Tag: Muar

  • ‘Empat beradik tersusun hadap kiblat, wajah seolah baru berwuduk’ – Ibu

    ‘Empat beradik tersusun hadap kiblat, wajah seolah baru berwuduk’ – Ibu

    IBU kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor di Muar Rabu lalu mendedahkan kesemua anaknya ditemui dalam keadaan terbaring kaku menghadap kiblat, bagai berjemaah ketika pergi selama-lamanya.

    Nabila Sedu, 31, berkata, dalam kejadian 7.49 malam itu, kesemua anaknya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di dalam bilik air kediaman berkenaan.

    Menurutnya, dia dimaklumkan kejadian itu oleh rakan suami selepas selesai membeli barang keperluan berbuka puasa dan barangan lainnya, bahawa kediamannya sedang dijilat api.

    “Saya segera bergegas pulang dan melihat keadaan api ketika itu, saya mengesyaki semua anak-anak telah meninggal dunia.

    “Melihatkan keadaan jenazah mereka tersusun arah kiblat memang tersentuh serta wajah kesemuanya kelihatan sangat tenang dan sejuk mata memandang, seolah-olah baru berwuduk” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Dalam kejadian itu, empat anak Nabila iaitu Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3; meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap ketika berusaha menyelamatkan diri daripada kebakaran dengan bersembunyi dalam bilik mandi kediaman itu.

    Mengimbas juadah berbuka puasa kegemaran anak-anaknya, Nabila berkata, mereka amat gemar menikmati ayam golek.

    “Hasrat itu tercapai apabila saya sempat membelinya di bazar Ramadan beberapa hari sebelum peristiwa itu berlaku.

    “Selama ini, mereka sentiasa menceriakan suasana Ramadan keluarga kami. Saya bersyukur kerana sempat memenuhi keinginan hati mereka.

    “Ia sangat bermakna buat kami kerana tidak menyangka Ramadan ini adalah yang terakhir bersama dengan anak-anak,” katanya dalam nada sebak.

    Katanya, sehari sebelum kejadian itu dia sempat bersenda gurau dengan semua anak-anaknya itu namun tiada sebarang petanda ganjil atau pelik yang ditunjukkan.

    Jenazah empat beradik itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Batu 6 dekat Bakri.

  • Terkilan tak sempat sedia baju raya anak warna hitam

    Terkilan tak sempat sedia baju raya anak warna hitam

    EMPAT beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi ada meninggalkan pesan kepada ibu mereka membelikan pakaian raya berwarna hitam.

    Ibu kepada empat beradik malang itu, Nabila Sedu, 31 berkata, dia terkilan tidak sempat menyediakan kelengkapan berkenaan seperti mana yang diminta anak-anaknya sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

    Nabila ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dilihat mencium dan mendakap baju Tadika anaknya.

    “Ada (pesanan) dari anak..mereka hendak baju raya warna hitam…,” katanya sambil mencium baju anaknya menurut laporan Berita Harian.

    Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut dari Nabila dan suaminya Thein Ko Htut, 30, gagal kerana mereka sangat sedih dan tergesa-gesa meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

    Pasangan itu yang menetap di rumah sewa di Kampung Sabak Awor bersama empat anaknya sejak empat tahun lalu.

    Dalam kejadian malam tadi, empat anak pasangan itu maut dalam kebakaran di rumah mereka.

    Mereka ditemui di bahagian bilik air rumah dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.

    Ketua Polis Daerah Muar Asistant Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku litar pintas, dipercayai bermula daripada dapur rumah berkenaan.

    Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini, untuk bedah siasat.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

  • Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    REMAJA lelaki yang hilang selepas mandi-manda bersama dua rakannya di sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, dekat Muar, Rabu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat Muhammad Nur Hakim Zulkarnain, 19, ditemukan di tebing sungai tersebut, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

    “Pada 10.30 pagi, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai itu dalam keadaan lengkap berpakaian. 

    “Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat ditamatkan pada 12 tengah hari tadi manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Rabu lepas, Muhammad Nur Hakim, bersama dua rakan lelakinya berusia 20 dan 21 tahun dipercayai terjun dari jambatan di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

    Sejurus terjun, mangsa kemudiannya timbul dan menggapai tangan meminta bantuan namun gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. – BERNAMA