di Selangor.

    — BERNAMA