Tag: MPV

  • Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    Polis buru pemandu MPV lawan arus elak ditahan

    POLIS sedang memburu seorang pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didapati memandu secara melawan arus dalam usaha melarikan diri daripada ditahan polis, semalam.

    Video kejadian itu yang tular berlaku di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan yang merakamkan kenderaan berkenaan memandu melawan arus sejauh dua kilometer kira-kira pukul 6.30 petang.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, polis bertindak mengekori kenderaan suspek hingga ke Jalan Tali Air 6 sebelum secara tiba-tiba suspek memandu melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan terus memasuki Jalan Haji Miskan.

    Ujarnya, pemandu MPV itu dipercayai melompat keluar dari kenderaannya sekali gus menyebabkan MPV berkenaan terbabas ke parit di sebelah kiri jalan.

    “Pemandu MPV itu berjaya melarikan diri, namun seorang lelaki di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.

    “Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu MPV terbabit dan usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Chee Khoon berkata, pemeriksaan polis ke atas penumpang berusia 27 tahun itu kemudian menemukan sebanyak 19 peket dadah disyaki jenis syabu seberat 15.5 gram bernilai RM450 di dalam beg sandangnya.

    Ujarnya, suspek yang cedera ringan pada kaki kiri itu didapati mempunyai rekod lampau dadah.

    “Ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.Suspek kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Tular rakaman video berdurasi 1 minit 2 saat dalam media sosial yang menunjukkan sebuah MPV dipandu secara lawan arus sambil dikejar polis.

    Video itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata mengecam tindakan pemandu MPV terbabit kerana membahayakan pengguna jalan raya lain.

  • Lelaki maut Toyota Avanza dipandu rempuh plaza tol

    Lelaki maut Toyota Avanza dipandu rempuh plaza tol

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandunya merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan maut itu pukul 1 petang.

    Kenderaan MPV dipandu mangsa merempuh tembok plaza tol dalam kejadian di Plaza Tol Kubang Semang, Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) arah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati sebuah Toyota Avanza remuk teruk dengan pemandunya tersepit selepas melanggar tembok tol.

    “Mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu didapati tersepit dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Menurut beliau,  mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti serta Perai menggunakan peralatan khas pukul 2.43 petang sebelum operasi ditamatkan pada pukul 2.51 petang.

    Difahamkan kejadian tersebut berlaku apabila MPV berkenaan yang dipercayai dipandu laju hilang kawalan sebelum melanggar tembok batu plaza tol terbabit.